Top Ad 728x90

,

10 Maut, Dua Cedera Bas Rempuh Pembahagi Jalan di Perak


IPOH: Sepuluh penumpang maut manakala dua lagi cedera dengan seorang daripadanya parah apabila bas dua tingkat Sani Express terbabas dan melanggar pembahagi jalan di KM272.8, Projek Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, kira-kira lapan kilometer selepas Plaza Tol Ipoh Selatan, awal pagi ini.

Ketua Polis Trafik Negeri, Supritendan Wan Abdullah Ishak berkata, mereka yang terbunuh dalam kejadian pukul 1 pagi itu adalah Shaharin Mohd Nor, 61, dan Supiah Adam, 46, kedua-duanya dari Taman Setia, Klang, Selangor.

Menurutnya, kedua-dua penumpang yang cedera kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini manakala kesemua mangsa yang maut juga dibawa ke hospital yang sama untuk bedah siasat.

Wan Abdullah berkata, semua yang terbunuh dan cedera merupakan penumpang yang duduk di tingkat bawah bas dua tingkat berkenaan manakala semua penumpang di bahagian atas serta kedua-dua pemandu bas tidak mengalami kecederaan.

Beliau berkata, bas ekspres itu berlepas dari Klang, Selangor pada jam 9 malam tadi menuju ke Kangar dan membawa 48 penumpang.

"Di tempat kejadian, bas itu tiba-tiba terbabas lalu merempuh pembahagi jalan di sebelah kiri lebuh raya. Ia kemudiannya melantun serta merempuh pula pembahagi jalan di sebelah kanan lebuh raya sebelum berhenti," katanya.

Menurut beliau, besi daripada pembahagi jalan yang menusuk masuk ke dalam bas selepas rempuhan yang pertama (rempuhan di sebelah kiri) menyebabkan kematian dan kecederaan penumpang berkenaan.

Wan Abdullah berkata, pemandu yang memandu bas ketika kemalangan itu telah ditahan polis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Difahamkan, pemandu yang ditahan itu baru sahaja mengambil giliran memandu selepas bas itu berhenti di Hentian Sebelah, Simpang Pulai dekat sini sebelum kejadian.

Sementara itu, seorang daripada penumpang yang terselamat, Marziana Mahmud, 24, mendakwa pemandu bas tersebut kelihatan mengantuk sebelum kemalangan tersebut.

"Bas dipandu dalam keadaaan tidak stabil, terhoyong-hayang ke kiri dan kanan sebelum kejadian," dakwa penjawat awam itu yang duduk di bahagian depan di tingkat atas bas berkenaan.

Pemandu Mohd Kamil Mohd Rashid, 38, ditahan untuk siasatan.

Antara mangsa yang telah dikenalpasti maut adalah:

1. Noor Jismi Noordin (Kangar).

2. Musa @ Ismail Abdullah (Gurun).

3. Mohd Shukri Mohd Ali (Sungai Besar).

4. Mohd Bilal Osman (Sungai Besar).

5. Shaharin Mohd Noor (Klang).

6. Sharifah Raheel Aljunid Syed Harun (Sungai Petani).

7. Supiah Adam (Klang).

8. Ng Poh Ngoh (Alor Setar).

9. Ng Kah Kit (Alor Setar).

- BERNAMA

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90