Berhenti merokok dengan doa
Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam,
UiTM Johor Bahru
Entah di mana silapnya galakan berhenti merokok yang mengundang pelbagai penyakit, tidak dipedulikan oleh perokok. Walaupun pelbagai insentif, kempen malah tekanan oleh pihak kerajaan melalui kenaikan cukai rokok hampir saban tahun dilakukan, namun komuniti perokok terus menjalankan kegiatan mereka.
Terbaharu pandangan oleh Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor, Datuk Nooh Gadot agar perokok menabung wang untuk menunaikan fardu haji patut direnung sedalam-dalamnya, tatkala asap rokok disedut masuk ke dalam kerongkong.
Sehubungan itu, golongan ulama dan cendekiawan Islam yang berkedudukan tinggi di sisi masyarakat juga diseru memainkan peranan semaksimum mungkin melalui sesi ceramah dan kuliah agama.
Golongan ini disaran agar tidak hanya berceramah isu yang hebat-hebat, sedangkan isu rokok pembunuh umat diabaikan dengan alasan ia isu lapuk dan ketinggalan zaman. Lebih malang lagi apabila terdapat daripada kalangan mereka yang merokok sehingga menimbulkan kekeliruan kepada khalayak ramai tentang hukum merokok menurut Islam.
Pendekatan ini dilihat seiring dengan fatwa mengenai pengharaman rokok yang pernah dikeluarkan di Selangor pada Disember 1995. Fatwa tersebut menyatakan bahawa rokok adalah haram. Oleh yang demikian adalah haram bagi mana-mana orang Islam menghisap apa-apa jenis rokok yang dihasilkan daripada tembakau yang digulung dengan kertas atau daun nipah atau seumpamanya.
Pengharaman serupa juga difatwakan oleh Kerajaan Negeri Kedah, Perlis, Sarawak dan Pulau Pinang. Malah berdasarkan fatwa yang diwartakan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang, pengharaman turut meliputi penjualan atau penglibatan sama ada secara langsung atau tidak dalam hal yang berkaitan dengan rokok. Tinggal lagi yang dimusykilkan adalah tiadanya penguatkuasaan ke atas pengharaman itu.
Walaupun terdapat percanggahan pendapat di kalangan ulama mengenai isu ini, namun satu hakikat yang boleh diterima semua, perbuatan merokok adalah pembaziran yang ditegah agama, bahkan dilabel sebagai kawan syaitan, sebagaimana dinyatakan oleh Allah SWT dalam firmannya yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya". (Surah Al-Israa' ayat 27)
Selain ulama, para ibu bapa juga perlu bertindak mengawasi perlakuan anakanak agar tidak terjebak merokok di usia muda. Malah ibu bapa wajib menjadi contoh terbaik kepada anak-anak dengan tidak merokok.
Golongan perokok juga dinasihat berusaha untuk menghentikan amalan buruk yang ditegah agama. Tidak ada baiknya jika bertegang leher menegakkan benang yang basah, sedangkan akhirnya diri sendiri dan keluarga yang merana.
Bagi umat Islam, tidak ada yang mustahil jika segala permasalahan diadukan kepada Allah SWT Yang Maha Mengetahui. Berdoa, bermunajatlah kepada Allah SWT agar dikurniakan kekuatan untuk berhenti merokok.
Pokok pangkalnya tepuk dada tanya iman. Pilihan terletak di tangan sendiri, kerana Allah SWT tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum kecuali jika dia sendiri yang berusaha mengubahnya.
- UTUSAN