10,248 rakyat Malaysia ada kelulusan PhD sehingga Jun 2009

Sehingga Jun lalu, seramai 10,248 rakyat negara ini mempunyai kelulusan ijazah Doktor Falsafah (PhD) iaitu 8,132 di institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan 2,116 di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), kata Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dr Hou Kok Chung.

Beliau berkata, sepanjang tahun lalu, keluaran graduan PhD di IPT tempatan adalah seramai 840 orang iaitu 785 yang dikeluarkan IPTA dan 55 orang daripada IPTS.

"Sehingga Mac lalu, terdapat seramai 13,361 pelajar sedang mengikuti pengajian pada peringkat PhD di IPTA.

"Hingga hari ini, semua pemegang PhD yang diketahui kementerian adalah sahih," katanya bagi menjawab soalan Datuk Siringan Gubat (BN-Ranau) yang bertanya mengenai bilangan pemegang PhD yang terkini dan kesahihan semua pemegang PhD berkenaan.

Menjawab soalan tambahan Mohd Yusmadi Yusof (PKR-Balik Pulau) berhubung langkah kerajaan bagi memastikan negara melahirkan lebih ramai pemegang PhD, Hou berkata, kerajaan melalui Kementerian Pengajian Tinggi, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi memperuntukkan biasiswa dan bantuan kewangan bagi pelajar yang ingin melanjutkan pengajian pada peringkat pasca siswazah termasuk PhD di IPT dalam dan luar negara.

Katanya, sejak 2005 sehingga Ogos tahun lalu, kerajaan membiayai 3,914 pelajar pada peringkat PhD di dalam dan luar negara membabitkan peruntukan RM39.4 juta.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url