Visa permudah pembayaran secara digital
Penyelesaian itu menggabungkan teknologi pembayaran tanpa sentuhan Visa iaitu Visa payWave dan teknologi In2Pay milik DeviceFidelity untuk mengubah telefon bimbit dengan slot memori microSD menjadi satu alat pembayaran tanpa sentuhan mudah alih.
Ini membolehkan pelanggan membuat urus niaga mudah alih Visa payWave di mana-mana lokasi perniagaan yang menerima pembayaran tanpa sentuhan.
Menurut kenyataan akhbar dikeluarkan BSW menerusi AFP, ujian menggunakan teknologi berkenaan dijadualkan bermula pada suku kedua 2010.
Kerjasama itu sejajar strategi mudah alih Visa untuk meluaskan capaian rangkaian globalnya untuk membawakan pembayaran mudah alih dan perkhidmatan berkaitannya kepada pelanggan di seluruh dunia.
Dengan kira-kira empat bilion peranti mudah alih di pasaran hari ini, Visa dengan kerjasama institusi kewangan, pengendali rangkaian mudah alih dan pengeluar telefon bimbit berusaha untuk memberikan manfaat perkhidmatan kewangan mudah alih kepada pelanggan seluruh dunia.
Ketua Pembayaran Tanpa Sentuhan Mudah Alih Visa Inc, Dave Wentker, berkata sasaran syarikat itu adalah untuk membangunkan cara inovatif untuk membawa nilai mata wang digital Visa kepada pengguna mudah alih seluruh dunia.
"Menerusi kerjasama kami dengan DeviceFidelity, Visa membantu mempercepatkan pelaksanaan pembayaran tanpa sentuhan mudah alih dan merintis jalan penggunaannya pada peringkat global," katanya.
Rangkaian pemprosesan urus niaga global Visa, VisaNet dan teknologi pembayaran tanpa sentuhannya memainkan peranan penting dalam memproses urus niaga secara selamat.
Ini dibantu dengan penyelesaian In2Pay serta teknologi enkripsi yang berfungsi menghalang cubaan pemalsuan.
- BERITA HARIAN