Soal Jawab Agama: Permasalahan furu' jika dibahas boleh bawa perpecahan

Bersama Ustaz Zamanuddin Jusoh
zaman@nstp.com.my

Saya ingin mendapatkan penjelasan berkaitan bidaah dan apakah pandangan ustaz mengenai doa qunut pada solat Subuh, membaca al-Quran dan berzikir beramai-ramai dan lain-lain. Saya juga terbaca sebuah hadis yang menyebut bahawa Nabi SAW tidak pernah mengangkat tangan ketika berdoa kecuali pada solat minta hujan saja (istisqa').

Pelajar IPTA,
Selangor


PERKARA yang saudara sebutkan adalah termasuk perkara furu' (cabang) yang menjadi khilaf di kalangan ulama. Kita tidak digalakkan membahas semula perkara itu kerana ia sudah dianggap selesai oleh ulama terdahulu.

Antara perkara furu' ialah membaca al-Quran dengan nyaring di dalam masjid; melepaskan tangan ketika solat; membaca wirid beramai-ramai selepas solat; membaca al-Quran untuk si mati; berzikir ketika mengiringi jenazah; mengangkat kedua tangan ketika berdoa selepas solat; penggunaan tasbih dalam berzikir, bertawasul; berselawat ke atas Nabi SAW selepas solat fardu; zikir Asma'ul Husna selepas solat; mengucapkan kalimah 'Saidina' kepada Nabi SAW ketika azan, iqamah dan semasa membaca tasyahhud di dalam solat; kenduri arwah (tahlil); perayaan Maulid Nabi SAW dan lain-lain.

Bekas Mufti Mesir, Syeikh Ali Juma'ah di dalam kitabnya Al-Albayan Lima Yusghil Azhan juga bersetuju dengan amalan sedemikian dan menyatakan bahawa ia tidak membawa kepada kesesatan.

Hadis Nabi SAW yang saudara baca membawa maksud bahawa Nabi SAW mengangkat tangan lebih tinggi daripada biasa sehingga menampakkan ketiak Baginda ketika solat minta hujan. Adapun pada waktu yang lain beliau mengangkat tangan secara sederhana saja.

Imam Syatibi menyebut di dalam Al-Maqasid, bidaah ialah:

  • Apa yang direka-reka dalam perkara agama.

  • Perkara berkenaan tiada dalil dari al-Quran dan hadis.

  • Bertujuan menyanggah apa yang dibawa Rasulullah SAW.

    Benarlah kata setengah ulama, "Jika orang jahil itu berdiam diri, maka kuranglah perbezaan pendapat di kalangan mereka". Sebesar-besar bidaah dewasa ini ialah memecah-belah perpaduan umat Islam pada perkara furu' (cabang) dalam agama yang menjadi khilaf di kalangan ulama.

    Sudah berlaku pada masa kehidupan Imam Makhul di mana jemaah membaca al-Quran secara berjemaah di masjid selepas solat Subuh. Maka berita ini sampai kepada Imam Malik yang kemudian menulis surat kepada Imam Makhul berbunyi, "Aku mendapat berita bahawa kamu membaca al-Quran secara berjemaah selepas solat Subuh".

    Jawab Imam Makhul di dalam suratnya, "Saya ingin menyatakan pendapat kepada tuan bahawa membaca al-Quran selepas Subuh secara berjemaah adalah sesuatu yang baik". Maka jawab Imam Malik, "Adalah lebih baik pada pandanganku seorang membaca dan yang lain mendengar saja". Bermakna perbezaan di sini ialah antara yang 'baik' dan 'lebih baik' saja dan tidak mengundang perpecahan antara mereka.

    Maka di sana kita dapati banyak maksud yang baik pada perkara demikian antaranya:

  • Menghindarkan umat daripada melupai al-Quran.

  • Mengajar kepada mereka yang tidak mahir membaca.

  • Memberi ruang masa yang berfaedah kepada umat daripada melakukan perkara melalaikan.

    Janganlah kita menjadi penyebab kepada jauhnya manusia dengan Allah SWT dengan seruan yang kita laungkan atas nama dakwah.

    Kita hendaklah memahami usul kepada kaedah fiqh dakwah bahawa kita tidak wajar menghalang manusia daripada melakukan perkara yang terdapat khilaf padanya. Apatah lagi apabila menghalang perkara yang kita menganggapnya mungkar yang boleh mengundang kemungkaran yang lebih berat seperti pergaduhan dan pertumpahan darah seterusnya memecahkan kesatuan umat Islam sendiri.

  • - BERITA HARIAN
    Next Post Previous Post
    No Comment
    Add Comment
    comment url