Kopi tahi musang digilai


Oleh BORHAN ABU SAMAH
borhan.samah@utusan.com.my

Tentu peminat kopi kebanyakan tahu tentang kopi Luak. Kopi yang sangat enak yang dihasilkan di Indonesia dan terkenal ke seluruh dunia.

Pertama kali penulis mendengar tentang kopi berkenaan, penulis terasa bagaikan menarik namanya dan membangkitkan rasa ini menghirup kopi tersebut.

Pernah satu masa penulis mencari maklumat mengenai kopi berkenaan di dalam Internet, tetapi sukar dipercayai kerana maklumat diperoleh menyatakan kopi berkenaan dihasilkan daripada tahi musang.

Penulis berpendapat tentu ini kerja orang yang dengki dengan produk negara dunia ketiga atau lebih khusus lagi Asia Tenggara yang mampu mengalahkan kopi Starbucks dan seumpamanya dari segi popularitinya.

Namun ketika penulis bercuti dengan keluarga di Bali baru-baru ini, penulis ditawarkan oleh pemandu pelancong untuk ke kebun kopi yang terletak di kawasan Kintamani iaitu kawasan tanah tinggi di pulau yang dikenali sebagai Pulau Dewata itu.

Agak pelik mungkin bunyinya kerana kebanyakan orang berkunjung ke Bali akan menghabiskan kebanyakan masa di pantai sama ada menyaksikan matahari terbenam, mandi di lautnya yang jernih atau mungkin lebih hebat lagi menyelam dan bermain luncur ombak.

Aktiviti

Bagaimanapun penulis memang tidak gemarkan aktiviti di pantai atau laut kerana cuacanya yang panas dan air masin yang memeritkan kulit sehingga menyebabkan suasana yang tidak selesa, lebih memilih untuk ke kawasan tanah tinggi yang dingin serta menyegarkan. Apatah lagi penulis ke Bali sekadar melengkapkan hidup di Indonesia yang dikatakan kebanyakan kebanyakan orang, tidak lengkap jika tidak ke pulau pelancongan yang terkenal seluruh dunia itu.

Ketika berhenti di kawasan kebun kopi itu, tiada apa yang menarik bagi penulis kerana di belakang rumah penulis di Kampung Permatang Pasir, Bandar Baharu, Kedah juga banyak terdapat banyak pokok kopi.

Ketika kecil dahulu penulis masih ingat ibu penulis dan jiran-jiran yang lain sering memasak kopi sendiri, hasil daripada buah kopi yang dipungut di keliling rumah penulis.

Apatah lagi ketika tiba di lokasi berkenaan hujan mulai turun dan penulis memikirkan hanya untuk menikmati secawan kopi sebagai pelengkap hidup penulis, sebagaimana yang dilakukan setiap hari.

Penulis mengingatkan pemandu pelancong berkenaan yang dikenali sebagai Kadek, bahawa penulis tidak mahu melawat kebun kopi, sebaliknya hanya mahu menghirup secawan kopi sahaja.

Namun sempat juga penulis bertanya kepadanya apakah terdapat kopi Luak di kebun berkenaan dan dia mengakui memang ada kopi di kawasan kebun itu.

Ketika masuk ke kawasan bangsal di kebun itu penulis terlihat seorang lelaki pertengahan umur sedang memasak biji kopi menggunakan dapur kayu.

Aromanya cukup segar dan dia memberitahu sedang memasak kopi Luak. Penulis berasa cukup teruja dan terus bertanyakan apakah benar kopi berkenaan diperbuat daripada tahi musang?

Jawapannya memang betul, kopi Luak diperbuat daripada tahi musang. Tahi musang yang mengandungi biji-biji kopi dikutip dan dibersihkan sebelum dimasak dan dihancurkan menjadi kopi.

Kenapa tahi musang? Jawapannya mudah sahaja, kerana musang mempunyai deria tajam untuk memilih kopi yang terbaik dan benar-benar masak untuk dimakan. Biji-biji kopi tidak akan hadam dan dibuang bersama-sama najis musang.

Jika minuman ginseng, halia, teh, coklat dan kopi Bali diberikan percuma untuk dicuba di kebun itu, tetapi kopi Luak dikenakan bayaran kira-kira RM10 untuk secawan kecil.

Kedai

Selepas meminum kopi berkenaan, penulis terus bertanyakan di mana boleh dibeli kopi Luak dan penulis dibawa ke kedai yang terdapat di dalam kebun kopi itu.

Bagaimanapun penulis membatalkan niat untuk membeli kopi berkenaan, bukan kerana rasanya yang tidak enak, atau pembuatannya yang tidak bersih, tetapi kerana harganya yang terlalu mahal.

Bagi 100 gram kopi Luak ia dijual kira-kira RM180. Bayangkan untuk menghabiskan wang sebanyak untuk kopi terasa terlalu mahal dan tidak berbaloi.

Alasan kopi itu dijual dengan harga yang mahal kerana ia adalah tulen daripada tahi musang dan tidak dicampur dengan kopi lain sebagaimana yang dijual di Jakarta atau di tempat lain.

Rupa-rupanya tahi musang yang menjadi ukuran keenakan dan ketulenan Kopi Luak.

Bagaimanapun bagi penulis kopi yang dibawa oleh pembaca Utusan Malaysia iaitu Pakcik Nordin dari Baling, Kedah ketika bertandang ke rumah penulis di Jakarta, jauh lebih enak.

Bukan kerana ia percuma, tetapi kerana ia memenuhi cita rasa penulis yang dari kecil telah biasa dengan kopi dari Kedah.

Pada pandangan penulis ‘Kopi Kedah’ mempunyai potensi yang lebih besar jika dipromosi atau dijadikan satu jenama dan diangkat ke peringkat antarabangsa.

- MINGGUAN MALAYSIA
Next Post Previous Post
2 Comments
  • Murni Alfathunnisa
    Murni Alfathunnisa Isnin, 7 Disember 2009 pada 5:18:00 PTG SGT

    secawan kopi ni pun lebih kurang harga secawan starbucks..hurm..

  • Tanpa Nama
    Tanpa Nama Isnin, 7 Disember 2009 pada 10:02:00 PTG SGT

    baik gi kat kedai makanan herba minum air tongkat ali 'pure'...xde ler mahal camtu....lagi berkhasiat...pahit ler jugak...

Add Comment
comment url