Kad debit diunjur menjadi lebih popular
Ketua Pegawai Operasi Perkhidmatan Kewangan Peribadi Hong Leong Bank (HLB), Moey Tan berkata, penggunaan kad debit kini lebih menjurus kepada pembayaran untuk keperluan harian dan jumlahnya adalah kecil.
''Ia merupakan segmen yang berbeza (dengan kad kredit) dengan pembelian barangan harian seperti petrol, makanan segera dan pembayaran bil utiliti.,'' katanya selepas majlis pelancaran Kad Debit Visa Hong Leong yang baru di sini, hari ini. Turut hadir, Pengurus Negara Visa di Malaysia, Stuart Tomlinson.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kepentingan kad debit dan sama ada kemudahan itu bakal menggantikan kad kredit berikutan peningkatan penerimaannya sejak kebelakangan ini.
Menurut Tan, dalam tempoh lima tahun, transaksi kad debit meningkat lebih daripada 80 peratus, sekali gus menjadikannya sebagai pilihan pembayaran yang popular di kalangan penduduk negara ini.
''Memandangkan peningkatan penerimaan di Malaysia kami yakin kad debit menawarkan potensi yang besar,'' jelas beliau.
Tan berkata, sehingga kini, HLB telah mengedarkan sejuta kad debit di pasaran dan melalui kad terbaru, pihaknya menyasar untuk mengedarkan dua juta kad debit dalam tempoh lima tahun.
Katanya, bagi tempoh setahun pelancarannya, sebanyak 300,000 kad debit dijangka berada di pasaran.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan HLB, Yvonne Chia berkata, kini terdapat lebih 24 juta kad ATM diedarkan di Malaysia yang mana kebanyakannya dilengkapkan dengan kemudahan debit elektronik (e-debit), sekali gus menawarkan potensi pertumbuhan yang besar.
Tambah beliau, segmen pelanggan kini menghendaki cara pembayaran yang efisien dengan lebih ganjaran dan kemudahan tanpa tunai dalam negara dan di seluruh dunia.
Mengenai produk baru HLB, Chia berkata, pelancarannya tepat pada masa dan amat sesuai dalam mengharungi keadaan ekonomi yang mencabar dengan matlamat untuk memberi lebih nilai.
Menurutnya, antara ciri unik kad debit baru itu adalah pengenalan liabiliti kehilangan terhad sebanyak RM150 yang dapat mengurangkan kebimbangan pengguna selain menawarkan lebih 100 barangan keperluan harian dalam program penembusan.
- UTUSAN