Duit syiling buat Prita

Prita Mulyasari iaitu seorang surirumah akhirnya didenda sebanyak RM60,000 oleh mahkamah kerana menjejaskan nama baik Hospital Omni melalui e-melnya yang akhirnya tersebar luas di dunia maya.
Keputusan mahkamah itu rupa-rupanya telah menimbulkan rasa simpati orang ramai yang akhirnya menubuhkan tabung duit syiling buat Prita.
Rakyat kecil tersebut yang menyampaikan duit syiling itu bukan sahaja dengan rasa penuh ikhlas, tetapi juga dengan titis air mata kerana merasakan nasib Prita mewakili rakyat bawahan yang sekian lama tertindas.
Ini bermakna mereka yang terlibat hanya mengumpul duit syiling, bagi membantu Prita membayar denda tersebut dan Prita sendiri berjanji jika selepas rayuan dikemukakan dan denda tersebut ditarik kembali, wang itu akan digunakan bagi membantu mereka yang teraniaya seperti beliau.
Yang cukup menghairankan semasa pilihan raya berlangsung banyak pihak berjanji untuk membantu Prita bagi menyelesaikan kes berkenaan, tetapi apabila selesai pilihan raya akhirnya rakyat bawahan yang terpaksa bertindak.
Yang lebih pelik adalah hospital berkenaan juga tetap berkeras untuk mengambil tindakan terhadap surirumah berkenaan walaupun mereka menang di mahkamah, tetapi imej mereka tetap terjejas kerana telah bermusuh dengan rakyat.
Bayangkanlah duit sebanyak RM60,000 dilonggok di hospital berkenaan, tindakan itu cukup memalukan.
Pihak hospital ada membayangkan untuk menarik balik aduan tersebut, tetapi pada masa yang sama mereka tidak dapat menjamin pihak berkuasa akan menarik balik kes itu.
Ini bermakna walaupun pihak hospital menarik kembali aduan, tetapi pihak mahkamah akan tetap meneruskan kes berkenaan dan kelihatan cukup aneh.
Kes prita antara beberapa kes yang menjadi perdebatan masyarakat di Indonesia termasuk seorang wanita tua mencuri tiga biji buah koko dipenjara selama 45 hari.
Satu lagi kes seorang penghuni apartmen yang mengecas telefon bimbitnya di lobi apartmen telah didakwa mencuri elektrik dan boleh dipenjara lima tahun jika didapati bersalah.
Masa
Sedangkan pada masa yang sama ahli perniagaan Anggodo Wijojo yang dikatakan watak utama dalam mengatur Jabatan Polis dan Jabatan Peguam Negara tidak dikenakan tindakan.
Ahli perniagaan dari Surabaya itu dikatakan menjadi perancang kepada konspirasi bagi melumpuh Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah Indonesia dengan membuat aduan palsu bahawa dua pegawai kanan suruhanjaya itu terlibat rasuah dan sehingga kedua-dua mereka ditangkap polis.
Bagaimanapun setelah campur tangan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono selepas sekali lagi desakan orang ramai, kedua-dua pemimpin itu dibebaskan daripada sebarang tuduhan dan kembali bertugas dengan suruhanjaya berkenaan.
Anggoro pula iaitu adik kepada Anggodo pula kini bebas di Singapura setelah melarikan daripada ditangkap oleh suruhanjaya berkenaan setelah terbabit dalam penyelewengan wang pemasangan radio bersepadu bagi Jabatan Perhutanan.
Kecacatan di dalam sistem perundangan di Indonesia diburukkan lagi dengan kehadiran mafia perundangan yang sewenang-wenangnya mengatur pergerakan jabatan yang terlibat di dalam penguatkuasaan undang-undang.
Skandal Bank Century juga belum lagi dapat diselesaikan dan kesalahan itu diletakkan ke atas bahu Susilo kerana dianggap terlalu lembab dalam mengambil tindakan terhadap kes-kes berprofil tinggi.
Ini dapat dilihat dalam sambutan Hari Anti Rasuah Sedunia terus diwarnai dengan demonstrasi di lebih 30 bandar di Indonesia kerana jelas rakyat memang tidak berpuas hati dengan situasi terkini.
Isyarat itu harus ditangkap dengan jelas oleh Susilo dan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan ia tidak menjadi satu kesan domino yang boleh menjejaskan kedudukan beliau dan kestabilan Indonesia.
- MINGGUAN MALAYSIA
