Dialog antara pemimpin agama elak ketegangan

Sejak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh Herald-The Catholic Weekly 31 Disember lalu, suasana agak kecoh bukan saja membabitkan teguran dan kecaman di media, malah merebak hingga ke peringkat jenayah apabila beberapa gereja menjadi sasaran cubaan membakar dan vandalisme.

Meskipun mahkamah kemudiannya membenarkan permohonan Menteri Dalam Negeri untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan itu sementara menunggu rayuan kes berkenaan, ia tidak mematikan isu berkenaan. Tidak pasti siapa yang melakukan jenayah berkenaan terutama mereka yang cuba menangguk di air keruh. Islam tidak pernah membenarkan umatnya melakukan jenayah seumpama itu dan biarlah polis melakukan siasatan untuk bertindak terhadap mereka yang bertanggungjawab.

Oleh itu, sesuatu harus dilakukan bukan saja bagi meredakan isu berkaitan, malah mematikan terus isu itu daripada menjadi 'barah' yang boleh mencetuskan ketegangan antara agama. Justeru, kita amat mengalu-alukan syor seorang penganut Kristian yang juga Presiden Majlis Jaksa Pendamai (JP) Malaysia, Datuk Clarence Bongkos Malakun yang meminta masyarakat Kristian negara ini menggugurkan tuntutan penggunaan kalimah 'Allah' demi keharmonian dan keselamatan negara.

Kenyataan itu diharap boleh meredakan ketegangan dan kekeliruan. Kita juga mengalukan tindakan Herald-The Catholic Weekly menghentikan penggunaan perkataan Allah dalam penerbitannya mulai kelmarin untuk meredakan keadaan keselamatan dalam negara.

Kita akui masyarakat kini berada dalam kekeliruan berikutan isu berkenaan sehingga menimbulkan ketegangan dan kerana itu, cadangan menggugurkan tuntutan penggunaan kalimah Allah itu adalah wajar. Cadangan yang dilontarkan oleh pemimpin dari Sabah itu pula secara tidak langsung menunjukkan wujud ruang positif untuk kedua-dua pihak berbincang dalam mempertahankan ketenteraman dan keamanan negara.

Hal seperti ini perlu dipersetujui secara bersama oleh semua pihak termasuk yang mewakili gereja supaya kerukunan, keselamatan dan juga hak penggunaan kalimah Allah kepada umat Islam akan meredakan ketegangan yang berlaku sekarang. Selepas ini, kita berharap dialog antara pemimpin agama perlu ditingkatkan lagi.

Pada 2008, pernah diadakan satu dialog khas berkaitan agama yang menghimpunkan 80 ketua agama dan wakil pertubuhan agama bagi membincangkan isu perundangan dan kefahaman mengenai agama di negara ini buat julung kalinya, anjuran Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan dan Pusat Dialog Peradaban Universiti Malaya. Sebelum itu, beberapa siri dialog berkaitan agama pernah diadakan tetapi dilakukan secara berasingan.

Kita berharap selain dialog terbuka, perlu diadakan juga pertemuan tertutup antara pemimpin agama jika ada isu berbangkit bagi mengelak ia dieksploitasi atau dipolitikkan. Hasil penemuan fakta mengenai rasa kurang senang terhadap isu berkaitan perbezaan agama diharapkan dapat dijadikan garis panduan kerajaan untuk merapatkan hubungan antara kaum dan penganut pelbagai agama, sejajar konsep 1Malaysia.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url