Syarat ambilan ikut ijazah mampu lahirkan pendidik berkualiti

TAHNIAH kepada 1,473 calon yang terpilih untuk menyertai Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) bagi sesi ambilan Januari 2010. Mereka adalah kelompok yang sangat bertuah menyedari persaingan mendapatkan tempat mengikuti kursus itu amat sengit kerana kementerian menerima kira-kira 60,000 permohonan. Kita berasa cukup bangga kerana angka permohonan yang tinggi membuktikan minat terhadap profesion keguruan dalam masyarakat hari ini masih amat menebal, di sebalik pelbagai isu yang dikatakan membelenggu kerjaya murni berkenaan.

Jika sekalipun ada pemohon itu ialah mereka yang 'terpaksa' kerana gagal mendapat peluang dalam kerjaya yang diinginkan, angka 60,000 permohonan itu tetap membuktikan ramai memang memilihnya sebagai profesion mereka. Kita cuma berharap 1,473 calon yang terpilih itu adalah mereka yang benar-benar menanam hasrat untuk menjadi guru demi membela nasib anak bangsa dan memartabatkan agenda pendidikan negara. Dalam konteks ini, langkah kementerian mengetatkan syarat pengambilan dengan menetapkan semua calon mesti memiliki ijazah dalam pengajian yang sesuai dengan kursus amat tepat sekali.

Ini dapat menjadikan proses tapisan calon yang berjaya lebih relevan dengan kehendak dan cabaran kerjaya terbabit, sekali gus meningkatkan daya saing apabila mereka berkhidmat kelak. Ia juga sejajar pendekatan KPLI yang lebih menjurus kepada aspek pedagogi kerana semua calon yang terpilih sepatutnya sudah mempunyai ilmu yang cukup ketika mengikuti pengajian peringkat ijazah.

Selain itu, langkah kementerian mengutamakan faktor tempat ketika memilih calon juga dilihat sebagai pendekatan proaktif untuk mengatasi masalah kekurangan tenaga mahir berkhidmat di pedalaman. Ia juga mampu menangani isu penghijrahan guru daripada terlalu berleluasa sehingga memberi impak negatif kepada sistem pendidikan. Kita cuma berharap selepas ini, calon tidak melancarkan strategi baru untuk meningkatkan peluang mereka terpilih mengikuti KPLI dengan menggunakan alamat 'transit' di lokasi kekurangan guru.

Kementerian perlu mempunyai kaedah khusus untuk mengenal pasti taktik sedemikian bagi mengelak masalah sama terus berulang selepas calon terbabit berkhidmat sebagai guru. Satu lagi isu yang harus ditangani ialah ketidakseimbangan antara calon lelaki dan wanita yang memohon mengikuti KPLI. Walaupun ketika ini jurang bilangan antara guru lelaki dan wanita belum sampai ke tahap membimbangkan, angka permohonan menunjukkan ada kemungkinan ia akan terus melebar pada masa depan.

Tindakan sewajarnya perlu diambil bagi menangani masalah itu demi memastikan pelbagai inisiatif yang dirancang dapat dijayakan sewajarnya. Dalam pada itu, kita berharap semua calon yang terpilih untuk menyertai KPLI tahun ini mampu memikul amanah mereka sebaiknya demi memastikan masa depan negara terus terjamin, sejajar keutamaan yang diberikan kerajaan terhadap bidang pendidikan.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url