Enam NKRA dinilai rakyat
Hari pertama pameran itu yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Sunway (SCC) di sini khusus untuk tetamu jemputan, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), manakala 18 Disember ini untuk orang ramai.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata pameran itu bertujuan membuka peluang kepada rakyat memberi pandangan, ulasan dan cadangan balas berhubung usaha kerajaan melakukan transformasi berasaskan pendekatan dan falsafah 1Malaysia, iaitu 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'.
Katanya, program transformasi itu mencatat sejarah kerana ini kali pertama kerajaan melakukan usaha menyeluruh dan komprehensif, serta sanggup mendedahkannya kepada umum untuk dinilai pencapaiannya.
"Banyak kerja dilakukan pada peringkat makmal selama beberapa bulan melalui proses percambahan fikiran cadangan berhubung enam NKRA itu.
"Jadi, saya harap orang ramai menggunakan kesempatan ini untuk mengetahui lebih mendalam berhubung pendekatan digunakan kerajaan dan dari situ, mengetahui apakah sasaran ditetapkan kerajaan. Dokumen NKRA yang komprehensif pula akan disediakan pada akhir bulan depan," katanya pada sidang media Program Transformasi Kerajaan, selepas menghadiri bengkel NKRA siri kelima yang turut dihadiri beberapa menteri di sini, petang semalam.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan Datuk Seri Idris Jala yang juga Ketua Eksekutif (CEO) Unit Pengurusan Prestasi dan Penyampaian (Pemandu).
Enam NKRA itu ialah meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan (diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin); mengurangkan kadar jenayah (Datuk Seri Hishammuddin Hussein) memerangi rasuah (Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz); meningkat taraf hidup rakyat berpendapatan rendah (Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil); memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman (Datuk Seri Shafie Apdal) dan menambah baik pengangkutan awam (Datuk Seri Ong Tee Keat).
Najib berkata, bengkel semalam hanya membabitkan enam NKRA diketuai enam menteri, manakala penilaian 10 menteri lagi akan dibuat secara berasingan.
Najib berkata, penolakan NKRA oleh satu atau dua individu tidak bermakna program itu tidak baik dan dihenti atau dikaji semula.
"Sukar untuk dapat sokongan 100 peratus dan jangan anggap jika ada pendapat kontra, program ini perlu dikaji semula, melainkan jika ia tak boleh diterima atau tidak disukai oleh sebahagian besar rakyat.
Sementara itu, mengulas konflik dalaman MCA yang masih belum selesai, Najib berkata, parti itu perlu menyelesaikan masalahnya dengan segera.
"Setakat ini, belum ada perkembangan dalam MCA, tapi kita tunggulah... mereka perlu selesaikan konflik itu dalam masa tertentu, jika tak boleh cepat tapi jangan terlalu lambat," katanya.
- BERITA HARIAN
