Terengganu tutup firma rugi

Kira-kira 100 syarikat milik kerajaan Terengganu yang terbabit dalam perniagaan, komersial dan pelaburan akan distruktur semula bermula tahun depan dalam usaha menjadikannya lebih berdaya saing dan mampu menjana keuntungan dari semasa ke semasa.

Usaha itu akan dilakukan Terengganu Incorporated Sdn Bhd (TISB), iaitu perbadanan yang menguruskan semua aktiviti syarikat terbabit dan penstrukturan semula dijangka mengambil tempoh setahun untuk diselesaikan tanpa membabitkan pembuangan pekerja.

Pengarah Eksekutif TISB, Datuk Mustapha Ahmad Marican, berkata penstrukturan semula itu bagi membolehkan hanya kira-kira 40 syarikat beroperasi selepas melakukan gabungan, manakala syarikat yang tidak berfungsi atau rugi, akan ditutup.

Beliau berkata, kajian berhubung penstrukturan semula itu dilakukan sejak Jun lalu dan semua ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat terbabit sudah dipanggil bermesyuarat, baru-baru ini.

"Saya sudah mengarahkan semua CEO syarikat menyediakan pelan perniagaan mereka untuk tempoh lima tahun serta menyediakan bajet diperlukan dan setiap tiga tahun pertama, kita akan meneliti hala tuju syarikat supaya sepadan dengan pelan yang dirangka.

"Langkah itu membolehkan kita menilai prestasi syarikat, sekali gus menjadikannya lebih maju dan membawa keuntungan kepada negeri dan memberi faedah kepada rakyat.

"Bagi syarikat yang mempunyai fokus perniagaan sama, contohnya terbabit dalam sektor hartanah, kita akan melaksanakan penggabungan supaya tidak wujud pertindihan fungsinya selain memberikan fungsi yang lebih jitu terhadap peranan mereka," katanya ketika ditemui di sini semalam.

TISB kini memiliki tiga syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia iaitu TDM Berhad Group; Eastern Pacific Industrial Corporation (Epic) Berhad yang terbabit dalam industri minyak dan gas serta Golden Pharos Berhad yang terbabit dalam sektor pembalakan.

Ia diperbadankan pada 1 Mac 2006 dan agensi yang terbabit dengan TISB ialah Menteri Besar Inc, Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu, Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu, Yayasan Terengganu, Yayasan Islam Terengganu dan Yayasan Pembangunan Keluarga.

Syarikat lain yang diuruskan TISB termasuk Jasa Merin (M) Sdn Bhd yang menyediakan kapal sokongan pesisir pantai dalam sektor industri minyak dan gas; Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd yang mengurus dan mengendali sumber air untuk keperluan domestik dan komersial; Hartanah Terengganu Sdn Bhd dan GPQ Sdn Bhd (sektor hartanah dan pembinaan); Ladang Rakyat Terengganu Sdn Bhd, Ketengah Jaya Sdn Bhd dan Yit Ketengah Perwira Sdn Bhd (sektor pertanian, ladang sawit, ternakan ayam, kambing dan lembu).

Selain itu, TISB turut memiliki Hotel Primula Beach Resort dan Permai Inn serta syarikat pelancongan, YTYI Sdn Bhd, Pusat Perubatan Kuantan (KMC), Hospital Pakar Kuala Terengganu (KTSH) dan Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC); serta Safety Centre Sdn Bhd bagi sektor pendidikan untuk menaik taraf modal insan bagi memenuhi keperluan pada masa depan.

Mustapha berkata, beliau juga akan mewujudkan sistem Indeks Prestasi Utama (KPI) bagi setiap syarikat berdasarkan penyata kewangan masing-masing, selain membolehkan mereka mewujudkan persaingan sihat dan dijangka dapat meningkatkan prestasi syarikat masing-masing.

Dalam pada itu, beliau memberi amaran keras terhadap mana-mana pihak atau individu yang didapati cuba melakukan penyeleweng sehingga menjejaskan syarikat, mereka akan berhadapan dengan tegas, selain kes dirujuk kepada pihak berkuasa untuk tindakan sewajarnya.

"Kita serius memajukan semua syarikat dan tidak mahu ada pihak cuba mengambil kesempatan sehingga boleh menjejaskan usaha keras yang dibentuk sekian lama.

"Malah, kita menjadikan kejayaan Perbadanan Johor dalam sektor perniagaan sebagai contoh yang patut di ikuti agar kita dapat mencapai kejayaan yang sewajarnya.

"Oleh itu, bermula tahun depan, TISB juga akan melaksanakan usaha keras bagi menarik pelabur dari Jepun dan China untuk melabur di sini selain mengadakan usaha sama dengan syarikat kita, sekali gus membuka lebih banyak peluang perniagaan s kepada anak tempatan khasnya," katanya.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url