Taktik menipu pengguna

Tidak serik. Itulah perkataan yang sesuai ditujukan kepada segelintir masyarakat yang membiarkan diri mereka mudah diperdaya dan ditipu oleh sindiket ejen gores dan menang atau aktiviti penipuan seumpamanya.

Bukan sekali atau dua, malah saban tahun ada sahaja berita terpampang di akhbar mengenai individu yang tertipu beribu-ribu ringgit oleh sindiket berkenaan.

Bila lagi masyarakat kita mahu sedar? Penganjur atau peniaga yang menjalankan penipuan itu pula boleh dikategorikan sebagai penyangak yang mahu mengaut keuntungan sekelip mata, demikian menurut Ketua Pengarah, Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Mohd. Roslan Mahayudin.

Taktik pengguna gores dan menang digunakan sebagai kaedah untuk mendekati pengguna.

Bukan itu sahaja, terdapat banyak kaedah lain. Contohnya buka dan menang yang boleh mempengaruhi orang ramai supaya terpengaruh dengan produk yang ingin diperkenalkan.

Pihak KPDNKK cuba sedaya upaya menangani aktiviti itu kerana banyak berlakunya penipuan.

Ia biasanya melibatkan janji yang dinyatakan kepada pengguna tidak tepat dan tidak dipenuhi. Kalau ada produk yang dijanjikan, ia pasti lebih mahal daripada biasa.

Kurang pengetahuan

Contoh produk yang biasa ditawarkan ialah ketuhar gelombang mikro. Ia boleh didapati pada harga sekitar RM200 hingga RM300 sedangkan ejen gores dan menang menawarkan pada harga mencecah sehingga RM800 seunit.

"Sebab itulah kita mencegah penipuan melalui kaedah gores dan menang, buka dan menang dan bermacam-macam lagi yang bertujuan menipu pengguna.

"Jangan mudah terpengaruh dengan barang yang ditawarkan. Perlu ingat bahawa tiada yang datang secara percuma. Kalau sesuatu itu terlalu baik mesti ada sesuatu yang tidak kena. Jadi berhati-hatilah," kata Roslan mengingatkan.

Sebenarnya, penipuan sebegini berlaku apabila satu pihak lemah dan satu pihak lagi berkuasa. Kebiasaannya, pengguna ialah pihak yang lemah. Lebih-lebih lagi mereka yang tinggal di pedalaman dan kurang pengetahuan.

Kadangkala sesetengah pengguna sudah dapat meneka apabila melihat sesuatu jenama. Namun, pengguna di pedalaman mudah terpengaruh kerana kebanyakan mereka tidak mengetahui latar belakang jenama tersebut.

"Jadi kita pun mudah bersetuju. Kadang-kadang harganya cukup murah. Malangnya, sekejap sahaja sudah rosak. Saya fikir pendidikan pengguna perlu dipertingkatkan.

"Ini kerana masalah penipuan timbul berikutan kurangnya kesedaran pengguna. Kami di KPDNKK sentiasa berusaha untuk meningkatkan tahap kesedaran pengguna melalui pelbagai cara," katanya. Penipu sering mengubah cara mendekati pengguna. Jika tidak datang ke rumah, mereka akan pergi ke kawasan tumpuan ramai seperti kedai makan, stesen bas, tempat letak kereta dan pasar raya.

Teknik penipuan juga berbeza-beza. Mungkin hari ini mereka gunakan gores dan menang, keesokan hari pula mereka menyuruh meneka jarum penunjuk arah kepada gambar barang berharga termasuk kereta.

Tetapi untuk memenanginya, bermacam-macam syarat diletakkan termasuk meminta pengguna membeli dahulu barang lain yang harganya jauh lebih tinggi berbanding harga di pasaran.

Akhirnya, Proton Perdana tidak diperoleh dan mangsa membeli barang yang tidak diperlukan seperti ketuhar gelombang mikro dan mesin urut kaki. Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa masa yang dibenarkan kepada ejen-ejen syarikat datang ke rumah ialah antara pukul 9 pagi hingga 6 petang.

Selepas waktu berkenaan ejen-ejen syarikat tidak boleh datang ke rumah termasuk pada cuti hujung minggu, melainkan mereka telah mengadakan temujanji.

Ketika mengadakan promosi produk, mereka tidak boleh mengambil duit atau mengutip deposit.

Tempoh bertenang

Mereka hanya boleh memperkenalkan produk, mengambil maklumat dan pengguna pula tidak boleh terima barang.

Ini kerana kedua-dua belah pihak berada dalam tempoh bertenang selama sepuluh hari.

Jika ejen berkenaan datang selepas tempoh bertenang, barulah mereka boleh memungut deposit dan pengguna boleh menerima barang.

Rasional di sebalik undang-undang menetapkan tempoh bertenang itu ialah untuk melindungi pengguna dan membolehkan mereka berfikir.

Bagaimanapun, apa yang berlaku sekarang ialah ejen jualan terus mengutip wang. Ini kerana kalau tidak terus dikutip, mereka tidak akan dapat pelanggan.

Roslan berpendapat, jika ia berlaku di rumah orang ramai boleh menghubungi pihak berkuasa, jabatan KPDNKK atau pihak polis.

"Laporkan segera. tetapi, paling penting ialah pengguna itu sendiri. Kalau sudah terfikir bahawa dia mungkin sedang ditipu, jangan terima apa jua yang ditawarkan. Jauhi dan jangan layan mereka", katanya.

Pengguna juga perlu memastikan ejen yang datang ke rumah memiliki kad pengenalan diri untuk mewakili sesebuah syarikat.

Kad itu mestilah mempunyai gambar pembawa, nama syarikat dan nombor lesen jualan langsung yang diluluskan.

Sebagai pengguna, anda wajar meminta kad untuk pengesahan. Kemudian, terpulang kepada pengguna untuk membenarkan ejen berkenaan masuk atau tidak ke dalam premis, kawasan pagar atau rumah.

- BERNAMA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url