Apabila Nyawa Di Tangan Pemandu Bas...
Kemalangan ngeri itu mengakibatkan 10 penumpang maut manakala dua yang lain cedera. Kesemua yang meninggal dunia duduk di bahagian bawah bas dua tingkat milik syarikat Sani Express itu.
Kali terakhir direkodkan, kejadian yang 'membunuh' penumpang bas secara beramai-ramai ini ialah pada 7 Disember 2008 apabila Bas Super Nice Grassland terbabas dan terbalik di KM146.5 lebuh raya tersebut berhampiran Tangkak mengakibatkan 10 maut dan 18 cedera kira-kira pukul 2 pagi.
Tetapi yang paling tragik ialah peristiwa pada 13 Ogos 2007 dengan 22 penumpang maut selepas bas ekspres milik Syarikat Bas Bukit Gantang tergelincir sebelum terbabas di KM229.1 lebuh raya yang sama berhampiran kawasan Rawat dan Rehat (R&R) Bukit Gantang, Perak.
Berikutan kemalangan-kemalangan ngeri terburuk itulah, sebut sahaja apa yang tidak dilakukan kerajaan bagi membendung kemalangan jalan raya melibatkan bas ekspres.
Dimulakan dengan pemasangan kamera di lebuh raya, kotak hitam dalam bas, wajibkan dua pemandu, penyediaan buku log, usia bas ekspres tidak boleh melebihi 10 tahun, peperiksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) setiap enam bulan dan beberapa peraturan lain sudah diperkenalkan.
Tetapi ada satu syor sahaja yang sentiasa ditekankan bagaimnapaun sehingga kini tidak dapat dilaksanakan iaitu larangan perjalanan bas ekspres pada waktu malam atau selepas tengah malam.
Malah sebaik sahaja kemalangan pada 7 Disember 2008 itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat memberitahu, kementeriannya sedang mengkaji cadangan untuk memberhentikan semua perjalanan bas ekspres pada waktu tengah malam gara-gara bimbang ia boleh menyebabkan kemalangan yang meragut banyak nyawa.
Namun sehinggalah semalam apabila 10 lagi nyawa melayang, cadangan itu sepi begitu sahaja.
Rupa-rupanya kerajaan ada alasan tersendiri mengapa cadangan berkenaan tidak dapat dilaksanakan. Ada beberapa faktor yang perlu diambil kira jika mahu cadangan yang dianggap tidak relevan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) mahu dikuatkuasakan.
Menurut Ketua Pengarah Miros, Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah, statistik berdasarkan kajian agensinya menunjukkan bahawa tiada tempoh waktu tertentu berlakunya kekerapan kemalangan di negara ini.
Malah, tegas beliau, kemalangan berlaku pada bila-bila masa sama ada siang atau malam, pagi atau petang.
"Tidak ada waktu yang signifikan, barangkali kebetulannya kemalangan yang meragut banyak nyawa sekali gus berlaku pada waktu malam atau awal pagi tetapi ia sebenarnya berlaku juga pada waktu-waktu lain," jelasnya kepada mStar Online di sini semalam.
Beliau berkata, faktor mengantuk juga bukan penyebab utama kemalangan pada waktu malam atau awal pagi kerana berdasarkan kajian Miros pemandu turut mengantuk pada waktu petang lebih-lebih lagi dari pukul 2 hingga 4 petang.
Ahmad Farhan tidak menolak terus mengantuk adalah antara punca kemalangan tetapi apabila dikaitkan dengan perjalanan waktu malam ia tidak relevan kerana pemandu juga mengantuk pada waktu-waktu lain.
"Jadi tidak berasas cadangan melarang perjalanan waktu malam, dan pada masa yang sama Plus memberi diskaun untuk pengguna lebyuh raya pada waktu malam jadi ada kontradiksi dalam soal melaksanakan polisi ini," tambah beliau.
Kita sedia maklum, kerajaan amat menggalakkan penggunaan kenderaan awam. Rakyat digesa supaya menggunakan pengangkutan awam untuk pergi ke destinasi masing-masing sama ada dalam bandar atau ke luar bandar.
Banyak wang yang dilaburkan untuk meningkatkan prasarana itu supaya rakyat selesa menggunakan kemudahan yang disediakan kerajaan.
Jadi, jika kemudahan pengangkutan awam terutamanya melibatkan perjalanan jauh disekat masa perjalanannya, Miros bimbang orang ramai akan beralih kepada kenderaan persendirian dan yang paling digeruni ialah penggunaan motosikal.
"Satu lagi kebimbangan kita ialah pengguna kembali menggunakan motosikal untuk perjalanan jauh pada waktu malam sebab bas ekspres tak boleh jalan pada masa itu, lagi pun berdasarkan pengamatan kita, tiada satu negara di dunia ini yang melarang perjalanan bas ekspres waktu malam," tegas Ahmad Farhan.
Katanya lagi, separuh daripada pengguna perkhidmatan bas ekspres ketika ini akan terjejas jika larangan itu dikuatkuasakan.
Jelas bahawa faktor manusia atau pemandu yang mesti diutamakan jika mahu perjalanan orang ramai selamat - bukan perkara lain. Jika pemandu cukup tidur sekali pun tetapi perlu mengejar trip, kemalangan pasti tidak dapat dielakkan kerana tergopoh-gapah mahu menambah pendapatan setiap perjalanan.
Jadi kita tiada pilihan lagi melainkan menumpukan sepenuh sumber dan tenaga kepada penyelesaian terbaik iaitu meningkatkan tahap profesionalisme pemandu bas ekspres - juga lori - sebagai profesion yang menjamin masa depan.
Kita mesti ubah polisi tertentu termasuk memperkenalkan sesuatu yang berkesan dengan kerjasama agensi-agensi seperti Kementerian Sumber Manusia supaya profesion pemandu bas ditingkatkan ke satu tahap yang menjamin masa depan - bukan separuh masa - seperti di negara-negara maju.
Tidak guna jika kita mempunyai bas yang serba canggih, dilengkapi sistem pemantaun dan keselamatan terkini tetapi dipandu oleh mereka yang langsung tidak profesional.
Tolong bezakan antara pemandu profesional dengan pemandu yang tahu memandu semata-mata.
Sampai bila, kita mahu mempertaruhkan nyawa di tangan pemandu-pemandu yang tidak profesional, malah lebih teruk jika mereka bekerja bukan sepenuh masa.
"Dengan cara melatih pemandu profesional, kita boleh kawal, menentukan kualiti pemandu. Saya ada cabar syarikat-syarikat bas melahirkan pemandu profesional... tetapi apa pun mesti ada yang memulakannya barulah idea ini menjadi kenyataan," ujar Ahmad Farhan lagi.
- MSTAR