Aset peribadi Susilo RM3.7 juta

JAKARTA: Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono (kanan) semalam mengumumkan harta peribadinya bernilai kurang AS$1.1 juta (RM3.7 juta), menjadikan beliau 'lebih miskin' berbanding Naib Presiden Boediono dan tiga menteri lain.

"Jumlah kekayaan saya pada 23 November 2009 ialah 7,616,270,204 rupiah (RM2.76 juta) dan AS$269,730 (RM908,046). Laporan pada Mei 2009 mencatat nilai aset saya adalah 6,848,049,611 rupiah (RM2,48 juta) dan AS$246,389 (RM829,468)," katanya pada sidang media di Istana Presiden.

Akhbar Jakarta Globe melaporkan, aset Susilo termasuk harta tidak boleh dijual bernilai 2.4 bilion rupiah (RM872,526), kenderaan berharga 502 juta rupiah (RM182,503 ), perhiasan dan koleksi seni berharga 851 juta rupiah (RM309,383) dan beberapa dokumen berharga, bernilai 3.8 juta rupiah (RM1,381). Beliau tiada hutang.

Undang-undang Indonesia 1999, menyatakan semua pegawai kerajaan dikehendaki melaporkan kekayaan kepada Suruhan Jaya Mencegah Rasuah (KPK) dan mengumumkannya secara terbuka.

"Semua pegawai kerajaan wajib melaporkan dan mengumumkan kekayaan sebelum dan selepas mereka menyandang jawatan," kata pengerusi KPK, Tumpak Hatorangan Panggabean.

Sementara itu, kekayaan Boediono pada September 2009 ialah 28 bilion rupiah (RM10.179 juta) dan AS$16,000 (RM54,400). Laporan pada April 2009 mencatat kekayaan keseluruhan beliau 22 bilion rupiah (RM 7.998 juta) dan AS$15,000 (RM51,000). Kenderaan dan pengangkutan miliknya juga bernilai lebih tinggi berbanding Susilo iaitu 940 juta rupiah (RM341,739)

Tiga menteri Kabinet Susilo iaitu Menteri Penyelaras Politik, Undang-Undang dan Hal-Ehwal Keselamatan Djoko Suyanto, Menteri Koperasi dan Perusahaan Sederhana dan Kecil, Syed Hasan dan Menteri Maritim dan Perikanan Fadel Muhammad, memiliki aset peribadi lebih banyak berbanding presiden.

Aset Djoko bernilai 17.2 bilion rupiah (RM6.253 juta) ditambah AS$40,000 (RM136,000), Kekayaan Fadel berjumlah 119.8 bilion rupiah, (RM43.553 juta) ditambah wang tunai AS$235,652 (RM800,216), berkurangan 1.5 bilion rupiah (RM545,329) berbanding laporan pada 2006, manakala kekayaan Syarif Hasan bernilai 17.5 bilion (RM6.362 juta) dan AS$180,000 (RM612,000).

Beberapa menteri sudah mengumumkan kekayaan masing-masing lebih awal, manakala sebilangan lagi membuat pengumuman semalam. Beberapa menteri lagi dijangka membuat pengumuman dalam tempoh terdekat.

"Pengumuman ini adalah sebahagian tradisi politik yang baik dan dikehendaki rakyat. Pengerusi KPK dan saya bersetuju supaya semua pegawai kerajaan termasuk gabenor dan pegawai daerah, mengumumkan kekayaan masing-masing," katanya.

- Agensi
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url