Shamsul Azhar CEO Petronas
Datuk Seri Najib Razak semalam melantik Datuk Shamsul Azhar Abbas sebagai Presiden dan Ketua Eksekutif Petroliam Nasional Bhd (Petronas) yang baru bagi menggantikan Tan Sri Mohd Hassan Merican yang tamat kontraknya pada 9 Februari ini.
Perdana Menteri dalam kenyataannya semalam berkata, Shamsul Azhar, 57, yang turut dilantik pemangku Pengerusi Lembaga Petronas, akan memulakan tugas baru di Petronas, berkuatkuasa 10 Februari ini.
Shamsul Azhar, bekas Presiden dan Ketua Eksekutif MISC Bhd, anak syarikat Petronas yang juga antara syarikat perkapalan minyak dan gas terbesar di dunia.
"Saya yakin beliau mempunyai kelayakan, kewibawaan dan pengalaman untuk membawa kejayaan yang berterusan kepada Petronas," kata Najib yang dipetik dari kenyataan akhbar dalam laman web rasmi Pejabat Perdana Menteri di Pu-trajaya.
Najib turut merakamkan penghargaan dan terima kasih atas sumbangan Mohd Hassan kepada negara dan industri petroleum selaku pemangku Pengerusi, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas sejak 1995.
Ketika tempoh perkhidmatan beliau, katanya, Petronas diiktiraf sebagai syarikat yang bereputasi dan berprestasi tinggi yang mendapat penarafan sebagai satu-satunya syarikat Fortune 500 di negara ini.
"Beliau juga berjaya membawa Petronas ke pasaran luar negara dan dapat bersaing dengan syarikat minyak gergasi yang lain.
"Dengan pengalaman yang luas ini, saya berharap Tan Sri Mohd Hassan akan terus menyumbang pengetahuan dan pengalaman beliau kepada pembangunan negara terutamanya dalam bidang tenaga," katanya.
Mohd Hassan berkhidmat dengan Petronas sejak 1989 sebagai Naib Presiden Kanan Kewangan sebelum dilantik sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif pada 1995. Beliau menyandang jawatan sebagai Pemangku Pengerusi pada 2004 hingga sekarang.
Sementara itu, Shamsul Azhar bukan orang asing dalam Petronas kerana memulakan kerjayanya sebagai pelatih di syarikat minyak nasional pada 1974 dan pernah memegang beberapa jawatan kanan dalam pengurusan kumpulan itu.
Pada 1997, beliau dilantik Naib Presiden Perniagaan Petrokimia Petronas sebelum dilantik sebagai Naib Presiden Perniagaan Minyak; Naib Presiden Perniagaan Cari Gali dan Pengeluaran serta Naib Presiden Logistik dan Samudera pada 1999.
Pada tahun sama, beliau turut dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Petronas; Pengarah Bintulu Port Holdings Bhd dan Pengerusi AET.
Beliau dilantik sebagai Presiden dan Ketua Eksekutif MISC pada Julai 2004 sebelum bersara daripada jawatan itu pada Disember 2008.
Jawatan lain yang pernah disandang beliau termasuk Pengerusi Akademi Laut Malaysia (Alam), Ahli Majlis Biro Perkapalan Amerika (ABS) dan Biro Veritas.
Pelantikan Shamsul Azhar sekali gus menamatkan spekulasi mengenai siapa pengganti Mohd Hassan.
Bagi tahun kewangannya yang berakhir pada 31 Mac 2009, Petronas menyumbang RM74 bilion kepada kerajaan dalam bentuk cukai dan dividen. Jumlah itu mewakili 44.9 peratus daripada pendapatan keseluruhan Kerajaan Persekutuan pada 2008.
Petronas meraih keuntungan sebelum cukai RM89.1 bilion pada tahun kewangan berkenaan.
- BERITA HARIAN