Top Ad 728x90

,

8 bank asing baru mula operasi di Malaysia

Mulai tahun ini, negara dijangka menyaksikan kemasukan sehingga lapan bank asing baru termasuk dua bank Islam mega yang memiliki modal berbayar sekurang-kurangnya AS$1 bilion dan kehadiran bank komersial terbesar dunia, Industrial dan Commercial Bank of China Limited (ICBC). Tujuh daripada lesen baru itu adalah lanjutan liberalisasi sektor kewangan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 24 April 2008.

Selain tawaran dua bank Islam mega menerusi langkah berkenaan, Bank Negara tahun lalu turut menawarkan dua lesen perbankan perdagangan baru kepada peserta asing yang akan membawa kepakaran khusus bagi memenuhi keperluan dalam sektor kewangan dan merangsang perkembangan ekonomi sasaran. Sementara itu, tiga lagi lesen perbankan perdagangan ditawarkan pada 2011 kepada bank bertaraf dunia yang mampu memberikan manfaat besar kepada Malaysia.

Pada 20 November 2009, Bank Negara memberi lesen bank perdagangan baru kepada ICBC hasil rundingan dua hala dengan Suruhanjaya Peraturan Perbankan China dan bank berkenaan dijangka beroperasi seawal Mac ini. Kemasukan bank asing itu menimbulkan kebimbangan sesetengah pihak mengenai keupayaan bank tempatan untuk bersaing, justeru, bakal menyaksikan bank asing menguasai pasaran kewangan tempatan.

Bank Negara dalam kenyataannya tahun lalu berkata, langkah berkenaan dibuat untuk memperkukuh hubungan ekonomi Malaysia dengan negara lain dan meningkatkan peranan sektor kewangan sebagai pendorong dan pemangkin utama pertumbuhan ekonomi negara. Ia sejajar objektif yang disasarkan di bawah Pelan Induk Sektor Kewangan (FSMP) yang dikeluarkan pada 2001 untuk membangunkan sektor kewangan yang berdaya tahan, pelbagai dan berkesan.

Selain itu, katanya, reformasi kewangan dan usaha bina upaya yang dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu khususnya selepas Krisis Kewangan Asia 1997, menyaksikan peningkatan institusi kewangan domestik.

Kini bank domestik mempunyai tahap permodalan kukuh dengan nisbah modal wajaran risiko (RWCR) pada 12.5 peratus dan saiz aset purata RM91.6 bilion.

Bank domestik juga kini dilihat lebih berdaya tahan dengan tadbir urus korporat yang lebih teguh, struktur dalaman cekap, amalan pengurusan risiko mantap dan sumber pendapatan pelbagai. Kapasiti yang lebih kukuh juga membolehkan bank domestik meneroka ke luar negara dan meraih manfaat daripada peluang perniagaan baru.

Meskipun persekitaran untuk beroperasi semakin mencabar, bank domestik berjaya mengekalkan bahagian pasaran sebanyak lebih daripada 70 peratus. Justeru, institusi kewangan kini lebih bersedia untuk bersaing dalam persekitaran yang lebih longgar dan mencabar.

Berdasarkan kajian Robert Lensink dan Neils Hermes mengenai kesan kehadiran bank asing di 48 negara yang disiarkan dalam The Journal of Banking Finance pada 2003, mendapati kemasukan bank asing akan merangsang bank tempatan menurunkan kos, meningkatkan kecekapan dan mempelbagaikan perkhidmatan.

"Pertamanya, kemasukan bank asing akan menyebabkan bank tempatan berlumba meningkatkan kualiti perkhidmatan dalam usaha mengekalkan penguasaan pasaran. Persaingan juga boleh membawa kepada margin kadar faedah dan keuntungan lebih rendah," kata kajian itu.

Kedua, katanya, kemasukan bank asing itu juga didapati memberi kesan limpahan positif kepada ekonomi domestik.

"Bank asing akan memperkenalkan perkhidmatan baru. Ia akan merangsang bank domestik turut membangunkan perkhidmatan baru, justeru, meningkatkan kecekapan sistem kewangan tempatan," katanya.

Sebahagian besar bank asing yang diberi lesen pula terdiri daripada bank yang memiliki teknik, kecekapan dan kepakaran tertentu. Ini memberi peluang kepada bank domestik mempelajari dan meneroka kepakaran baru. Lensink dan Hermes juga berhujah, kehadiran bank asing mungkin mengurangkan pengaruh kerajaan dalam sektor perbankan domestik, justeru, menjadikan sektor kewangan lebih berorientasikan pasaran.

Dalam jangka panjang, kedua-dua penganalisis itu, berkata kehadiran bank asing akan membantu menurunkan kos bank domestik. "Kecekapan amalan perbankan akan membantu menurunkan kos. Bagaimanapun, ia hanya akan berlaku dalam jangka panjang kerana dalam jangka pendek, bank mungkin terpaksa berbelanja untuk memperkenalkan perkhidmatan baru, meningkatkan kualiti perkhidmatan dan operasi sedia ada serta teknik pengurusan baru," katanya.

Selain itu, kemasukan bank asing juga akan meningkatkan kualiti modal insan dalam sistem perbankan domestik. Jika bank asing mengimport pengurus berkepakaran tinggi dari luar untuk berkerja di cawangannya di luar negara, kakitangan tempatan akan mendapat peluang mempelajari kepakaran berkenaan.

Bank asing juga didapati melabur untuk menyediakan latihan kepada kakitangan tempatan. Peningkatan kualiti modal insan dalam sistem perbankan domestik akan mewujudkan amalan perbankan yang lebih cekap, sekali gus membantu merendahkan kos dalam jangka panjang.

Sektor kewangan adalah komponen paling penting dalam sesebuah ekonomi kerana ia menjadi sumber utama dalam pembiayaan aktiviti perniagaan, pelaburan dan penggunaan. Di Malaysia, sektor perkhidmatan kewangan mencapai pembangunan melangkaui peranannya sebagai pembantu penjana pertumbuhan kepada satu sektor pertumbuhan yang dapat mewujudkan perniagaan nilai ditambah, menarik pelaburan serta membuka peluang pekerjaan.

Dalam usaha memajukan negara ke tahap pembangunan seterusnya, rancangan liberalisasi bertujuan merebut peluang yang boleh menjana manfaat sebenar dan menyumbang kepada kemajuan sektor kewangan dan ekonomi negara secara keseluruhan, sambil memastikan kestabilan dan kekukuhan kewangan negara terus terpelihara. Bagaimanapun, pendekatan Malaysia ke arah liberalisasi dibuat secara beransur-ansur, teratur dan terpilih bagi memastikan negara dapat meraih manfaat maksimum.

Menurut Bank Negara, rancangan liberalisasi akan disokong perlindungan yang mencukupi bagi memastikan seluruh fungsi perantaraan sistem kewangan akan terus teguh, berkesan dan kukuh.

Usaha untuk membina kapasiti dan institusi akan diteruskan, dengan disokong oleh pengukuhan rangka kerja pengawalan, penyeliaan dan pengawasan untuk mengekalkan daya tahan sistem kewangan.

Oleh itu kehadiran bank asing dijangka membantu negara mencapai status negara maju menjelang 2020, yang memerlukan sektor kewangan negara memenuhi tuntutan ekonomi yang semakin bertambah dan memacu perubahan ekonomi ke fasa pembangunan seterusnya; menyediakan produk dan perkhidmatan kewangan bertaraf dunia, yang mempunyai nilai tambah yang tinggi pada harga yang kompetitif; dan mempercepat pertumbuhan sektor ekonomi baru termasuk aktiviti lain dalam sektor perkhidmatan.

Selain itu kehadiran bank asing khususnya penubuhan sehingga dua bank Islam mega dilihat bertepatan dan berupaya memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pusat kewangan Islam antarabangsa terkemuka pada masa depan.

- BERITA HARIAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90