Sebuah lagi bank berasas koperasi bakal diwujud

Sebuah lagi bank komersial berasaskan koperasi akan ditubuhkan bagi memperkasakan peranan koperasi dalam pembangunan ekonomi, sekali gus bersaing dalam sektor perbankan negara.

Kerajaan mengarahkan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) membuat kajian terperinci mengenai potensi dan keupayaannya untuk menggabungkan lebih 520 koperasi kredit di bawahnya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan mensasarkan dapat direalisasikannya selewat-lewatnya pada 2012.

Katanya, ketika ini sudah ada tiga bank berasaskan koperasi dengan dua baru diluluskan kerajaan, iaitu Bank Persatuan dan Bank Koop, selain Bank Rakyat yang sudah lama menjalankan perniagaan.

"Saya sudah meminta SKM mengadakan perbincangan untuk membolehkan lebih 520 koperasi kredit bergabung menubuhkan bank koperasi sebelum 2012.

"Gabungan itu penting supaya dapat membentuk dana modal berbayar sekurang-kurangnya RM300 juta untuk membolehkan bank berkenaan dapat ditubuhkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Subsidiari Koperasi-Isu dan Cabaran di Wisma Ungku Aziz di sini, semalam.

Ismail Sabri berkata, kerajaan juga sedang mengkaji keperluan menubuhkan pasar raya besar diterajui koperasi bagi membolehkan semua produk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Bumiputera di pasarkan di dalamnya.

Katanya, ketika ini hanya PKS Bumiputera dipasarkan di pasar raya besar, termasuk milik syarikat asing daripada jumlah 30 peratus yang disasarkan.

"Kita belum puas hati kerana jumlah ini masih kecil dan kita juga nak supaya produk PKS tempatan juga dapat dipasarkan di rangkaian pasar raya besar mereka di luar negara," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, mulai tahun ini semua koperasi boleh menarik nafas lega apabila kerajaan bersetuju menurunkan kadar potongan statutori pendapatan tahunannya daripada 25 peratus kepada 15 peratus.

Katanya, penurunan itu sebagai memenuhi permintaan koperasi yang menyifatkan kadar 25 peratus sekarang amat tinggi sehingga menjejaskan modal perniagaan dan perancangan projek.

"Kerajaan mendengar permintaan koperasi ini kerana kita nak lihat koperasi terus maju dan mampu meningkatkan pusingan perniagaan yang disasarkan RM10 bilion daripada RM7.75 bilion sekarang menjelang 2012," katanya.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url