Tangan kotor penyebab cirit-birit pembunuh

Penyakit cirit-birit yang serius adalah antara punca kematian yang biasa di negara membangun dan menjadi punca kedua kematian bayi di dunia.

Kehilangan cecair dari badan akibat cirit-birit boleh menjadi penyebab utama kematian di kalangan penghidapnya.

Berdasarkan keputusan separa satu kajian yang dikeluarkan pada Oktober 2009, cirit-birit dianggarkan menyebabkan 1.1 juta kematian setiap tahun di kalangan golongan yang berumur lima tahun ke atas.

Menurut Tabung Pendidikan Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef), cirit-birit adalah penyebab kematian kira-kira 1.5 juta orang kanak-kanak di bawah umur lima tahun di seluruh dunia pada setiap tahun.

Tahukah bahawa punca utama cirit-birit di Malaysia ialah keracunan makanan yang disebabkan tabiat kebersihan yang buruk, terutama sekali amalan tidak membasuh tangan dengan betul?

Keracunan makanan (yang menjadi punca utama cirit-birit) adalah antara penyakit utama di Malaysia yang disebarkan melalui air dan makanan.

Di Malaysia saja, kira-kira 1,251 kes keracunan makanan berlaku pada 1990. Hampir dua dekad kemudian, kita melihat jumlah yang lebih mengejutkan iaitu 6,938 kes pada 2006. Ia menandakan kenaikan sebanyak 11 peratus setiap tahun.

Jika kadar ini berterusan, kita akan berdepan dengan hampir 30,000 kes keracunan makanan dalam dekad yang akan datang, dengan hampir 1,000,000 kes pada 2045.

Ini bermakna, dalam jangka masa tiga hingga empat dekad yang akan datang, dalam setiap minit ada kira-kira dua orang rakyat Malaysia akan terkena keracunan makanan.

Penyakit yang disebarkan melalui makanan selalunya berpunca daripada cara pengendalian, persiapan dan penyimpanan makanan yang tidak betul.

Amalan kebersihan yang baik sebelum, semasa dan sesudah penyediaan makanan akan dapat mengurangkan risiko jangkitan penyakit yang berkaitan dengan kebersihan.

Komuniti kesihatan awam secara umumnya bersetuju bahawa amalan membasuh tangan adalah cara yang paling berkesan dalam mengekang penyebaran penyakit keracunan makanan.

Walaupun kita didedahkan kepada produk kebersihan sejak beberapa dekad yang lalu, hakikatnya, penyakit ini masih berleluasa di negara ini. Kenaikan kadar cirit-birit mencerminkan ketidakberkesanan produk kebersihan yang sering digunakan.

Meskipun orang ramai dididik mengenai penggunaan sabun antibakteria dalam kehidupan seharian, tanya pada diri sendiri - mengapa penyakit seperti cirit-birit masih meningkat, walaupun sudah bertahun lamanya kita bergantung kepada sabun berubat yang dipercayai beberapa generasi?

Satu-satunya jawapan yang mungkin tepat ialah mutu sabun antibakteria yang ada di pasaran hari ini.

Dengan kehadiran penyakit yang lebih mencemaskan seperti Influenza A (H1N1) yang berleluasa kini, sangat penting untuk kita mencari penyelesaian yang bukan saja berkesan dalam menyekat penularan penyakit biasa seperti cirit-birit, malah mampu melindungi kita daripada penyakit baru yang akan datang.

Apa yang diperlukan adalah sabun antibakteria yang baru, bermutu tinggi dan dapat menetapkan mutu piawaian tertinggi dalam perlindungan daripada kuman.

Lebih daripada itu, setiap keluarga berhak mendapatkan penyelesaian terkini untuk menangani kebimbangan hari ini dan berlindung daripada ancaman hari esok.

- HARIAN METRO
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url