Evolusi Rentak Juara 4


Pertandingan mencari bakat-bakat baru di kalangan pemuzik tanah air, Rentak Juara musim keempat (RJ4) yang akan mula dipertandingkan mulai 1 Mei tahun depan memperlihatkan anjakan yang paling positif sejak ia dianjurkan pada tahun 2004.

Senario yang positif itu dapat dilihat apabila pertandingan anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) itu menetapkan matlamat yang jelas dalam penganjurannya iaitu mengutamakan lagu-lagu sendiri ciptaan para pesertanya.

Malah, pertandingan kugiran yang dianjurkan setiap dua tahun sekali itu turut menetapkan hanya lagu berbahasa Melayu sahaja dibenarkan bersaing dalam pertandingan menawarkan hadiah berupa wang tunai dan trofi itu.

Menurut Ketua Pengarah RTM, Datuk Ibrahim Yahaya, RJ mengambil pendekatan itu sebagai menyahut seruan kerajaan dalam usaha membentuk semangat jati diri bukan sahaja di kalangan pesertanya, malah para peminat muzik di negara ini.

“RTM yang terletak di bawah KPKK (Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan) cuba untuk menerapkan semangat jati diri dalam semua bidang termasuklah muzik.

“Juga dalam usaha menyemarakkan seni, budaya dan warisan kita. Peraturan pertandingan ini bagi menggalakkan para pesertanya mencipta lebih banyak lagu dalam bahasa Melayu.

“Pada masa sama kita juga menggalakkan setiap peserta Rentak Juara nanti mencipta lagu-lagu mereka sendiri supaya akan ada lebih banyak kelainan dalam lagu pada masa depan,” katanya pada sidang media RJ4 di Wisma TV, Angkasapuri, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Jelas Ibrahim, pendekatan itu mampu memberi cabaran daripada segi kreativiti kepada setiap peserta yang akan bersaing pada RJ4 kelak.

Katanya, RJ4 yang menampilkan tagline ‘2010 Julang Jati Diri’ itu berharap pendekatan itu bukan sahaja akan disambut baik oleh para peserta pertandingan itu kelak, tetapi juga diharap mampu melahirkan lebih kepelbagaian dalam lagu-lagu yang akan dipertandingkan kelak.

“Galakan mencipta lagu-lagu sendiri di kalangan setiap peserta Rentak Juara akan memberi cabaran kepada mereka sama ada boleh pergi lebih jauh ataupun tidak dalam bidang muzik yang akan mereka ceburi pada masa akan datang.

“Sebagai contohnya, kalau dalam pertandingan ini ada lagu-lagu baru ciptaan pesertanya yang biarpun baru pertama kali dipersembahkan di khalayak dan ia diminati ramai, maka itu suatu petanda yang positif. Kumpulan seperti itu ada peluang untuk menjadi top (popular).

“Ini kerana, tidak semua penyanyi boleh menyanyikan sesebuah lagu baru dengan baik, apatah lagi apabila ia buat pertama kalinya dipertanding atau dipersembahkan kepada khalayak,” tegasnya.

Selain menampilkan taglinenya yang berjalan seiring dengan hasrat kerajaan, RJ4 juga menmapilkan banyak perubahan, misalnya dengan menampilkan logo baru serta lagu tema barunya berjudul Rentak Sang Juara.

Lagu Rentak Sang Juara yang dinyanyikan oleh Azlan & The Typewriter itu merupakan lagu ciptaan Azman Mustafa (Man Felda) dan liriknya pula hasil tulisan Mohd. Ghazali Shaaib turut diperdengarkan pada majlis itu yang memperlihatkan hasrat dan matlamat pertandingan tersebut.

Malah, RTM juga dilihat begitu komited dalam menerapkan elemen jati diri menerusi RJ4 apabila tidak lagi menggunakan judul pertandingan Rentak Juara Rhythmn of Champions yang digunakan sebelum ini yang seolah-olah terlalu bergantung serta mengutamakan bahasa Inggeris.

Sebagai sebuah pertandingan yang sentiasa mengikut arus trend semasa, RJ4 tidak terkecuali menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) bagi memilih pemenang kategori tertentu yang bersesuaian.

“Secara umumnya kita akan menggunakan khidmat juri profesional bagi memilih pemenang bagi kategori terbaik, manakala untuk kategori popular maka barulah kita akan gunakan khidmat SMS,” ujarnya.

Pada masa sama, RJ4 masih belum bersedia mengumumkan hadiah kepada para pemenang pertandingan itu di mana fokus pada ketika ini akan lebih ditumpukan untuk sesi ujibakat bagi memilih peserta yang akan bersaing kelak.

Apa pun diharap RTM mampu menarik lebih banyak penaja bagi menaja hadiah yang lebih lumayan sebagai salah satu tarikannya.

RJ musim pertama contohnya, mencatat sejarah tersendiri dalam pertandingan kugiran tanah air apabila memberi wang tunai RM100,000 kepada juaranya di mana ia paling lumayan pernah ditawarkan di negara ini.

RJ yang diadakan setiap dua tahun sekali itu pada kali ini membuka penyertaannya kepada kalangan penyanyi serta pemuzik berkumpulan amatur dan profesional dan uji bakat di seluruh negara akan diadakan mulai 9 Januari ini di Sabah dan berakhir di Angkasapuri, KL pada 7 Mac depan.

Pertandingan peringkat suku akhir RJ4 akan bermula pada 1 Mei tahun depan, manakala pertandingan akhir pula akan diadakan pada 17 Julai tahun yang sama.

Hadir sama pada sidang akhbar pada pagi itu ialah Timbalan Pengarah Seksyen Produksi RTM, Rokiah Norma Ramli, Penerbit RJ4, Ain Sabrina Onn dan Penolong Penerbitnya, Norkhuzaimah Abd. Aziz.

Antara syarat ujibakat RJ4 ialah pertandingan ini tidak mengenakan had umur, terbuka kepada rakyat Malaysia secara berkumpulan yang dianggotai seramai empat hingga sembilan anggota dengan menyampaikan lagu-lagu bahasa Melayu ciptaan tempatan.

Sebarang pertanyaan sila layari laman sesawang www.rentakjuara.com atau hubungi talian 03-2288 7166 untuk maklumat lanjut berhubung pertandingan itu.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url