Syarikat Prasarana lancar RapidBET

KUALA LUMPUR - Sistem perkhidmatan bas di ibu kota di bawah Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) sekali lagi mengalami perubahan semalam setelah melalui penambahbaikan yang sama beberapa kali sebelum ini.

Kali ini, Prasarana melancarkan sistem Bas Ekspres Transit Rapid (RapidBET) bagi menyediakan perjalanan selesa kepada penumpang di sini semalam.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat berkata, perkhidmatan terbaru itu menjanjikan perkhidmatan yang lebih selesa dan menjimatkan masa kepada penumpang.

Sebagai permulaan, katanya, perkhidmatan sistem itu digunakan di dua laluan iaitu RapidBET1 dari Kota Damansara ke Pasar Seni melalui Penchala Link.

Satu lagi laluan ialah RapidBET2 dari Bandar Sungai Long, Kajang ke Pasar Seni melalui Lebuh Raya Grand Saga.

"Perkhidmatan bas RapidBET ini akan beroperasi selama lima hari waktu bekerja.

"Ia beroperasi setiap 15 minit pada waktu puncak iaitu bermula pukul 6.30 pagi hingga 8.45 pagi dan 6 petang hingga 6.45 petang.

"RapidBET akan mempunyai hentian terhad dan bergantung kepada khidmat bas perantara serta kemudahan park-n-ride bagi mengambil penumpang," katanya selepas melancarkan sistem itu di sini semalam.

Sistem itu digunakan bagi mengurangkan masa perjalanan penumpang yang menggunakan Penchala Link bagi laluan Kota Damansara ke Pasar Seni dari 120 minit kepada 62 minit dan Lebuh Raya Grand Saga bagi laluan Bandar Sungai Long-Pasar Seni pula kepada 60 minit berbanding 85 minit sebelum ini.

Menurut Tee Keat, perkhidmatan BET itu bermula di dua lagi laluan baru iaitu dari Subang Mewah ke Pasar Seni melibatkan Lebuh Raya Ekspres Baru Pantai yang akan dilancarkan minggu depan dan seterusnya laluan dari Taman Seri Muda, Shah Alam ke Pasar Seni.

- KOSMO!
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url