Top Ad 728x90

Memupuk mentaliti, budaya bayar cukai

Oleh Mona Ahmad
mona@bharian.com.my

Kemakmuran dan pembangunan berterusan demi kepentingan rakyat boleh diteruskan jika semua pihak menjalankan tanggungjawab sebagai pembayar cukai, walaupun dalam keadaan ekonomi tidak menentu ketika ini. Justeru, pelbagai usaha dilaksanakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi memudahkan orang ramai menjalankan urusan menghantar borang cukai pendapatan dan membayar cukai.

Jika sebelum ini, misalnya, orang ramai bersesak-sesak di kaunter LHDN seluruh negara setiap kali menjelang bulan membayar cukai, iaitu Mac dan April. Bagaimanapun, sejak sistem taksiran cukai menerusi internet atau e-filing diperkenalkan mulai 2006, orang ramai tidak perlu lagi ke kaunter LHDN bagi menghantar borang cukai pendapatan dan ia boleh dibuat di mana saja menggunakan kemudahan internet.

Malah, LHDN turut memudahkan orang ramai menjelaskan cukai pendapatan individu menerusi pelbagai kaedah bayaran, termasuk Potongan Cukai Berjadual (PCB) dan menerusi perbankan internet seperti CIMB Bank, Bank Islam, Public Bank, Hong Leong Bank dan Maybank2u/Maybank2e.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam, Datuk Dr Ma’amor Osman, berkata rakyat perlu lebih prihatin kerana pembayaran cukai pendapatan adalah tanda tanggungjawab rakyat kepada negara. Katanya, ia adalah fardu kifayah antara manusia dengan manusia dan natijahnya sangat besar jika tidak laksanakan tanggungjawab itu.

“Membayar cukai adalah tanggungjawab wajib dipatuhi, selain zakat bagi umat Islam. Saya menyeru kepada rakyat Malaysia, jangan culas membayar cukai demi kepentingan dan kemakmuran negara. Kita perlu bersyukur kerana di negara maju sendiri cukai pendapatannya lebih tinggi daripada apa yang terpaksa dibayar rakyat di negara ini,” katanya.

“Kerajaan menerusi LHDN menyediakan pelbagai kemudahan bagi membolehkan orang ramai menjalankan tanggungjawab. Pihak korporat juga memainkan peranan penting dalam melaksanakan tanggungjawab ini bagi membolehkan kemakmuran dan pembangunan negara terus dilaksana,” katanya.

Jangan jadikan alasan ekonomi tidak menentu untuk tidak membayar cukai kerana tanpa suntikan daripada kerajaan menerusi cukai dipungut pembangunan tidak dapat diteruskan dan ini merugikan banyak pihak, terutama rakyat.

Perkara ini dipersetujui Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Shamsuddin Bardan yang berpendapat walaupun suasana ekonomi agak lembap, orang ramai perlu mempunyai kesedaran melaksanakan tanggungjawab membayar cukai.

“Tidak dinafikan banyak syarikat swasta alami kesukaran dalam keadaan ekonomi sekarang yang mungkin menyebabkan mereka sukar menjelaskan cukai korporat. Tahun depan, LHDN mungkin menghadapi masalah mencapai sasaran diharapkan, tetapi tidak bermakna pembangunan harus ditangguhkan ini kerana ia penting untuk merancakkan aktiviti ekonomi negara, sekali gus dapat menyumbang kepada kemajuan negara,” katanya.

Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid, berkata pelaksanaan cukai terhadap penduduk Islam tidak terkecuali ketika zaman Rasulullah SAW memerintah Madinah.

Katanya, selain zakat dikenakan kepada penduduk Islam, mereka juga dikenakan cukai kharaj, iaitu cukai pertanian kepada penduduk Islam yang layak.

Bagi penduduk bukan Islam pula, mereka dikenakan al-‘usyur, iaitu cukai kepala, manakala jizyah juga dikenakan terhadap mana-mana negeri yang ditawarkan menganut Islam, tetapi penduduknya memilih untuk kekal dalam agama yang asal. Cukai ini dikenakan bagi menjamin keselamatan dan perlindungan harta benda.

“Mengikut konteks zaman ini, langkah kerajaan mengenakan cukai tanah, bangunan dan perniagaan atau korporat tidak lari daripada apa dilaksanakan sebelum ini. Perbezaan cukai dikenakan ketika ini dengan mengikut landasan Islam ia bersifat tetap dan tiada peningkatan, walaupun dari setahun ke setahun,” katanya.

Menyingkap sejarah penubuhan LHDN, ia bermula sejak 1 Januari 1948 dengan pewujudan pentadbiran cukai di Persekutuan Tanah Melayu menerusi Ordinan Cukai Pendapatan 1947. Pejabat Cukai Pendapatan pertama ditubuhkan pada tahun sama bertempat di Bangunan Sulaiman, Jalan Hishamuddin, Kuala Lumpur. Sir RB Heasman dilantik menjadi Pengawal Besar Cukai Pendapatan yang pertama dengan 54 tenaga kerja.

Pada 1957, Pejabat Cukai Pendapatan ditukar kepada Jabatan Hasil Dalam Negeri (JHDN) dan gelaran Pengawal Besar Cukai Pendapatan ditukar sebagai Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri. Pada 1 Mac 1996, JHDN diperbadankan mengikut Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia 1995 (Akta 533) dan ditukar menjadi LHDN.

LHDN berfungsi sebagai ejen kerajaan dalam mentadbir dan menguatkuasa cukai seperti Cukai Pendapatan, Cukai Pendapatan Petroleum, Cukai Keuntungan Harta Tanah, Cukai Aktiviti Perniagaan Luar Pesisir Labuan, Duti Setem, Duti Harta Pesaka dan cukai lain.

Antara perkhidmatan diperkenalkan, termasuk penggunaan teknologi komputer sejak 1979 menerusi penubuhan unit memproses data elektronik, Sistem Taksir Sendiri (STS) pada 2001 diikuti perkhidmatan e-filing diperkenalkan pada 10 Februari 2006 dan setahun selepas itu kemudahan membayar cukai secara elektronik pula diperkenalkan menerusi e-bayaran.

Kecemerlangan LHDN bukan hanya bertumpu kepada skop perkhidmatan berasaskan percukaian semata-mata, tetapi juga pengiktirafan diterima pada peringkat anugerah perkhidmatan dan aktiviti kemasyarakatan dan sosial.

- BERITA HARIAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90