Sumber terbuka bangunkan perisian
afiq@hmetro.com.my
Apabila bercakap mengenai sumber terbuka atau 'open source', pasti ramai yang kurang pasti definisi sebenar di sebalik perkataan itu dalam dunia teknologi maklumat masa kini.
Sumber terbuka boleh membawa maksud kod program aplikasi atau perisian boleh dikongsi jurutera program atau sesiapa saja asalkan ia mendapat akses kepada data terbabit yang didedahkan secara percuma di dunia siber.
Ia bermakna kod program itu mampu diubah suai mengikut kehendak si jurutera bagi mengembangkan program komputer agar ia menjadi aplikasi lebih baik yang boleh dikongsi individu lain.
Namun, individu yang mahu berkecimpung dalam teknologi sumber terbuka perlu arif dalam bidang perkomputeran terutama berkaitan kod program dan skrip.
Penggunaan teknologi ini di Malaysia pula masih baru dan meningkat naik sejak ia diperkenalkan pada 1994.
Sistem operasi Linux, aplikasi pelayan web Apache, program skrip PHP dan pusat data popular MySQL antara contoh hasil sumber terbuka yang berkembang pesat dalam indsutri perkomputeran serta diiktiraf banyak pihak.
Kebanyakan pengamal sumber terbuka pula dikatakan individu celik IT yang berusaha mencipta program bersesuaian dengan keperluan hidup manusia tanpa mengharapkan ganjaran pada masa depan.
Usaha komuniti pembangunan perisian sudah dimulakan sejak 1960 yang mana pada ketika itu, individu atau organisasi menyumbang masa dan sumber untuk membangunkan teknologi tanpa kos digelar 'freeware'.
Pada 1998, Netscape memperkenalkan kod bagi pelayar web Navigator di bawah terma sumber terbuka bagi mengelakkan perkataan 'percuma' atau 'free' yang digunakan dalam freeware membawa makna negatif kepada pengguna.
Selepas banyak perdebatan dalaman mengenainya, komuniti freeware bersetuju untuk mengguna pakai terma baru yang disebut Inisiatif Sumber Terbuka (OSI).
Sumber terbuka adalah model yang mesra komuniti dan berinovatif dalam menyediakan perisian berkualiti tinggi berdasarkan standard industri.
Sumber terbuka dilesenkan di bawah Lesen Umum Awam (GPL) yang memberikan penyelesaian fleksibel kepada pengguna untuk menggunakan perisian secara percuma tanpa risau mengenai kata laluan vendor.
Ia terus berkembang memandangkan salah satu komponen dalam sumber terbuka itu sendiri memerlukan pembangun perisian bersedia mendedahkan programnya kepada umum.
Mungkin ramai yang bertanya dari mana sumber keuntungan jika penat lelah membangunkan program ditawarkan percuma kepada umum?
Dunia sumber terbuka mampu menjana keuntungan berdasarkan perisian dikomersialkan mendapat perhatian pasaran atau vendor yang mendapat manfaat daripada pembangunannya.
Syarikat komersial sumber terbuka akan menawarkan versi enterpris daripada produk asas yang ditambah dengan kemajuan program, sokongan pakej lain dan perkakasan tambahan bagi kod asal disediakan.
Malah, model perniagaan terbabit turut membabitkan penjualan perkakasan yang dikuasakan program direka.
Empat kunci utama yang menjadikan tarikan kepada sumber terbuka bergantung berbanding perisian dipatenkan termasuk nilai, inovasi, kualiti dan pilihan.
Dalam kebanyakan kes, produk sumber terbuka jauh lebih murah berbanding perisian dipatenkan kerana pembangunannya banyak disokong komuniti meluas berbeza dengan syarikat yang membangunkannya secara berseorangan.
Langkah ini juga membolehkan vendor sumber terbuka mengenakan caj lebih murah dengan produk yang menyamai inovasi perisian dipatenkan.
Justeru, mengikut laporan dilakukan penyelidik Forrester turut mendedahkan hampir 56 peratus pengguna enterpris mengatakan pengurangan kos sebagai motivasi utama untuk mereka menetapkan sumber terbuka dalam sistem.
Selain itu, inovasi dibangunkan menerusi sumber terbuka lebih mendepani teknologi kerana ia sentiasa dibangunkan komuniti dengan ciri dan keupayaan baru seperti yang dapat dilihat menerusi enjin carian Firefox.
Memandangkan komuniti sumber terbuka yang berskala besar bekerja bersama dalam menguji dan menyokong produk, kualiti dihasilkan dikatakan jauh lebih baik jika dibandingkan dengan produk dipatenkan.
Sumber terbuka turut menawarkan pilhan meluas kepada dunia teknologi dengan pelbagai versi yang mampu diolah tanpa had memudahkan industri memilih produk terbaik untuk mereka.
Pembekal penyelesaian sumber dunia terkemuka, Red Hat yang berpengkalan di Amerika Syarikat pula menganggap dunia sumber terbuka sebagai ruang bagi menawarkan produk yang lengkap kepada industri.
Presiden Inisiatif Sumber Terbuka serta Naib Presiden Hubungan Sumber Terbuka Red Hat, Michael Tiemann, berkata sumber terbuka banyak menumpukan aspek teknikal dalam produk yang releven untuk industri.
"Ketika ini, sumber terbuka banyak didapati dalam produk enterpris," katanya.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan suasana sumber terbuka akan menular kepada industri permainan yang disokong penerimaan inovasi terbabit dalam komuniti berkenaan.
"Perkembangan industri permainan turut akan terkena tempias sumber terbuka kerana pengguna mengharapkan produk berkualiti tinggi dari semasa ke semasa yang mampu ditawarkan komuniti mengamalkan sumber terbuka," katanya.
Mengulas mengenai perkomputeran 'cloud' dalam suasana sumber terbuka, Tiemann menjelaskan, ia banyak dibantu model teknologi terbabit untuk membangunkan lebih banyak aplikasi .
"Saya turut menjangkakan lebih banyak syarikat yang tumbuh menggunakan teknologi sumber terbuka terutama dalam indsutri baru," katanya.
Katanya, penggunaan penggunaan sumber terbuka akan mengurangkan kebergantungan kepada perisian yang dipatenkan dan dijangka digunakan industri animasi, arkitektur dan sebagainya.
"Kelebihan sumber terbuka membantu menguatkan aplikasi kerana ia adalah gabungan komuniti paling ramai di dunia," katanya.
Tambahnya, komuniti sumber terbuka tidak mengfokuskan keuntungan semata-mata tapi berusaha merungkai masalah yang dialami penduduk di dunia.
"Kes Tsunami adalah contoh terbaik apabila individu dalam komuniti sumber terbuka Berjaya menghasilkan aplikasi yang membantu mengawal keadaan terutama dalam pengiraan jumlah kematian, mengkaji kos kerugian, mengesan mayat dan banyak lagi," kata Tiemann.
Tiemann turut berkata, penggunaan sumber terbuka di negara ini akan berkembang pada masa akan datang terutama selepas ia mendapat sokongan kerajaan melalui agensinya, Unit Pemodenan Pentadbiran dan Pengurusan Perancangan Malaysia (MAMPU).
"Saya beranggapan, faktor utama yang menyebabkan kerajaan bersedia menggunakan sumber terbuka adalah kedaulatan sebuah negara itu sendiri apabila kerajaan mampu memantau aplikasi yang dibangunkan," katanya.
Menurutnya, penggunaan sumber terbuka juga membantu negara ini berdaya saing di peringkat antarabangsa terutama berkaitan teknologi.
Kerajaan Malaysia memutuskan untuk menggalakkan penggunaan Perisian Sumber Terbuka (OSS) sejak 2002 yang diselenggarakan MAMPU.
- HARIAN METRO