PNB berjaya tarik 700,000 pelabur

KUALA LUMPUR 2 Dis. 2009 - Permodalan Nasional Berhad (PNB), sehingga kini berjaya menarik 700,000 pelabur melanggani produknya di sebalik kegawatan ekonomi.

Tahun lalu, PNB berjaya menarik 500,000 pelabur.

Timbalan Presiden Unit Amanah PNB, Idris Kechot berkata, peningkatan itu yang dicapai pada tahun ini, adalah hasil penawaran produk baru yang menyaksikan pelabur sedia ada turut membuka akaun baru untuk mempelbagaikan pelaburan mereka.

Idris menjangkakan bilangan pelabur melanggani unit amanah PNB yang diurus oleh Amanah Saham Nasional Bhd. (ASNB), anak syarikat PNB akan meningkat dengan bertambahnya kesedaran di kalangan orang ramai.

PNB kini mempunyai seramai 9.91 juta pelabur.

Beliau dalam majlis taklimat tentang Amanah Saham 1Malaysia (AS1M) di sini menambah, jumlah nilai langganan AS1M kini melebihi RM2.8 bilion dan setiap hari jumlah langganan itu mencatatkan peningkatan.

Idris berkata, PNB kini giat mengadakan pameran bergerak di seluruh negara untuk memberi gambaran jelas tentang produk itu, selain membantu rakyat Malaysia merancang pelaburan mereka.

Menurut beliau, meskipun AS1M telah dilancarkan hampir lima bulan lalu tetapi masih ramai yang kurang faham tentang dana tersebut sehingga menyebabkan mereka teragak- agak untuk melabur.

Idris menambah, PNB tidak mengenakan bayaran atau caj jualan dan penebusan bagi mana-mana pelabur yang mahu menjualnya semula.

AS1M seperti mana unit amanah PNB yang berharga tetap lain tidak mempunyai tempoh matang, sekali gus membolehkan pelabur menebus dana itu pada bila-bila masa.

Katanya, meskipun di dalam prospektus AS1M menyatakan pengurus dana itu, Amanah Saham Malaysia Bhd. (ASNB) akan mengenakan bayaran atau caj jualan sehingga satu peratus daripada jumlah pelaburan, tetapi hakikatnya perkara itu tidak langsung dikuatkuasakan.

Idris juga berkata, prestasi penanda aras AS1M adalah berdasarkan peruntukan aset dana tersebut dan profil risikonya.

Penanda aras AS1M diukur berdasarkan purata hasil lima tahun Sekuriti Kerajaan Malaysia (MSG) selaras dengan objektifnya sebagai dana pelaburan jangka panjang dan pendapatan.

''Kami tentunya tidak boleh memberi jangkaan (pulangan AS1M) sekarang tetapi orang ramai dan pelabur boleh melihat rekod-rekod pengagihan pendapatan dana-dana lain yang lalu.

''PNB bagaimanapun, tidak pernah gagal dalam memberikan agihan pendapatan sejak lebih 30 tahun lalu,'' ujar beliau.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url