Pantai Timur dilanda banjir, 2,377 dipindahkan

Dua negeri di pantai timur — Terengganu dan Kelantan — mula dilanda banjir musim tengkujuh dengan sejumlah 2,877 orang dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di dua negeri itu, hari ini.

Jabatan Meteorologi pula petang ini mengeluarkan amaran “peringkat merah” di kedua-dua negeri itu dan keadaan itu dijangka berterusan sehingga Ahad.

Di TERENGGANU, keadaan semakin buruk apabila sehingga pukul 8 malam ini seramai 1,667 orang dari empat daerah iaitu Besut, Hulu Terengganu, Setiu dan Dungun telah dipindahkan ke pusat pemindahan berikutan rumah mereka ditenggelami air.

Besut merupakan daerah paling teruk terjejas di negeri itu dan petang ini dua rumah di Kampung La, Hulu Besut dihanyutkan arus deras akibat limpahan Sungai Besut dan jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di daerah itu kini 1,187 orang.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu berkata di Setiu, seramai 402 orang dipindahkan manakala di Dungun 50 dan selebihnya dari daerah Hulu Terengganu.

Sebanyak 24 pusat pemindahan banjir di seluruh negeri telah beroperasi, dan Jalan Kuala Berang-Sungai Tong di Kuala ping ditutup kepada semua kenderaan, katanya.

Empat sungai utama di negeri itu mencatat bacaan melebihi paras bahaya iaitu Sungai Besut, Sungai Setiu, Sungai Terengganu dan Sungai Hulu Terengganu. Bacaan paras air Sungai Besut di Jambatan Keruak pada pukul 7 petang ialah 35.91 meter (bahaya 35 meter), di Kampung La, 21.79 meter (bahaya 19.20 meter) dan di Jambatan Jerteh ialah 9.86 meter (bahaya 8.90 meter).

Sungai Setiu pula mencatat bacaan 8.58 meter (bahaya 8.10 meter), Sungai Berang di Hulu Terengganu mencatat bacaan 24.55 meter (bahaya 24.50) manakala paras air Sungai Marang pula kini melebihi paras waspada iaitu 12.71 meter (waspada 12.50 meter).

Di KOTA BAHARU, lima daerah kini dilanda banjir iaitu Kuala Krai, Pasir Mas, Machang, Jeli dan Tanah Merah dengan jumlah mereka yang dipindahkan sehingga pukul 8 malam ini mencecah 1,210 orang.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Negeri berkata jumlah mereka yang dipindahkan di Pasir Mas ialah 432 orang, Kuala Krai (308), Tanah Merah (249), Machang (188) dan Jeli (33).

Beliau berkata sungai-sungai yang melepasi paras bahaya ialah Sungai Golok di Jenob, Tanah Merah dan Rantau Panjang dan Sungai Kelantan di Kusial, Tanah Merah.

Bacaan terkini Sungai Kelantan di Kusial ialah 24.72 meter (bahaya 23.50 meter) dan paras air di semua sungai utama itu kini dilapor semakin meningkat, katanya kepada Bernama.

Dua jalan utama iaitu Jalan Kota Baharu-Kuala Krai di Sungai Durian dan Jalan Kota Baharu-Terengganu di Bukit Abal, Pasir Puteh ditutup kepada kenderaan ringan.

Cuaca di Kelantan kini mendung dengan hujan lebat dilaporkan di pedalaman negeri itu.

Sementara itu di KANGAR, beberapa kampung di Perlis mula dilanda banjir hari ini dengan 100 penduduk daripada lebih 20 keluarga di Kawasan Batu Bertangkup, Panggas dan Titi Tinggi dipindahkan lewat hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Wanita Perlis, Mansor Jusoh berkata jumlah yang dipindahkan itu mungkin bertambah berikutan paras air yang semakin meningkat.

Turut meninjau kawasan yang dilanda banjir lewat hari ini ialah Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu.

- BERNAMA
Next Post Previous Post
1 Comments
  • Pasang Iklan
    Pasang Iklan Rabu, 2 Disember 2009 pada 9:21:00 PG SGT

    Waspada Banjir...
    walaupun musim hujan belum begitu signifikan.
    namun kita harus waspada akan datangnya banjir.
    apalagi bagi kita yang tinggal disekitar wilayah yang langganan banjir.

    curah hujan memang belum meningkat.
    tetapi kita harus dari sekarang untuk tetap waspada menghadapi banjir.

    mungkin banjir sudah menjadi langganan bagi tiap2 daerah tertentu.
    dimana banjir ini diakibatkan oleh kita sendiri, yang masih saja membuang sampah sembarangan dan juga tidak menjaga lingkungan kita.

    marilah kita jaga lingkungan serta alam kita ini.
    agar dampak positif yang akan menghampiri kita.

    Iklan

Add Comment
comment url