Keberanian Umar dikagumi

Siapakah sahabat Nabi Muhammad yang sanggup membunuh sesiapa sahaja yang berani mengatakan bahawa baginda Rasulullah telah wafat?

Akibat tidak dapat menerima hakikat, orang yang paling dikasihi akhirnya pergi menemui Allah, Saidina Umar Al Khattab menghunuskan pedang dan mengamuk sekeliling kota Mekah.

Sehinggalah beliau berjaya dipujuk dan ditenangkan oleh Saidina Abu Bakar As Siddiq supaya menerima hakikat kewafatan Rasulullah itu tiada bezanya seperti manusia-manusia yang lain.

Kata Abu Bakar: "Sesiapa yang mengikuti Muhammad ketahuilah bahawa baginda telah wafat, tetapi sesiapa yang menyembah Allah SWT ketahuilah bahawa Allah itu hidup dan tidak akan mati!"

Barulah Umar akur dan tunduk kepada ketentuan Allah yang berat itu, tidaklah lagi beliau mengamuk malah mengajak umat Islam yang lain juga menerima hakikat pedih itu dengan iman dan tabah.

Begitulah Umar, masih tersisa sifat peribadinya yang tegas, tetap pendirian dan sanggup melakukan apa sahaja bagi mempertahankan pendiriannya itu.

Sungguhpun begitu beliau sering dijadikan bahan perumpamaan. Ini apabila Umar diumpamakan seperti sebongkah batu yang sangat keras dan tidak mungkin sesiapa dapat memecahkannya. Tetapi jika sudah ditakdirkan Allah beliau akhirnya tunduk memeluk Islam, terbukti batu yang keras pun boleh dileburkan.

Namun pengislaman Umar yang mempunyai kisah tersendiri itu bukan sahaja berfaktorkan hidayah tetapi mungkin juga berkat doa dari Rasulullah.

Menurut Al Mubarakfuri dalam buku sirah Nabawiyyah SAW, Rasulullah sering meminta dan berdoa kepada Allah: "Ya Allah, muliakanlah Islam dengan salah seorang lelaki yang paling Engkau suka, sama ada Umar bin al Khattab atau Abu Jahal bin Hisham".

Ini mungkin kerana di zaman jahiliah kejahatan Umar dan Abu Jahal begitu melampau terhadap Islam yang seolah-olah tidak mampu lagi dihadapi oleh baginda. Itu menyebabkan baginda sering berdoa. Ternyata Allah lebih 'menyayangi' Umar dan diberikannya hidayah dan cahaya Islam.

Sehingga tidak dinafikan tanpa sumbangan dari Umar, perjalanan dakwah baginda Rasulullah mungkin adalah lebih sukar daripada apa yang kita dapat bayangkan!

Umar lebih dikenali sebagai Umar Al Faruk. Iaitu seseorang yang tahu memilih dan membezakan antara yang hak dan batil, antara benar dan palsu.

Gelaran ini diberi oleh Rasulullah semasa beliau membawa sekumpulan umat Islam bersembahyang di hadapan Kaabah secara terbuka untuk pertama kalinya dalam sejarah Islam. Beliau sendiri yang menjaga para jemaah itu daripada gangguan orang-orang Quraisy.

Nabi Muhammad SAW juga memanggil Umar dengan panggilan 'Abu Hafs' kerana kegagahannya itu.

Daripada seorang yang sangat petualang kepada Islam di zaman jahiliahnya, tetapi di zaman Islam beliau seorang pejuang Islam yang paling gigih, kental dan sejati.

Tiada siapa dapat menafikan hakikat itu. Sehingga dapat menakluk wilayah-wilayah bagi meluaskan jajahan dan empayar Islam dari Timur ke Barat dan sehinggalah pada tahun 637 beliau berjaya mengembalikan semula Baitul Maqdis kepada Islam.

Dikisahkan selepas pengepungan Baitul Maqdis yang agak lama, tentera Islam berjaya menakluk kota tersebut yang diketuai oleh panglima Islam Abu Ubaidah ibn al-Jarrah.

Namun Paderi Besar Baitul Maqdis iaitu Sophronius enggan menyerah diri kecuali kepada Saidina Umar sendiri.

Lalu Umar mengembara dari Madinah dan apabila bertemu, Paderi itu menyerahkan sendiri kunci kota itu kepada Saidina Umar.

Beliau kemudiannya mengajak Saidina Umar bersembahyang di dalam gereja besar Kristian iaitu gereja Church of the Holy Sepulchre. Saidina Umar menolak. Sebaliknya beliau solat tidak jauh dari gereja tersebut kerana tidak ingin mencemarkan status gereja tersebut sebagai pusat keagamaan Kristian.

Di samping tidak mahu ada pihak yang salah faham bahawa jika Umar melakukan solat di gereja itu bermakna khalifah Islam itu hendak menawan gereja untuk dijadikan masjid.

Sehinggalah 50 tahun kemudian, sebuah masjid yang digelar Masjid Umar dibina di tempat Saidina Umar solat.

Begitulah antara moral atau akhlak Umar yang unggul dan sukar ditemui pada mana-mana pemimpin dunia yang lain.

Justeru mengapa tidak kita kembali mengenali Umar kerana segala sifat-sifat yang ada pada beliau itu wajar sekali disegarkan kembali dalam ingatan. Setelah kembali segar, mengapa tidak beliau kita contohi?

Sifat-Sifat Peribadi

Seorang yang bersifat berani dan tidak gentar dalam menegakkan agama Islam juga seorang yang tegas dan adil.

Ditakuti oleh orang ramai kerana keberaniannya taat pada ajaran Allah SWT. Seorang yang berpandangan jauh, berfikiran terbuka dan sedia untuk menerima pendapat orang lain. Seorang pemerintah yang bertanggungjawab, adil dan amanah.

Pernah menyamar sebagai rakyat biasa walaupun ketika itu beliau memegang jawatan khalifah untuk melihat sendiri keadaan rakyatnya.

Malah beliau sendiri yang mengangkat guni-guni gandum dan minyak untuk diberi kepada golongan yang memerlukan.

- Berfikiran terbuka

Menerima pendapat sahabatnya Abu Bakar As-Siddiq mengenai pembebasan tawanan perang Badar, iaitu mereka dikehendaki membayar wang tebusan atau mengajar anak-anak penduduk Madinah hingga pandai dan orang tua dibebaskan tanpa syarat.

Menerima pendapat seorang perempuan yang mencadangkan supaya setiap orang boleh meletakkan mas kahwin mengikut kemahuan sendiri, asalkan tidak membebankan kaum lelaki. Beliau bersedia ditegur dan menerima pendapat orang lain walaupun daripada rakyat biasa.

- Berani

Sebelum memeluk Islam dengan begitu kuat menentang Rasulullah SAW sehingga menyebabkan beliau sangat ditakuti dan digeruni oleh orang yang memeluk agama Islam. Namun apabila 'berani kerana benar' beliau tidak gentar mengisytiharkan dirinya memeluk Islam secara terbuka di khalayak ramai.

Satu-satunya Muslim yang berani menunaikan ibadat secara terang-terangan di hadapan orang ramai.

Beliau jugalah yang mencadangkan Rasulullah SAW supaya ajaran Islam disebarkan secara terbuka. Sebagai jaminan beliau mencabar orang kafir Quraisy supaya menghalang Rasulullah SAW daripada berpindah ke Madinah.

Oleh kerana ketegasan dan keberaniannya itulah, maka beliau diberi gelaran al-Faruq.

- Adil

Seorang pemerintah yang adil dan bertanggungjawab terhadap keselamatan, keamanan dan kemakmuran rakyatnya. Beliau tidak memilih bulu dan mengetepikan soal status diri dan sesiapa yang didapati bersalah, tetap akan dihukum.

Beliau juga pernah menjatuhkan hukuman ke atas anak pesuruhjaya Mesir, iaitu Umar al-Ash, yang telah memukul seorang Qibti yang kalah dalam perlumbaan kuda.

Jasa-jasa dan sumbangan besar Umar terhadap Islam begitu dijanjikan kepadanya akan syurga. Bagi Umar segala kebaikan yang beliau lakukan selepas memeluk Islam seolah-olah masih tidak membayar segala dosa dan kesalahan beliau yang lampau itu.

Abu Hurairah berkata: Rasulullah SAW pernah ditanya: Siapakah orang yang paling mulia? Jawab baginda: Orang yang paling bertakwa. Kata mereka: Bukan tentang ini yang kami tanyakan. Jawab Nabi: Kalau begitu, tentang siapakah orang Arab yang paling mulia yang kamu ingin tanyakan kepadaku? Sesungguhnya orang paling mulia di kalangan kamu pada masa jahiliah, dia jugalah yang paling mulia di antara kamu di dalam Islam sekiranya dia tafaqquh fiddin. (riwayat Bukhari)

Tepat sekali jika yang dimaksudkan oleh baginda itu antaranya Umar al Khattab. Lebih-lebih lagi setelah beliau memeluk Islam, beliau tetap disegani dan ditakuti hatta oleh syaitan.

Apakah rahsianya Saidina Umar Al Khattab boleh mencapai tahap tersebut? Jawapannya tidak lain ialah kerana beliau benar-benar tafaqquh fiddin (faham agama).

Mukmin yang tafaqquh fiddin memang lebih ditakuti oleh syaitan dibandingkan dengan orang yang banyak beribadat tetapi jahil tentang selok belok agama.

Ini berdasarkan hadis Nabi SAW: Ertinya: Seorang Faqih (orang yang tafaqquh fiddin) adalah lebih digeruni oleh syaitan daripada seribu orang 'abid (orang yang banyak beribadat). (riwayat Tarmidzi, Ibnu Majaah dan al-Baihaqi)

Nama penuh sahabat besar Nabi ini ialah Umar bin Al-Khattab b. Naufal b. Abdul Uzza b. Rabah b. Abdullah b. Qarth b. Razah b. Adiy b. Kaab.

Dilahirkan pada tahun 583M daripada Bani Adi iaitu salah satu puak dalam kabilah Quraisy yang dipandang mulia, megah dan berkedudukan tinggi.

Beliau juga terkenal sebagai pemidato dan juga ahli gusti. Umar memeluk Islam pada tahun keenam selepas kerasulan nabi.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url