Benci tapi minat Barat terhadap Islam

Oleh MAZLAN NORDIN

ISLAM dan segala yang berkaitan dengan perkembangannya kerap menjadi bahan pelbagai buku, majalah, akhbar dan dokumentari televisyen dewasa ini. Ada yang ditulis oleh warga Islam dan juga oleh bukan Islam.

Antaranya ialah siri televisyen BBC London Islam: Empire of Faith (2001) mengenai bilangan umat Islam telah meningkat hingga satu bilion dan ”bakal menjadi agama paling terbesar sekali dalam dunia”.

Lantas dicatat pada bahagian pertama: “Malah di Amerika Syarikat, Islam adalah agama paling cepat berkembang dan pada ketika ini lebih ramai warga Islam Amerika (lebih empat juta) dari penganut Episcopalians”.

Di negara-negara lain pula bilangan warga Islam paling ramai ialah di Indonesia, Bangladesh, Pakistan dan India. “Bilangan Islam di Indonesia saja (195 juta) adalah lebih ramai dari jumlah besar di Mesir, Syria, Arab Saudi, Iraq dan Iran”. (Bilangan penduduk Indonesia kini tahun 2010 ialah 230 juta).

Lalu disebut mengenai laskar-laskar Mongol pada abad ke-13 menyerang Asia Barat dan akhirnya mereka memeluk agama Islam.

Seterusnya dicatat: “Bagi orang Islam seruan azan untuk menunaikan sembahyang membezakannya dari agama yang menggunakan tiupan shofar bagi orang Yahudi dan bagi orang Kristian pula loceng digunakan. Orang pertama sekali menyampaikan azan ialah Bilal, hamba abdi dari Habshah, antara yang mula-mula sekali masuk Islam. Kedudukan Bilal penting kerana dari mula lagi Islam menerima siapa saja dari segala bangsa”.

Di samping BBC London ialah majalah Asia Views, terbitan bersama beberapa pihak di Malaysia, Indonesia, Filipina dan Thailand antara lainnya. Dalam terbitan bulan Januari 2010 ialah mengajukan pertanyaan: “Apakah Islam telah berubah di Tenggara Asia?”

Rencana pengarang majalah itu menyiarkan laporan dari Tempo, Jakarta: “Menurut Jabatan Hal-Ehwal Agama, terdapat kini 21,000 pesantren di seluruh Indonesia yang mengajar hampir empat juta pelajar. Bilangan itu bertambah empat kali ganda dalam masa 20 tahun lampau dan dua kali ganda dalam masa enam tahun lalu”.

Pesantren Indonesia bukan saja mengajar segalanya mengenai Islam tetapi juga menjalankan pelbagai perniagaan. Ini berupa “mandat sosial” mereka dewasa ini.

Tema majalah “Asia Views” kali ini ialah Today’s Islam in S.E.Asia, antara kandungan ialah kegiatan golongan Tausugs di wilayah Sulu, Filipina. Hasil pelbagai forum agama Islam disampaikan untuk makluman. Antara terbitan ialah saluran Islamic Events and Activities dari Jolo, Zambuanga.

Turut disiarkan ialah temu ramah dengan Profesor Dr. Kamaruddin Hidayata, rektor Syarif Hidayatullah di Jakarta. Lantas disiarkan kenyataan syarat Pendaftaran Jihad Mujahidin ke Palestin. Antara syarat: Iman dan Taqwa, Siap Mati Syahid, Izin orang Tua, Wali, Sihat Jasmani dan Rohani, siap diberangkatkan kapan saja, tanpa cerita pulang.

Turut memberi penjelasan mengenai agama Islam ialah buku dari Amerika Taking Back Islam: American Muslims Reclaim Their Faith (Rodole 2004). Ia diedit oleh Michael Wolfe, seorang warga Islam Amerika.

Sebelum ini ia telah menulis buku berjudul: The Hadj: An American Pilgrimage to Mecca dan One Thousand Roads to Mecca. Sebagai petugas ABC-TV, beliau warga Amerika yang pertama sekali melapor secara langsung dari Mekah mengenai fardu haji.

Menulis mengenai pengalamannya ketika menunaikan fardu haji bagi kali pertama beliau mulanya menyebut mengenai Mekah mempunyai sejuta penduduk. Beliau lalu menambah: “Setahun sekali, selama beberapa hari Mekah menarik lebih ramai pengunjung dari mana juga tempat di seluruh dunia. ....kaum wanita berpakaian hitam atau putih manakala lelaki dengan ihram. Sukar membezakan seorang penyapu sampah dengan anak raja bila berpakaian begitu. Lelaki dan wanita dari 125 negara dunia mengerumuni segala kaki lima dan jalan raya”.

Pada waktu tengah malam pun masjid dipenuhi manusia. Seratus ribu berada di tingkat bawah, beliau mencatatkan lagi manakala bercerita mengenai sekian ramai menunaikan tawaf dan sebagainya.

Lebih 30 menulis dalam buku berkenaan, termasuk Yusuf Islam, Karen Armstrong dan

Akbar Muhammad, seorang tokoh African-American. Buku tersebut wajar mendapat tempat dalam perpustakaan universiti-universiti antara lainnya.

Wolfe juga menulis mengenai satu majlis di Kota Chicago yang dihadiri oleh puluhan pasangan untuk jamuan makan malam, kesemuanya Islam. Antara mereka ialah professor, doktor, guru, suri rumah dan jurutera komputer. Sesetengahnya lahir di Mesir, Lebanon, Palestin, Pakistan dan India.

Setelah menunaikan fardu Isyak para hadirin kemudian mendengar bacaan Quran oleh seorang pemuda dari Mekah. Dari umur lima tahun lagi ia telah membaca Quran dan kemudian terus belajar di Mekah, Madinah dan Kaherah.

Wolfe menulis: “Saya terus terkenang padanya sejak itu. Bagi seorang warga Amerika seperti diri saya, kehadirannya di Chicago menakjubkan sekali kerana ia meneruskan tradisi sejak Nabi Muhammad SAW”.

- MINGGUAN MALAYSIA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url