Mesej Pulau Asmara


Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA
liza.zakaria@utusan.com.my

Sudah menjadi lumrah dalam mana-mana penerbitan filem mahupun drama tempatan, kalau tidak menampilkan barisan pelakon terkenal lagi popular, sudah pasti langkah awal dalam menarik minat penonton ke pawagam menjadi samar.

Pun begitu, dalam berkarya faktor populariti bukanlah satu kemestian dalam menterjemah mesej tersurat dan tersirat yang cuba disampaikan.

Kelainan itulah yang cuba digunakan oleh syarikat produksi, Alakazam Productions Sdn. Bhd., dalam menerbitkan filem sulung mereka, Pulau Asmara yang dijadualkan menjengah pawagam tempatan bermula 17 Disember ini.

Barisan pelakon yang terlibat menjayakan filem tersebut ialah Faizal AF4, Sheikh Bolkiah, Abby Azis, Nadia Kesuma, Leez Rosli AF4, Shasha Arsheela, Datuk Aziz Singah, Latif Ibrahim dan Azie Shah.

Biarpun tidak menampilkan barisan pelakon popular, filem arahan Uttam Kumar Thangiah itu bagaimanapun ada mesej tersendiri yang cuba diketengahkan.

Penerbitnya, Datuk Aziz Singah ketika ditemui pada majlis sidang media filem tersebut di Snap Production, di Solaris Mont Kiara baru-baru ini memberitahu, selain percintaan yang turut difokuskan dalam filem tersebut ialah nilai persahabatan dan kekeluargaan.

"Menerbitkan filem yang mampu mencapai 100 peratus kehendak penonton memang susah. Bagaimanapun, Alakazam sendiri telah menyediakan satu 'hidangan' yang kami rasa harus di rasai oleh semua orang.

"Kekuatan yang ada pada filem ini bukan terletak pada barisan pelakonnya. Bagaimanapun, barisan pelakon yang kami ada telah membuktikan kemampuan mereka menerusi filem ini," kata Aziz.

Menyerahkan tugas memilih barisan pelakon kepada pengarahnya, kata Aziz dia berpuas hati dan sepakat memilih barisan pelakon yang ada.

"Kami berani tonjolkan artis-artis baru dalam filem ini kerana percaya pada bakat pelakon yang kami pilih. Walaupun tiada star value namun, mereka berbakat dalam lakonan.

"Melihat kepada industri perfileman kini, saya rasa sudah sampai masanya kita mempunyai pelapis. Kalau kita tidak melatih dan beri peluang kepada pelakon-pelakon baru maka susahlah untuk melahirkan bintang-bintang baru dalam lakonan.

"Bagi saya penerbit-penerbit baru tidak perlu takut pada 'perjudian' seperti ini. Ketika diuji bakat, bakat lakonan yang ditunjukkan oleh Faizal ternyata menyerlah. Biarpun dia seorang penyanyi, namun bakat lakonan yang ada padanya tidak boleh dipandang ringan.

"Mana tahu nanti, bekerjasama dengan pelakon berpengalaman yang ada, bakat lakonan Faizal boleh lebih menyerlah pada masa depan.

"Begitu juga dengan Shasha. Saya lihat dia juga mempunyai bakat tersendiri. Selama 25 hari menjalani pengambaran di Pulau Langkawi memang saya boleh lihat bakat yang ada pada dirinya," kata Aziz lagi.

Sebagai penerbit, sudah pasti harapan untuk menarik minat ramai penonton dan mencapai taraf box office menjadi kenyataan.

Bagaimanapun, kata Aziz segalanya bergantung kepada penilaian dan penerimaan para penonton kelak.

Ini bukan filem pertama yang dilakonkan oleh Faizal. Sebelum ini dia menerima cabaran pertamanya memegang watak utama dalam filem Momok The Movie.

"Ini merupakan pengalaman baru bagi saya. Pelbagai teknik lakonan terbaru yang saya pelajari menerusi filem ini yang saya rasa sungguh berguna untuk saya pada masa akan datang.

"Nak kata puas atau tidak berlakon dalam filem ini sudah tentu jawapannya tidak kerana kerana saya masih terlalu baru dalam bidang lakonan," kata Faizal.

Memegang watak Sam, merupakan seorang budak nakal yang gemar melawak dan gila-gila memberi kelainan kepada profil lakonannya.

Malah, melakonkan babak terjun ke dalam laut sedangkan hakikatnya dia tidak tahu berenang serba sedikit memberi perangsang buatnya untuk melakukan yang terbaik dalam memastikan lakonannya berjaya.

Berbeza dengan Faizal, Pulau Asmara merupakan filem pertama yang menguji kemampuan bakat baru, Shasha Arsheela.

Biarpun terlalu hijau dalam lakonan namun, katanya filem tersebut membuka pintu buatnya untuk membuktikan bakat lakonannya kepada umum.

Berat hati

Sementara itu, pelakon yang tidak asing lagi, Nadia Kesuma pada majlis yang sama ketika mengulas penglibatannya dalam filem tersebut mengakui berat hati menerima tawaran berlakon dalam filem tersebut pada awalnya.

Pelakon yang sebelum ini pernah menjayakan filem Akhirat itu mengakui barisan pelakon yang tidak popular serba sedikit mengganggu gugat keputusannya untuk turut serta.

"Bukan bermaksud untuk sombong tetapi saya risau sebab takut filem ini tak boleh jual.

"Saya terfikir juga kenapa tiada yang star dalam filem ini dan bolehkah filem ini pergi jauh tanpa melibatkan nama-nama besar.

"Bagaimanapun setelah berbincang dan mendapatkan pandangan daripada beberapa pelakon senior saya rasa tidak salah untuk mencuba dan alhamdulillah, secara perlahan saya nampak hikmah disebaliknya," kata Nadia berterus terang.

Melatari kisah tentang tiga pemuda, Taufik, Jeffri dan Sam yang bercuti ke Pulau Langkawi. Taufik seorang pemuda yang konservatif, Jeffi pula terkenal dengan sifat playboy manakala Sam pula seorang yang gemar melawak.

Ketiga-tiga mereka memiliki keperibadian berbeza namun tidak menghalang ikatan persahabatan mereka.

Percutian mereka dirancang dengan begitu sempurna dan lancar. Namun, kesempurnaan itu berakhir apabila takdir menemukan mereka dengan tiga gadis iaitu Lina, Amy dan Sofea.

Bukan hanya sebuah pertemuan malah, di situlah titik tolak yang mengubah takdir kehidupan mereka selamanya.

Satu persatu konflik timbul antara mereka malah, persoalan demi persoalan merungkai pelbagai rahsia yang tidak pernah dibayangkan oleh Taufik, Jeffri dan Sam dalam kehidupan mereka.

Mampukah mereka menghadapi takdir mereka dan mencari jalan keluar. Atau takdir apakah yang seterusnya menanti mereka di pulau tersebut?

Pastikan anda tidak ketinggalan menyaksikan filem Pulau Asmara di pawagam bermula 17 Disember ini.

Ikuti peraduan Jejak Kereta Pulau Asmara dengan hanya memotong keratan gambar artis setiap Isnin hingga Sabtu dalam sisipan Mega, Utusan Malaysia dan anda berpeluang menangi hadiah utama berupa sebuah Proton Saga 1.3 SE bermula 14 Disember ini.

Borang dan syarat penyertaan bagi melayakkan anda menyertai peraduan itu boleh didapati dalam sisipan Pancaindera, Mingguan Malaysia.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url