Dua cara Hong Leong berpeluang ambil alih EON Bank
Penganalisis di TA Securities Holdings Bhd, Wong Li Hsia, berkata sama ada cadangan penggabungan itu menjadi kenyataan kini bergantung kepada usaha Hong Leong Bank.
“Difahamkan, keputusan Lembaga Pengarah EON Capital menolak tawaran itu tidak sebulat suara. Kami yakin Hong Leong Bank boleh berpakat dengan pemegang saham EON Capital yang ‘mesra’ dengan tawaran itu untuk mengadakan EGM bagi membolehkan pemegang saham membuat keputusan.
“Kami juga difahamkan Lembaga Pengarah EON Capital terbuka kepada bidaan baru lebih tinggi. Kami yakin nilai wajar bagi EON Capital adalah RM8 sesaham, yang mewakili 1.7 kali nilai buku syarikat itu,” katanya dalam laporan penyelidikan ekuiti firma itu semalam.
Sementara itu, Penganalisis OSK Research Sdn Bhd, Keith Wee pula berkata, pihaknya difahamkan majoriti ahli Lembaga Pengarah EON Capital mewakili Private Equity Fund Primus Pacific Partners, pihak yang tidak bersetuju dengan tawaran berkenaan kerana membeli saham kumpulan perbankan itu pada harga tinggi, iaitu RM9.55 sesaham pada 2008.
Katanya, bagi pemegang saham tidak strategik tetapi pegangan agak besar dalam EON Capital, mereka komited terhadap tawaran Hong Leong Bank kerana kos mereka lebih rendah ketika membeli pegangan itu.
EON Bank tak perlu gabungan
EON Bank Bhd mampu beroperasi secara sendirian tanpa bergabung dengan bank lain, kata Ketua Eksekutif Kumpulannya, Micheal Lor.
"Kami kini dalam kedudukan terbaik untuk berkembang, sama ada ada tawaran (penggabungan) atau tidak. Bagi kami di bahagian pengurusan, perniagaan seperti biasa," katanya mengulas keputusan Lembaga Pengarah EON Capital Bhd menolak tawaran Hong Leong Bank Bhd mengambil alih aset perbankannya.
Tawaran RM4.9 bilion itu jika diterima menyaksikan penggabungan Hong Leong Bank dan EON Bank sebagai kumpulan perbankan keempat terbesar di negara ini dari segi nilai aset. Hong Leong Bank dan EON Bank masing-masing berada di tempat keenam dan ketujuh.
Bercakap kepada media selepas melancarkan kempen promosi produk pengurusan kekayaan EON Bank dikenali sebagai 'Power of Love' di Kuala Lumpur semalam, Lor turut menegaskan harga tawaran Hong Leong Bank bersamaan RM7.10 bagi setiap saham EON Capital, iaitu syarikat induk EON Bank jelas di bawah nilai sebenar syarikat itu.
"Jika mengikuti perkembangan kami 18 bulan lalu, anda pasti menyedari kami membuat perubahan besar dari segi pertumbuhan dan kualiti perniagaan.
"Ketika ekonomi negara terjejas kesan kegawatan global pada pertengahan 2009, kami terus merekodkan pertumbuhan dalam pelbagai segmen produk utama," katanya.
Sebagai contoh, Lor berkata, segmen perniagaan gadai janji, kad kredit dan sewa beli bank itu masing-masing meningkat 14 peratus, 20 peratus dan 3.0 peratus.
Katanya, EON Bank memperbaiki kedudukannya sebagai pembiaya sewa beli kenderaan ketiga terbesar di Malaysia daripada kedudukan kelima setahun lalu.
Katanya, kualiti perniagaan bank itu turut meningkat dengan nisbah hutang tidak berbayar (NPL) susut kepada kira-kira dua peratus daripada antara empat hingga lima peratus dalam tempoh 12 bulan lalu.
Pencapaian itu jelas Lor, diraih daripada pelaksanaan program transformasi bank yang selesai pada Oktober lalu
Pencapaian lebih baik dijangka terus dinikmati EON Bank pada tahun berikut.
Mengenai keputusan menolak tawaran Hong Leong Bank hanya dibuat Lembaga Pengarah EON Capital dan tidak oleh pemegang saham menerusi mesyuarat agung luar biasa (EGM), Lor berkata: "Adalah tanggungjawab Lembaga Pengarah menilai dan membuat keputusan yang dirasakan baik untuk syarikat serta pemegang sahamnya.
"Saya tidak meragui keputusan mereka kerana Lembaga Pengarah mengkaji secara terperinci tawaran berkenaan dalam tempoh dua minggu sebelum menolaknya."
Sebelum ini, dua pemegang saham utama EON Capital iaitu Khazanah Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang masing-masing memegang 10 peratus dan 10.7 peratus saham kumpulan perbankan itu dilaporkan bersetuju menjual kepentingan masing-masing kepada Hong Leong Bank.
- BERITA HARIAN