DiGi untung RM1.4 bilion tahun lalu
Dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia, DiGi berkata, perolehan bagaimanapun meningkat kepada RM4.9 bilion berbanding RM4.814 bilion sebelumnya.
Bagi perbandingan tahun ke tahun, perolehan Kumpulan meningkat sebanyak dua peratus kepada RM4.9 bilion hasil permintaan yang kukuh untuk perkhidmatan mudah alih daripada 7.7 juta pelanggannya, meningkat lapan peratus tahun ke tahun.
Perolehan pasca bayar dan prabayar setiap pengguna (ARPU) menurun kepada RM55 dari RM59 ekoran pengurangan perbelanjaan oleh golongan berpendapatan rendah yang diakibatkan oleh krisis ekonomi dan peningkatan persaingan.
Berikutan pengumuman itu, DiGi turut mengumumkan pembayaran dividen peringkat pertama bagi suku keempatnya sebanyak 54 sen bagi setiap saham biasa yang akan dilakukan mulai 26 Mac ini.
Syarikat telekomunikasi itu telah membayar dividen keseluruhan sebanyak RM1.78 sen sesaham tahun ini atau peningkatan 138 peratus dari keuntungan bersih tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Johan Dennelind berkata, pihaknya telah meningkatkan aliran tunai operasi dan mengekalkan pengukuhan imbangan kira-kira dengan fleksibiliti tinggi tahun ini.
"Malah kedua-duanya ciri tersebut akan meneruskan usaha syarikat memberi pulangan tunai kepada para pemegang saham kami," katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.
Dennelind berkata, tahun lalu merupakan tahun peralihan untuk DiGi memfokuskan kepada segmen Internet dengan memulakan rangkaian 3G.
Mengulas tinjauan perniagaan tahun ini, beliau berkata, pihaknya optimis trend penggunaan keseluruhan akan stabil dan perniagaan terus berkembang, terutamanya daripada permintaan jalur lebar dan akses Internet.
- UTUSAN