Cabaran mengurus masyarakat majmuk

Oleh DR. ZULKIPLE AB. GHANI

Kenapa kita memasuki gerbang 'konflik' terhadap penggunaan kalimah Allah? Jika ia tidak diurus dengan baik, ia boleh merosakkan keamanan dan persaudaraan yang kita nikmati selama ini.

'Kita hidup bersama tapi tidak bersatu'. Itulah ungkapan yang boleh menjelaskan bagaimana cabaran mengurus sebuah komuniti masyarakat majmuk seperti di negara kita.

Bagi sebahagian penulis, masyarakat majmuk ialah satu keadaan di mana kaum-kaum yang tinggal di dalam satu negara itu saling bercampur tetapi tidak bersatu. Ini bermakna mereka saling bercampur dalam urusan seharian tetapi tidak bersatu dalam konteks kebudayaan batin.

Dalam urusan jual beli, bekerja dalam satu pejabat, belajar dalam satu sekolah, tinggal dalam wad yang sama di hospital dan sebagainya mereka saling bercampur.

Bagaimanapun aspek-aspek yang melibatkan persoalan kebudayaan batin seperti kepercayaan dan amalan-amalan agama, tidak berlaku percampuran dan masing-masing akan menentukan corak dan haluan sendiri.

Hal ini berlaku di negara kita dan juga dalam masyarakat lain. Walaupun kita hidup harmoni dan saling percaya mempercayai di bawah naungan politik yang sama, namun kita masih tetap berbeza dalam kepercayaan dan amalan batin.

Satu fitrah

Itulah hakikat manusia yang dijadikan oleh Allah. Dalam ajaran Islam, masyarakat majmuk bukan suatu fenomena yang asing malah ia adalah satu fitrah yang dijadikan oleh Allah.

Fitrah atau tabii adalah hakikat yang perlu diterima oleh kita sebagai manusia. Ini supaya manusia saling kenal-mengenali dan hasilnya akan wujud usaha-usaha untuk memuliakan insan.

Dalam konteks ini Allah berfirman yang maksudnya: Wahai manusia, sesungguhnya Kami mencipta kamu dari lelaki dan perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenali. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendengar. (al-Quran 49: 13)

Kita perlu menerima hakikat manusia yang mendiami muka bumi ini memang dicipta oleh Allah dengan kepelbagaian latar belakang, warna kulit, bahasa, agama, cita rasa dan tingkah laku.

Semua perbezaan yang wujud, mengikut perspektif Islam, boleh disatukan dan diharmonikan dengan mewujudkan ketakwaan kepada Allah sebagai Pencipta.

Islam meraikan perbezaan-perbezaan budaya luaran tetapi cukup tegas pada prinsip-prinsip ajaran Islam.

Contohnya Islam tidak menentukan fesyen berpakaian dan terpulang kepada kesesuaian cuaca dan cita rasa sesuatu kaum, tetapi Islam menentukan prinsip-prinsip berpakaian seperti mesti menutup aurat dengan had-had tertentu bagi lelaki dan wanita.

Ketegasan ini diungkapkan oleh al-Quran: Bagi kamu agama kamu dan bagi ku agamaku. (al-Kafiruun: 6).

Dr. Chandra Muzaffar (1996) dalam tulisannya berhubung dengan sikap akomodatif dan penerimaan komuniti non-Muslim dalam arena politik Malaysia membincangkan panjang lebar bagaimana agama Islam telah memainkan peranan penting mewujudkan sikap toleransi tinggi di negara kita.

Sehingga kini negara kita Malaysia telah mempamerkan kepada dunia bahawa masyarakat majmuk boleh hidup bersama secara harmoni. Sikap toleran yang dianjur dalam ajaran Islam dimanifestasi oleh orang-orang Islam di Malaysia sehingga kata Dr. Chandra: "... as a people, Malays often evince certain attitudes associated with aspects of Quranic universalism: One should not be unjust to non-Malays and non-Muslims, one should recognise that they are human beings."

Kejayaan Malaysia mempertahankan keharmonian pelbagai kaum banyak bergantung kepada suntikan ajaran Islam yang memberi jawapan untuk hidup harmoni di kalangan pelbagai kaum.

Persoalan mengurus masyarakat majmuk terletak kepada perkataan lita'arafu (supaya kamu mengetahui dan mengenali) seperti yang disebutkan oleh Allah dalam al-Quran.

'Mengetahui' kepercayaan batin yang dipegang oleh pelbagai agama adalah keperluan asas, lebih-lebih lagi kepada para pemimpin masyarakat. Ini kerana mereka mempunyai pengikut, mereka menjadi pemimpin pendapat dan mereka juga adalah antara orang yang terlibat dalam pembuatan dan pelaksanaan polisi pentadbiran negara.

Persoalannya, sejauh mana aspek 'mengetahui' ini dikuasai oleh para pemimpin. Apakah mereka melalui latihan-latihan formal untuk mengetahui aspek kepercayaan batin ini? Dari mana mereka sepatutnya mengetahui perkara-perkara penting sebegini?

Persoalan-persoalan sebegini menuntut kita untuk melihat secara objektif dalam usaha membina negara menjadi negara berpendapatan tinggi dan maju menjelang tahun 2020.

Kita tentu tidak ingin melihat isu-isu kesilapan mengurus masyarakat majmuk menjadi penghalang kepada hasrat murni negara tersebut.

Isu sensitif kepada orang Melayu perlu difahami oleh rakan-rakan daripada bangsa lain. Begitu juga orang-orang Melayu perlu memahami isu-isu sensitif bangsa-bangsa lain.

Islam begitu tegas apabila timbul persoalan paksaan dalam beragama. "Tidak ada paksaan dalam agama", tegas al-Quran (al-Baqarah: 256).

Islam adalah agama yang menekankan kepada keamanan dan kesejahteraan. Islam menekankan tentang pengetahuan dan Islam berdiri di atas hujah-hujah yang boleh diterima oleh nilai akal yang tinggi.

Emosi perlu diimbangi oleh hujah melalui akal dan kebenaran wahyu. Justeru, dalam mengharungi apa-apa konflik yang boleh merosakkan objektif keamanan dan keharmonian, Islam bertegas supaya keamanan dan keharmonian masyarakat awam diutamakan.

Kepercayaan batin berkait rapat dengan amal ibadat. Jika dilihat kepada rumah-rumah ibadat, ia menjadi cukup eksklusif dan untuk 'ahli' sahaja dengan tembok-tembok pagar yang tinggi. Apa yang berlaku di dalamnya tidak diketahui oleh orang yang bukan 'ahli'.

Asasnya masjid dalam ajaran Islam adalah tempat sujud, tempat menunaikan solat. Namun, ia tidak terhad kepada ibadat ritual itu.

Pada zaman Rasulullah SAW, baginda pernah menerima wakil Kristian dari Najran di masjid. Al-Bukhari juga meriwayatkan dalam sahihnya bagaimana Thamamah ibn Athal yang belum Islam ketika itu masuk ke masjid.

Amalan ini diteruskan termasuk oleh Masjid Negara dan Masjid Putra di negara kita ketika ini. Orang bukan Islam dialu-alukan memasuki masjid dengan menjaga adab-adab tertentu dan mengetahui bagaimana orang-orang Islam beribadat serta dibenarkan berbincang dan membandingkan dengan amalan-amalan mereka.

Soal kepercayaan batin seperti soal halal haram makanan adalah perkara sensitif. Kita boleh bayangkan bagaimana kita telah bersama sehari suntuk bekerja dan tidak menghadapi sebarang masalah dalam apa sahaja urusan berkaitan profesion.

Namun, bila tiba waktu makan atau waktu sembahyang, ia menjadi cukup sensitif kepada rakan-rakan daripada agama tertentu.

Bagi orang Islam, makanan dan minuman halal adalah perkara pokok yang tidak boleh dikompromi. Tidak berkompromi tidak bermaksud tidak bersatu dan ia juga bagi orang yang mengetahui bukanlah satu masalah.

Ia perlu diurus dan diselesaikan secara yang cukup mudah. Menghargai perbezaan adalah satu kebijaksanaan dan bijak menguruskannya adalah satu keperluan.

Justeru, tanggungjawab mengurus masyarakat majmuk yang pelbagai seperti di negara kita terletak khususnya kepada pemimpin masyarakat di pelbagai peringkat. Pun begitu, para pengikut juga tidak terlepas daripada tanggungjawab untuk 'mengetahui'.

Mekanisme 'mengetahui' ini perlu diperluas supaya wujud keikhlasan untuk saling bertoleransi dalam ruang lingkup beragama yang cukup luas dan saling menghormati kepercayaan batin yang dimiliki oleh setiap agama.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url