Stadium tempat bersukan, bukan tunjuk samseng
Sepanjang tempoh itu, sukan bola sepak negara melalui pelbagai pembaharuan. Infrastruktur yang disediakan hampir setanding dengan di negara maju manakala sistem latihan, pertandingan dan lokasinya juga jauh lebih baik. Namun apa yang ditunjukkan ribuan penyokong, khususnya dari Kelantan malam Sabtu lalu adalah budaya yang langsung tidak selaras dengan perkembangan itu.
Perbuatan memanjat pagar, merempuh masuk stadium dan melanggar arahan pasukan keselamatan memang tidak boleh diterima dalam apa keadaan sekalipun. Lebih daripada itu, mereka membawa objek berbahaya termasuk mercun dan bunga api untuk dibakar di dalam stadium. Ia jelas menunjukkan penyokong kita bukan saja tidak menghormati peraturan malah sanggup membahayakan diri mereka serta orang lain. Tidak cukup dengan itu, mereka turut merosakkan peralatan stadium dan membakar segala jenis objek, daripada sepanduk poster dan sepanduk yang dibawa hinggalah kepada kerusi.
Sebenarnya, budaya buruk dan sikap samseng yang ditunjukkan sebahagian penyokong Kelantan itu bukan wujud di kalangan mereka saja. Saban waktu, kita mendengar berlaku insiden hampir serupa membabitkan penyokong pasukan lain. Apa yang berlaku malam Sabtu lalu mencerminkan bahawa kadangkala penyokong bola sepak berarak ke stadium bukan untuk menonton perlawanan, sebaliknya mahu menunjuk samseng. Itulah sebabnya dalam kes perlawanan akhir Piala Malaysia itu, kekecohan di dalam dan di luar stadium sudah berlaku sebelum wisel permulaan ditiup.
Apa yang berlaku selepas itu hanya alasan untuk mereka bersikap lebih agresif. Soal menang atau kalah sebenarnya tidak pernah jadi isu kepada mereka, kerana yang penting dapat bertindak liar sesuka hati. Kelompok ini sering mendakwa diri 'peminat fanatik' tetapi hakikatnya mereka buta sukan dan buta hati. Apa yang mereka lakukan bukan saja mencemar maruah diri, pasukan dan negara, malah mengundang risiko kepada semua. Sukan amnya dan bola sepak khususnya ialah platform mempererat perpaduan, mengukuh persahabatan dan menanam nilai murni serta jati diri.
Ia bukan medan menunjuk samseng, melanggar peraturan dan mencetus huru hara. Jika sebelum ini kita sering mendengar penyokong meminta pemain mengubah sikap untuk memajukan sukan bola sepak, insiden malam kelmarin mendedahkan bahawa mungkin mereka sendiri yang sebenarnya harus berubah.