Top Ad 728x90

Mara perketat syarat pinjaman

Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan memperketatkan syarat untuk semua pinjaman perniagaan dengan mewajibkan peminjam menamakan sekurang-kurangnya seorang penjamin atau cagaran, termasuk untuk pinjaman serendah RM1,000.

Ketua Pengarah Mara, Datuk Ibrahim Muhammad, berkata langkah itu bagi memastikan setiap peminjam lebih bertanggungjawab dan menjelaskan ansuran bulanan pinjaman secara sistematik bagi mengelak sebarang gangguan kepada pusingan modal.

Beliau berkata, saranan ini adalah antara strategi yang digariskan Mara untuk memastikan sasaran kutipan sebanyak RM400 juta mencapai matlamatnya sepanjang tahun ini.

"Mulai tahun ini, Mara akan menggunakan sepenuhnya wang hasil kutipan pinjaman di kalangan peminjam untuk menyediakan pinjaman kepada usahawan Bumiputera yang mengemukakan permohonan.

"Jika semuanya berjalan lancar, cadangan yang sudah dipersetujui di peringkat pengurusan Mara ini akan dikuatkuasakan serta merta dalam masa terdekat," katanya ketika ditemui di sini.

Antara syarat baru pinjaman adalah menamakan penjamin sama ada pegawai kerajaan, swasta atau ahli perniagaan yang berpendapatan sekurang-kurangnya tiga peratus daripada jumlah keseluruhan pinjaman.

Sebelum ini, penjamin tidak diperlukan untuk pinjaman perniagaan antara RM1,000 dan maksimum sebanyak RM500,000.

Ibrahim berkata, sebagai organisasi pembangunan, langkah berkesan perlu dirangka dan dilaksanakan untuk memastikan kumpulan sasar mendapat manfaat secara menyeluruh, bukan hanya menyalurkan bantuan untuk sebahagian saja.

"Wujudnya kira-kira 30 peratus daripada 38,000 peminjam di kalangan usahawan yang disenaraikan sebagai usahawan yang mempunyai tunggakan hutang tidak berbayar (NPL) untuk tempoh lebih enam bulan mendorong Mara merangka syarat memperketatkan syarat pinjaman,' katanya.

Beliau berkata, syarat yang lebih ketat ini diharap menimbulkan kesedaran di kalangan peminjam yang memperoleh RM1.74 juta pinjaman sepanjang Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dengan membuat bayaran ansuran mengikut jadual.

Ibrahim berkata, antara masalah kutipan pinjaman yang dihadapi Mara, termasuk kurangnya sambutan di kalangan peminjam untuk membuat pembayaran menggunakan urus niaga perbankan, SMS dan internet.

"Tidak semua hasil kutipan pinjaman digunakan sebagai pusingan modal, sebaliknya sebahagian perlu disediakan untuk menjelaskan pinjaman wang kerajaan Persekutuan kepada Mara," katanya.

- BERITA HARIAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90