Kuala Lumpur rakam sejarah pembangunan negara

Oleh Norsuriaty Awang Hassim
Pegawai Arkib
Seksyen Penyelidikan Khas Negara, Arkib Negara Malaysia

Dari sebuah pekan kecil perlombongan bijih timah, Kuala Lumpur, ibu negara Malaysia terus menempa nama dan dikenali di seluruh dunia. Perubahan demi perubahan mewarnai wajah Kuala Lumpur yang pesat membangun sebagai pusat pentadbiran dan perdagangan negara. Kemajuan yang dikecapi Kuala Lumpur, meletakkan Malaysia gah di peta dunia dengan pelbagai kejayaan dicipta.

Jika dulunya, persekitaran Kuala Lumpur dipenuhi rumah atap nipah, kini ia lebih diserikan dengan bangunan pencakar langit serta perkembangan pesat penempatan penduduk. Dunia terus mengenali Kuala Lumpur melalui mercu tanda hebat seperti Menara Berkembar Petronas setinggi 88 tingkat yang pernah mencatat sejarah sebagai bangunan tertinggi di dunia dan Menara Kuala Lumpur, menara komunikasi kebanggaan negara yang dilengkapi dengan teknologi terkini.

Keunggulan Kuala Lumpur sebagai pusat perdagangan sudah mula berkembang sejak usaha perlombongan bijih pada 1857. Rentetan itu, Kuala Lumpur membangun secara perlahan-lahan sehingga mencapai taraf yang ada sekarang ini dengan terbentuknya Wilayah Persekutuan. Kepesatan ekonomi Kuala Lumpur yang menjadi lubuk rezeki mengundang minat bukan hanya pelabur asing malah rakyat di negara ini.

Jelas terbukti, penghijrahan penduduk yang menghuni bandar raya ini terus meningkat tahun demi tahun. Kedudukan ekonomi yang kukuh turut memberi impak besar kepada pembangunan di Kuala Lumpur. Menyentuh aspek infrastruktur jalanan, pasti mata terpukau melihat perkembangan lebuh raya baru di sekitar ibu kota yang semestinya dilaksanakan demi kesejahteraan penghuninya.

Tidak dapat disangkal lagi, kepadatan penduduk Kuala Lumpur mencorakkan pola penempatan yang lebih tersusun terutama bagi kawasan setinggan yang digantikan dengan perumahan kos rendah lebih selesa seperti di Pantai Dalam.

Kepesatan ekonomi juga memberi kesan kepada aspek pengangkutan di Kuala Lumpur. Daripada zaman lanca dan beca hinggalah kepada sistem aliran ringan (LRT), kereta api ekspres (KLIA Ekpres) dan Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (Smart), pelbagai kemudahan terus disediakan untuk kesenangan rakyat.

Perkembangan positif ini memacu negara untuk menjadi satu kuasa ekonomi yang disegani di rantau ini. Peredaran masa turut menyerlahkan Kuala Lumpur sebagai pusat pentadbiran.

Bermulanya Kuala Lumpur sebagai pusat pentadbiran apabila Sir Andrew Clarke, Gabenor Negeri-Negeri Selat melantik J.G. Davidson sebagai Residen British di Selangor pada Disember 1873.

Beliau memindahkan ibu kota Selangor dari Klang ke Kuala Lumpur pada 1880 apabila Frederick Weld menjadi Gabenor Negeri-Negeri Selat yang baru. Bertitik tolak daripada situ, Kuala Lumpur berkembang pesat dan dipilih sebagai ibu negeri Persekutuan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pada 1896 diikuti pemerintahan Malayan Union dan sehinggalah negara mencapai kemerdekaan pada 1957, Kuala Lumpur kekal sebagai ibu negara hingga ke hari ini.

Pada 1890, Kuala Lumpur mula diurus di bawah seliaan Lembaga Kebersihan yang bertanggungjawab antaranya menjaga kebersihan jalan raya, pemasangan lampu, mentadbir pasar dan sebagainya. Kini, ia boleh berdiri sebaris dengan kota besar dunia yang lain di bawah pentadbiran dan pengurusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.

Sebut saja Kuala Lumpur dan pentadbiran, pastinya ingatan kita membayangkan Bangunan Sultan Abdul Samad yang terletak di lokasi strategik di tengah pusat bandar Kuala Lumpur berhampiran Dataran Merdeka, Kelab Diraja Selangor dan Masjid Jamek. Bangunan warisan ini pernah menjadi Pusat Pentadbiran Negeri-Negeri Melayu Bersekutu.

Ia juga pada satu ketika menempatkan Pejabat Pos Besar, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dan Mahkamah Agung Malaysia. Kini, Bangunan Sultan Abdul Samad dijadikan pejabat Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dan ia menjadi pusat kebudayaan negara. Bangunan bersejarah ini akan terus menjadi simbol kebanggaan rakyat sebagai mercu tanda negara sejak sebelum merdeka.

Di sebalik unggulnya Kuala Lumpur dek pembangunan dan pentadbiran, begitu juga dengan sejarah peradaban negara. Kuala Lumpur merakamkan pelbagai peristiwa suka duka dalam lipatan sejarah negara. Laungan ‘Merdeka’ pasti terus terpahat dalam ingatan setiap rakyat Malaysia tatkala negara meraikan saat manis kemerdekaan dan bebas daripada belenggu penjajah.

Peristiwa 13 Mei 1969 pula mencatat memori hitam apabila perpaduan rakyat tergugat dan keselamatan negara turut terancam. Peristiwa ini wajar diambil iktibar oleh semua rakyat Malaysia.

Arus kemodenan tidak dapat menafikan Kuala Lumpur untuk menjadi destinasi warisan dan budaya. Ia memartabatkan seni dan budaya rakyat Malaysia yang berbilang kaum melalui pelbagai usaha bagi menarik minat pelancong dan penggemar seni tanah air. Selain itu, Kuala Lumpur sebagai destinasi ilmu turut mengetengahkan khazanah warisan dan kepemimpinan tokoh negara di Muzium dan Memorial sekitar Kuala Lumpur.

Kuala Lumpur, banyak yang diketahui, semakin banyak pula yang perlu diterokai. Bagi generasi sebelum merdeka, pasti mereka kaya dengan coretan yang boleh dikongsi bersama anak dan cucu akan kehebatan Kuala Lumpur. Generasi pasca merdeka pula perlu terus menghayati keunggulan Kuala Lumpur agar semangat cintakan watan sentiasa membara. Ada pelbagai sumber bahan sejarah berkaitan Kuala Lumpur yang boleh dibuat penyelidikan di Arkib Negara Malaysia.

Hari ini, 1 Februari 2010 genaplah 36 tahun Kuala Lumpur menjadi Wilayah Persekutuan. Perancangan strategik Kuala Lumpur terus menjadi fokus di bawah Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020 yang bermatlamat untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar raya bertaraf dunia selaras dengan Wawasan 2020.

Mengimbau kembali detik Kuala Lumpur dianugerahkan taraf ‘Bandar Raya’ oleh Yang di-Pertuan Agong pada 1 Februari 1972 dan kemudian diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan pada 1 Februari 1974, Yang di-Pertuan Agong dalam titah ucapan baginda sempena majlis menandatangani Perjanjian Kuala Lumpur di Istana Negara, mendoakan semoga Kuala Lumpur akan terus maju dan makmur serta menjadi lambang perpaduan rakyat seluruh negara dan mencerminkan kemajuan bangsa dan negara Malaysia setanding ibu kota negara yang maju di dunia ini.

Sebegitu tinggi harapan payung negara, sepatutnya setinggi itu jugalah harapan setiap rakyat Malaysia untuk terus memastikan Kuala Lumpur yang bermula asalnya di kawasan pertemuan kuala Sungai Gombak dan Sungai Klang bergerak maju dan pantas dalam mencapai wawasan negara dan menghadapi cabaran global.

Sesungguhnya, kelahiran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menjadi satu titik kejayaan yang amat besar maknanya dalam perkembangan dan kemajuan negara sejak penubuhan Malaysia.

Justeru, ia memainkan peranan penting dalam mencorakkan kejayaan negara ini pada masa hadapan. Biarlah setinggi manapun kejayaan yang ingin dicapai, semoga ia diiringi dengan keseimbangan sosial bagi merealisasikan hasrat gagasan 1Malaysia dan membentuk masyarakat maju menjelang 2020.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url