Pusat Matrade mercu tanda terbaru negara

Kemampuan Malaysia dalam menganjurkan pelbagai pameran dan konvensyen bertaraf dunia sememangnya tidak boleh dipertikaikan.
Contoh terbaru kemampuan penganjuran majlis sebegini ialah pada 18 November lepas dengan kejayaan penganjuran program Bio-Malaysia 2009. Program tersebut yang berlangsung selama tiga hari mengumpulkan kira-kira 100 peserta serta menarik minat lebih 10,000 pelawat perdagangan dari lebih 40 buah negara.
Majlis yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) turut menganjurkan Mesyuarat Panel Penasihat, Antarabangsa (IAP) Bioteknologi Keempat.
Untuk rekod seramai 1,013,104 pelancong telah berkunjung ke negara ini pada 2007 bertujuan untuk menghadiri dan terlibat dalam sektor seperti mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran (MICE).
Petunjuk ini merupakan satu penambahbaikan sebanyak 23.5 peratus berbanding tahun sebelumnya yang berjumlah 820,243 pelancong. Kewujudan sektor MICE ini telah menyumbang kedatangan pelancong sebanyak 5 peratus dari 20.7 juta pelancong yang datang ke negara ini. Jumlah mereka ini telah menyumbang sebanyak RM3.17 bilion melalui pelbagai aktiviti perdagangan yang berlaku ketika penganjuran sektor MICE berlangsung.
Jumlah perbelanjaan per kapita para pelancong yang terbabit dalam MICE pula berjumlah RM3,133 berbanding RM2,196 oleh pelancong biasa.
Bagaimanapun jumlah pendapatan yang disumbangkan oleh mereka yang terlibat dalam MICE sebenarnya masih terlalu kecil jika dibandingkan dengan negara-negara lain di Asia.
Negara seperti Singapura, Thailand, Hong Kong dan Dubai memperoleh impak yang lebih besar berbanding Malaysia dalam sektor MICE. Sebab utama kenapa perkara ini berlaku ialah kerana jumlah keluasan tapak pameran yang kecil di negara ini berbanding negara tersebut.
Dengan contoh keluasan tapak pameran sehingga 124,000 meter persegi melalui Pusat Konvensyen Antarabangsa Suntec dan Singapura Expo, Hong Kong Convention and Exhibition Centre (HKCEC) seluas 312,000 meter persegi dan Dubai International Convention & Exhibition Centre seluas 71,538 meter persegi adalah nyata Malaysia masih jauh ketinggalan dalam bidang ini.
Pameran
Apatah lagi atas alasan ini telah mengakibatkan Malaysia terlepas peluang untuk menganjurkan beberapa pameran antarabangsa seperti Furniture Interior Design and Textile yang akhirnya berlangsung di Cologne Jerman dan Asia Telecom, International Telecom Union di Geneva Switzerland. Kedua-dua penganjuran itu memerlukan keluasan tapak pameran sekurang-kurangnya 70,000 meter persegi.
Atas inisiatif ini Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah bersetuju untuk membangunkan pusat pameran baru Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) di Jalan Duta.
Pusat Matrade baru ini akan muncul sebagai sebuah kawasan yang bakal menjadi sebuah lagi mercu tanda kebanggaan negara ini.
Dengan keluasan 90,000 meter persegi Pusat Matrade ini dijangka mampu memenuhi keperluan untuk mempromosi sektor MICE sebagai satu bentuk perniagaan yang menguntungkan.
Menurut Ketua Setiausaha MITI, Tan Sri Abdul Rahman Mamat adalah satu keperluan bagi Malaysia untuk membangunkan sebuah kemudahan yang lengkap dan mencukupi bagi mempromosikan sektor MICE yang akan turut memberi kesan yang besar kepada sektor pelancongan.
Projek berkenaan yang berharga RM628 juta akan dibangunkan oleh Kumpulan NAZA yang juga akan menjadi sebuah pusat pameran dan konvensyen terbesar di negara ini. Pembinaan pusat pameran itu dijangka bermula pada suku kedua tahun hadapan dan dijangka siap pada 2014,
"Ini adalah satu keperluan asas dan utama yang diperlukan negara untuk mempertonton dan mempermudahkan eksport barangan dan perkhidmatan untuk pasaran serantau dan antarabangsa," kata Abdul Rahman.
Pusat itu akan mempunyai tiga tingkat ruang pameran, 12 buah dewan selain akan dilengkapi dengan bilik kenamaan (VIP), restoran, dapur tengah, kaunter tiket dan 1,400 ruang meletak kereta. Bangunan ini akan dihubungkan dengan Menara Matrade sedia ada serta terletak berhampiran dengan pusat bandar.
Berdasarkan kedudukan tahun 2006, Malaysia menduduki kedudukan keenam di Asia Pasifik di belakang Australia, Jepun, China, Singapura dan Korea sebagai tempat mesyuarat dan persidangan antarabangsa. Pada 2007, Malaysia menjadi tuan rumah kepada 3,418 acara pameran dan konvensyen. Jumlah ini secara relatifnya kurang separuh daripada penganjuran di Singapura.
Dengan pelaksanaan Pusat Matrade yang baru ini akan menyaksikan Malaysia dapat menjadi tuan rumah untuk konvensyen dan pameran yang terunggul dan terkemuka di dunia. Mungkin sebelum ini peluang ini tidak dapat dilaksanakan berikutan keterbatasan ruangan pameran. Namun dengan pembinaan bangunan seluas 90, 000 meter persegi ini akan meningkatkan daya saing dalam industri MICE selain menarik banyak pameran antarabangsa yang memerlukan keperluan ruangan besar.
Apatah lagi dengan interaksi antara peserta pameran tempatan dan antarabangsa, ia akan turut mempromosikan pemindahan teknologi selain meningkatkan kemahiran pengusaha industri MICE tempatan untuk bersaing dengan kepakaran dari Singapura dan Thailand.
Adalah penting untuk dinyatakan bahawa negara-negara lain kini berlumba-lumba untuk meningkatkan keupayaan mereka dalam industri MICE seperti Singapura dengan Pusat Pameran dan Konvensyen Space di Marina Sands, Cotai Strip di Macau dan The Palm di Dubai.
Pembinaan
Pembinaan Pusat Matrade ini adalah sangat ideal memandangkan lokasinya terletak berhampiran dengan MITI, Matrade dan Smidec. Perkara ini pastinya akan mencipta satu keseimbangan perdagangan yang ideal selain menguntungkan peserta pameran tempatan dan antarabangsa.
Pusat Matrade yang baru akan turut berfungsi bersama pusat pameran sedia ada untuk menjadi lokasi MICE terunggul di negara ini.
Dengan perjanjian penswastaan bersama anak syarikat Kumpulan Naza, Naza TTDI Sdn Bhd, projek ini tidak akan menimbulkan risiko kewangan pada kerajaan kerana 100 peratus kos pembinaan ini ditanggung oleh pihak pemaju.
Apatah lagi projek itu dijangka akan memberi kesan yang positif dengan mewujudkan pusat bandar atau metropolis baru yang setaraf dengan pembangunan Menara Berkembar Petronas pada masa hadapan. Selain itu ia turut memberi faedah jangka masa panjang kerana ia meningkatkan harga tanah di kawasan itu dan mewujudkan banyak peluang pekerjaan. Ini kerana projek berkenaan bukan saja melibatkan pembinaan pusat pameran malah turut membangunkan pusat beli-belah, hotel, pejabat dan kediaman.
- MINGGUAN MALAYSIA
