Ayu Raudhah bersedia jadi isteri

Cantik persis seorang puteri tatkala wanita seayu Ayu Raudhah Che Wan ini disolek oleh juru mekap terkenal Deq Sha. Pertama kali Pancaindera memberi ruang kepada adik kepada pelakon Rozita Che Wan ini muncul sebagai penghias cover Pancaindera kira-kira dua tahun lalu.
Ketika itu Ayu nampak kaku. Yalah, masa tu masih baru dalam bidang seni. Nak "berposing" sakan pun tak tahu lagi. Biasalah orang baru, memang kena belajar banyak benda. Tetapi hari ini dia tidak kaku lagi. Malah seperti kakaknya, Ayu pandai menjaga penampilan. Cantik dan manis.
Yalah, darah manis. Darah orang bercinta mungkin macam itu, usik saya sambil melihat pereka fesyen Rizman Ruzaini membelek pakaian yang ditaja untuk Ayu.
Dengan loghat Kedahnya yang pekat itu, Ayu ketawa sambil berkata, "Toksah nak gosip-gosip no".
Apa nak gosip-gosip lagi kalau benda yang baik? Tak gitu? Kebetulan semasa sesi fotografi diadakan pada Isnin lalu, Ayu baru menatap akhbar Utusan Malaysia yang memaparkan insiden penyerang skuad bola sepak kebangsaan, Zaquan Adha Abdul Radzak, 22, dilayangkan kad merah ketika Malaysia tewas 1-3 kepada Vietnam dalam Sukan Sea di Vientiane, Laos.
Saya berkata apa perasaan apabila melihat "cik abangnya" itu naik angin di padang? Ayu ketawa tanpa mahu menjawab apa-apa. Rasanya Ayu sudah tentu tahu lebih awal mengenai insiden itu.
Banyak benda saya borak dengan Ayu mengenai pencapaiannya hari ini dan hubungannya dengan Zaquan yang rancak diperkatakan. Melihat raut wajah Ayu itu saya faham benar yang Ayu dan si dia sedang meniti jambatan indah bernama cinta.
Mengaku bahagia
Tatkala sesi fotografi diadakan pada 7 Disember lalu ia jatuh pada hari lahir Ayu yang ke 25 tahun. Saya membawa sebiji kek kecil untuk buat kejutan sambil menyanyikan lagu happy birthday bersama rakan mekap artis untuk dia.
Perkara pertama saya tanya apa hadiah istimewa daripada Zaquan? Lantas jawab Ayu, hadiah tak penting tetapi SMS (khidmat pesanan ringkas) adalah lebih mustahak.
"Dia ada hantar SMS dari Laos untuk Ayu dan mengucapkan selamat hari jadi. Itupun dah cukup," katanya.
Dalam perhubungan memang perkara paling penting ialah saling hormat menghormati dan saling ingat mengingati.
Bercerita mengenai hubungannya dengan Zaquan, ujar Ayu mereka berkawan baik. Hubungan berjalan tanpa ada masalah.
Menurut wanita ini, dia tidak pernah mengimpikan untuk mempunyai teman jauh lebih muda daripadanya tetapi sayang sekali, perkara yang tidak dimahukan itulah datang bertandang.
Ditanya bagaimana pula dengan Zaquan? Rupanya perkara yang sama berlaku. Zaquan tidak pernah bermimpi untuk berkawan dengan artis tetapi akhirnya, artis juga menjadi kekasihnya.
Yalah... itulah dinamakan takdir. Manusia yang merancang tetapi Allah menentukan.
Ayu menjelaskan, setakat ini dia bahagia dengan hubungannya itu. Walaupun masih belum setahun usia percintaan mereka tetapi ia berjalan dengan baik. Tips kebahagiaan mereka ialah sentiasa bijak berkomunikasi dan berbincang jika ada sebarang masalah.
"Kami jarang berjumpa. Kalau dia ada latihan bola sepak di Negeri Sembilan, lagi susah untuk berjumpa tetapi kami sentiasa berhubung untuk bertanya khabar," katanya.
Bersedia untuk berkahwin
Enam bulan melayari percintaan boleh dikatakan agak baru. Tapi bak kata orang tak mustahil kita kenal seseorang hari ini dan berkahwin esok hari.
Bercerita mengenai rumah tangga, Ayu menjelaskan di sudut hatinya memang sudah bersedia untuk bergelar seorang isteri.
Tapi segalanya diserahkan kepada takdir untuk menentukan jodohnya sama ada dengan si dia bernama Zaquan atau pun orang lain.
Bagi Ayu sendiri, dia menerima segala ketentuan kerana percaya perkara yang baik seperti itu memang banyak dugaannya.
"Ayu tak mahu terlalu mengharapkan apa-apa tetapi kalau jodoh Ayu dengan Zaquan itu terbaik, Ayu akan menerimanya dengan baik," katanya.
Menjelaskan Zaquan sebelum ini seorang yang agak cemburu tetapi lama kelamaan perkara itu dapat diatasi kerana ada perbincangan yang baik di antara kedua belah pihak.
Bagi Ayu sendiri dia tidak suka membesarkan perkara kecil dan sebolehnya hendak diselesaikan dengan sebaik mungkin kerana dia tidak suka memikirkan perkara-perkara remeh.
Bekerja kuat
Tahun 2009 ini boleh dikatakan tahun cemerlang buat wanita berbintang Sagittarius ini. Ayu semakin banyak mendapat tawaran berlakon termasuklah dramanya sekarang ini iaitu Wadi Rahmah menjadi tatapan ramai di RTM2 setiap hari Isnin hingga Khamis (pukul 2 petang).
Mengakui rezekinya semakin murah, Ayu tetap akan berusaha keras bagi membuktikan dia tidak menumpang populariti sesiapa termasuklah sebelum ini dikatakan popular kerana kakaknya Rozita.
Tambah Ayu, selama melibatkan diri sebagai seorang pelakon, banyak cabaran yang dilaluinya untuk bergelar Ayu Raudhah hari ini.
Dia percaya dek kerana kesabarannya itu, dia banyak meraih banyak peluang untuk meletakkan namanya sebaris dengan artis popular lain apatah lagi selepas kejayaan drama Nur Kasih yang turut dibintangi Ayu.
- MINGGUAN MALAYSIA
