Skuad badminton wanita negara meraih emas di Sukan SEA Laos


Penantian 34 tahun berakhir apabila skuad badminton wanita negara mencatat keputusan gemilang, memenangi emas berpasukan selepas menewaskan juara bertahan, Indonesia 3-1 di Dewan Gimnasium Kompleks Sukan Nasional, semalam.

Mata kemenangan itu diperoleh menerusi gandingan Woon Khe Wei-Ng Hui Lin yang digandingkan semula selepas dua tahun berpisah.

Mereka mengambil masa 60 minit mengecewakan Greysia Poli-Liliyana Natsir 19-21, 21-12, 21-18.

“Saya tidak tahu nak cakap apa kerana terlalu gembira. Tidak pernah terlintas saya dan Hui Lin boleh mencipta sejarah ini.

“Memang tak sangka. Ia benar-benar satu sejarah baru dalam hidup kami. Apapun saya bangga menghadiahkan pingat emas ini kepada negara. Tidak dapat saya gambarkan keseronokannya.

“Ini bukan saja pingat emas pertama Sukan Sea, tapi kemenangan pertama kami berpasangan bersama di peringkat antarabangsa,” katanya.

Menurut Khe Wei, dia bangga dapat mengetepikan kemarau emas berpasukan wanita selepas kali terakhir memenanginya pada Sukan Seap 1975 di Bangkok.

“Tiada siapapun meramalkan kami menjuarainya dan hari ini kami buktikan,” katanya.

Pasangannya, Hui Lin mengakui cukup gementar apabila Indonesia merubah taktik dengan menyenaraikan pasangan utama mereka itu sebagai beregu kedua.

“Mereka cukup berpengalaman berbanding kami. Namun kerana kami sebenarnya tidak diharapkan apa-apa, saya dapat bermain dengan mantap.

“Paling menyenangkan apabila persefahaman kami cukup padu dengan menggunakan taktik menyerang di samping mantap bertahan,” katanya yang kelihatan beberapa kali tersenyum dalam gelanggang.

Mendedahkan cerita sebenar, Hui Lin berkata, mereka sebenarnya tidak tahu siapa yang bakal menjadi pasangan masing-masing untuk diturunkan sebagai beregu kedua selepas Wong Pei Tty-Chin Ee Hui.

“Kami hanya dimaklumkan hanya bila sampai di Laos ini. Jadi kami berlatih seperti biasa saja. Pada hari pertandingan barulah kami diberitahu saya bergandingan dengan Khe Wei.

“Mujur kami pernah bersama dulu, jadi tidak perlu mengambil banyak masa untuk menyesuaikan rentak persembahan masing-masing," katanya.

Terdahulu, Wong Mew Choo seperti dijangka selepas kejayaan menjuarai Siri Super Masters Final, memberikan mata pertama dengan kemenangan mudah ke atas Adrianty Firdasari 21-18, 21-17 sebelum Pei Tty-Eei Hui melebarkan kemenangan 2-0 mengecewakan Shendy Irawat -Meiliana Jauhari 21-17, 21-13.

Bagaimanapun perjalanan yang nampak mudah itu tersekat oleh kekalahan Lydia Cheah 8-21, 9-21 kepada Maria Kristin.

Namun tanpa disangka muncul gelombang baru cabaran negara menerusi Khe Wei-Hui Lin yang bermain bagaikan pasangan bertaraf dunia, biarpun kedua-duanya baru berusia 20 tahun.

- HARIAN METRO
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url