Masa paling sesuai untuk bersatu

Oleh MOHAMMAD ISMAIL
Pensyarah Kanan
Fakulti Pengurusan Perniagaan
Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis

Mungkin ada yang mempertikaikan tentang keikhlasan apabila seseorang mengutarakan pendapat. Tetapi, siapalah kita untuk mempersoalkan keikhlasan dan niat seseorang? Penulis setuju dengan pandangan dan kenyataan Zulkifli Nordin semasa beliau menjadi tetamu program bual bicara sebuah televisyen tempatan, bahawa kita perlu bersangka baik.

Dalam memperkatakan soal ini, semua pihak akan mendapat kredit jika agenda penyatuan atau perbincangan ini menjadi kenyataan. Pihak kerajaan sudah tentu akan mendapat 'top up' kredit yang lebih selaras dengan prinsip 1Malaysia, rakyat didahulukan kerana sudah lama rakyat menantikan saat-saat ini menjadi kenyataan.

Walaupun dalam keadaan kemelut yang berlaku di pihak pembangkang, pihak kerajaan belum boleh mendabik dada, namun pastinya mempunyai sedikit kelebihan. Kelebihan yang ada belum tentu menjamin untuk rakyat menterjemahkan kelebihan itu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 nanti.

Jika kita ibaratkan sebagai sebuah permainan badminton, servis mungkin berada di pihak kerajaan tetapi dengan sistem 'permainan' yang ada, bila-bila masa sahaja servis boleh bertukar tangan. Justeru dalam menangani isu ini, soal penyatuan tidak harus dilengahkan. Kerajaan perlu bergerak senada dan menjadi peneraju supaya suatu hari nanti rakyat tidak akan menyalahkan kerajaan kerana tidak merealisasikan sebuah penyatuan yang bersandarkan penyatuan Islam.

Kini, sudah sampai waktunya semua pihak membuang 'ego' masing-masing, merendah diri dan bermuhasabah untuk memastikan titik pertemuan ini menjadi realiti bukannya agenda politik tersendiri. Kita cukup yakin bahawa seluruh rakyat akan memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi jika perbincangan ini menjadi kenyataan. Percayalah seandainya titik pertemuan menjadi satu kebenaran, pastinya kedua-dua pemimpin terutama Perdana Menteri akan lebih dihormati oleh rakyat. Jika usaha ini tidak menjadi kenyataan disebabkan pihak kerajaan, pasti ia akan memberi satu lagi perubahan dalam senario landskap politik tanah air. Jika kita boleh ibaratkan sebagai sebuah perlawanan akhir bola sepak, sekiranya pihak yang mendahului jaringan gol melengah-lengahkan permainan, bukan setakat kad kuning yang dilayangkan. Sebaliknya, kita juga bimbang jika kad merah dilayangkan dan yang paling malang jika ada yang 'dibuang padang' nanti.

Kini, bukanlah masa untuk kita saling meragui keikhlasan masing-masing, kata mengata, usik mengusik, tuduh menuduh, cuit mencuit, kutuk mengutuk dan saling menuding jari antara satu sama lain. Sebaliknya, kini adalah masa yang amat sesuai dan peluang keemasan untuk semua pihak berdepan mata dan berlapang dada dalam suasana yang ukhwah untuk sama-sama berbincang. Jika benar kita mengutamakan rakyat, kini adalah masa yang paling tepat untuk membuktikan bahawa kita sanggup mengetepikan ideologi politik yang berbeza demi sebuah penyatuan untuk kebaikan rakyat. Berpeganglah kepada prinsip 'ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya'. Semua pihak tidak harus memikirkan siapa yang menang atau kalah kerana keputusan menang atau kalah bukannya pemimpin yang menentukan. Siapa yang menang atau kalah bukanlah persoalan pokok, sebaliknya perbincangan untuk kebaikan rakyat perlu didahulukan. Mengalah bukannya bererti kita kalah, adalah lebih baik sekiranya sekali sekala yang tua menghormati yang muda. Yang muda akan lebih dihormati sekiranya mengalah kepada yang tua. Lupakanlah soal siapa menang, lupakanlah soal siapa yang mulakan dulu tetapi yang lebih penting adalah bertemu mata dan berbincang dari hati ke hati. Kedua-dua pihak tidak perlu merasa curiga dan takut kepada kekalahan tetapi keikhlasan itu amat penting direalisasikan melalui sebuah musyawarah demi untuk sebuah penyatuan. Bukankah perpaduan itu lebih baik daripada persengketaan?

Kini, merupakan masa yang sangat-sangat sesuai untuk kedua-dua pihak membulatkan iltizam, merapatkan barisan untuk duduk berbincang dalam satu saf atas landasan sebuah penyatuan untuk kesejahteraan ummah. Seandainya kita benar-benar ikhlas untuk melihat kesejahteraan rakyat maka bersatulah tetapi sekiranya ada pihak yang cuba bermain 'sandiwara' lama di sebalik isu ini, sudah tentu rakyat akan menjadi hakim dalam menentukan siapa yang bersubahat, siapa yang perlu bersahabat dan siapa yang perlu beristirehat dalam PRU Ke-13 nanti. Dalam senario 'kematangan' politik hari ini, semua pihak perlu sedar bahawa rakyat sedang memerhatikan apa yang berlaku, jangan sampai rakyat menjadi 'meluat' dan 'muak' dengan kemelut yang berlaku kerana jika hati rakyat disakiti dan dikhianati, pastinya ramai ahli-ahli Yang Berhormat gigit jari pada pilihan raya akan datang!

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url