Harun Salim Bachik Tewaskan Mustapha Maarof Sebagai Presiden Seniman
Datuk Mustapha Maarof gagal mempertahankan jawatannya sebagai Presiden Persatuan Seniman (Seniman) yang dipegangnya selama tiga penggal apabila kerusi tersebut kini disandang oleh pelakon dan pengarah, Harun Salim Bachik bagi penggal 2010/2011.
Harun dipilih sebagai Presiden Seniman yang baru pada Mesyuarat Agung Seniman di Pawagam Mini P.Ramlee, Kompleks Finas, Hulu Klang, bagi pemilihan ahli-ahli jawatankuasa penggal ini.
Harun yang memenangi jawatan itu dengan kemenangan tipis mendapat 78 undian berbanding Datuk Mustapha dengan 74 undian. Seramai 159 ahli jawatankuasa persatuan membuang undi untuk pemilihan jawatankuasa kali ini dengan 7 undi rosak.
Turut kecundang pada pemilihan kali ini ialah pengarah tersohor, Ahmad Idham bagi jawatan Timbalan Presiden apabila kerusi tersebut kini diduduki oleh pelakon Shahriza Mahmud yang sebelum ini hanya memegang jawatan sebagai ahli jawatankuasa sahaja.
Pengarah Yusof Kelana masih kekal sebagai Setiausaha Kehormat manakala pelakon senior, Zulkifli Ismail dilantik sebagai Penolong Setiausaha yang sebelum ini dipegang oleh pelakon Sabree Fadzil.
Wafa Tan Sri Abdul Kadir pula dilantik sebagai Bendahari untuk penggal ini menggantikan Abu Bakar Omar.
Sementara itu, barisan AJK Seniman pada tahun ini terdiri daripada Faizal Hussein, Zed Zaidi, Jehan Miskin, Serina Redzuan, Rena Tan, Abbas Bakar dan Wazata Mohd Zin.
- MSTAR