Isu-isu akhbar cina

UiTM dan keistimewaan bumiputera

Seorang penulis, Khoo Yuang Loong menulis mengenai keistimewaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang dibuka hanya kepada kaum bumiputera dan orang Melayu.

Artikel itu disiarkan menerusi ruangan perbincangan umum di akhbar China Press bertarikh 9 Mac lalu.

Menurut beliau, UiTM boleh dikatakan universiti ‘misteri’ kerana ia tidak dibuka kepada mana-mana pelajar kaum lain. Orang ramai juga tidak tahu apa yang di dalamnya dan bagaimana ia berfungsi.

Kita hanya mendengar universiti ini mempunyai peralatan canggih dan tenaga pengajar yang berpengalaman. Di situlah benteng dan kubu kuat melahirkan intelek Melayu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, UiTM adalah kebanggaan orang Melayu, ia adalah aset penting bangsa dan tidak boleh dibuka kepada kaum lain.

‘‘Setiap hari Perdana Menteri mempromosikan konsep 1Malaysia, menekanka sumber negara diberi sama rata kepada rakyat. Tetapi apabila ia tidak dibuka kepada orang lain, ia menunjukkan betapa pentingnya universiti itu kepada orang Melayu. Kaum lain langsung tidak berpeluang memasuki universiti itu bagi mengecapi sumber yang dikatakan dibahagi sama rata itu,” tulis Yuan Loong.

Beliau menulis lagi, dalam masa setahun setengah, enam buah lagi kampus UiTM akan dibuka dan menempatkan kira-kira 200,000 orang pelajar. Universiti awam ketika ini memuatkan kira-kira 60 peratus pelajar bumiputera.

Dengan penambahan kampus UiTM, dalam beberapa tahun akan menambah lambakan graduan Melayu di pasaran. Kaum bukan bumiputera yang tidak dapat memasuki universiti ini, ke mana mereka akan ditempatkan dan pergi?

UMNO-Perkasa-Pembangkang

Akhbar Nanyang Siang Pao bertarikh 6 Mac lalu pula menyiarkan sebuah artikel yang menyentuh mengenai isu UMNO, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan pembangkang. Artikel bertajuk “Rombak tetapi tidak berubah, berubah tapi tidak bereformasi” itu ditulis oleh penulis yang menggunakan nama samaran, Mai Siang.

Menurut beliau, Perkasa sejak dulu lagi tidak sebulu dengan UMNO. Mereka mejadi pertubuhan luaran dan jika mahu dimasukkan ke dalam UMNO pula, ia hanya akan menjadi perbalahan dalam pasukan.

Memang ada kemajuan jika perkara ini benar-benar berlaku tetapi ia masih di takuk yang lama. Masih berpusing-pusing di takuk fikiran yang lama. Jika UMNO tidak dapat melemahkan kuasa pembangkang, adakah UMNO boleh berkuasa secara berdikari?

Tetapi jika Perkasa menjadi ahli UMNO, akan berlaku banyak pertubuhan Melayu turut menyertai UMNO. Jika pertubuhan ini tidak dilayan dengan baik, ia bukan sahaja boleh menggugat ahli parti bukan Melayu dalam BN, malah mungkin tidak dapat terus bertahan dan terancam kerana pertubuhan itu pasti akan berjuang mengenai isu-isu keadilan dan hak sama rata.

Selepas pilihan raya umum pada Mac 2008, satu aliran kuasa untuk membuat perubahan muncul dan menjadi slogan kepada pembangkang. Elit-elit UMNO sendiri turut terkena tempias itu.

Tetapi berapa banyak perkara yang sudah diubah? Konsep 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan pada permukaannya memang indah. Tetapi pelaksanaannya sangat pahit dan wajah slogan itu sendiri boleh menjadi tidak keruan.

Turun padang dan sokongan rakyat

Tradisi turun padang termasuk yang dilakukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sewaktu sambutan Tahun Baru Cina, baru-baru ini mendapat perhatian seorang penulis, Chen Li Hien.

Beliau mengulas mengenai perkara itu menerusi sebuah artikel yang disiarkan oleh akhbar Nanyang Siang Pao bertarikh 3 Mac lalu. Menurut penulis ini, ahli politik mengambil kesempatan daripada lawatan ke rumah-rumah rakyat untuk meningkatkan imej mereka. Ia adalah perkara yang biasa berlaku.

‘‘Tetapi jika Najib hanya membuang masa untuk aktiviti seperti itu, saya langsung tidak nampak apa yang akan terjadi kepada masa depan kita,” tulisnya.

Dari sudut strategi politik, polisi mesra rakyat dan laungan kuat konsep 1Malaysia hanya akan menaikkan imej baik beliau sendiri. MCA dan Gerakan yang semakin lemah kerana perbalahan, juga mendapat suntikan semangat kerana melihat ia merupakan satu aktiviti BN.

Tetapi dengan perubahan itu, bolehkah Najib selamatkan kegusaran BN? Adakah pengundi Cina kembali menyokong BN daripada apa yang dilakukan oleh Najib itu?

‘‘Pada hemat saya, rancangan dan strategi Najib itu tidak semestinya berjaya kerana dalam arena politik negara, Najib bukanlah orang baru,” tulis beliau.

Perkara utama ialah masyarakat Cina melihat prestasi BN kepada negara. Mereka selama ini tidak puas hati terhadap kerajaan, maka apakah yang dilakukan oleh Najib selama ini dapat merubah pandangan mereka?

Penulis itu menambah, beliau percaya apa yang ditonjolkan oleh rakyat tentang sokongan kepada BN hanyalah di permukaan sahaja.

Ketika Najib mendekati dan memenangi hati rakyat, pada masa sama ramai di kalangan ahli Kabinet beliau melaksanakan tindakan yang tidak mesra rakyat.

‘‘Secara jelas saya ingin memberitahu, saya langsung dan tidak sedikit pun merasakan ia mesra rakyat,'' tulis beliau.

- UTUSAN

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url