Karnival Pengajian Tinggi Negara di Kelantan paling meriah

KOTA BHARU 13 Mac 2010 - Karnival Pengajian Tinggi Negara (KPTN) 2010 untuk Zon Kelapan di sini hari ini mendapat sambutan di luar jangkaan dengan kehadiran lebih 15,000 pengunjung terutama pelajar dan keluarga mereka.

Karnival bertemakan 1 Malaysia Pendidikan Untuk Semua selama dua hari di Pusat Dagangan Kelantan itu mencatatkan bilangan pengunjung paling ramai berbanding program sebelum ini.

Penolong Pegawai Perhubungan Awam Kementerian Pengajian Tinggi, Mohd. Fauzan Abu Hassan berkata, sambutan yang begitu memberangsangkan oleh pengunjung dari negeri ini dan Terengganu ekoran keputusan peperiksaan baru diumumkan.

"Di samping itu, para pelajar terutama yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tahun ini tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan pelbagai maklumat mengenai bidang pengajian.

"Mereka juga ingin tahu mengenai pusat-pusat pengajian tinggi awam dan swasta yang menawarkan pelbagai program pengajian," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau menjangkakan program yang bermula dari pukul 9 pagi hingga 6 petang ini akan dihadiri oleh pengunjung dengan jumlah yang hampir sama pada hari kedua, esok.

"Ini memandangkan banyak yang boleh mereka manfaatkan termasuk khidmat nasihat mengemukakan permohonan secara online di samping mengenai kemudahan-kemudahan mendapatkan pembiayaan yang ditawarkan oleh pelbagai pihak," ujarnya.

Kata beliau, karnival itu menyediakan 80 ruang pameran yang disertai oleh 20 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan 32 institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

"Selain itu, karnival ini turut mendapat penyertaan beberapa jabatan dan agensi yang mempunyai hubung kait dengan pendidikan termasuk menawarkan pembiayaan pengajian," tambahnya.

Menurut Mohd. Fauzan, karnival dimeriahkan dengan acara kuiz dan cabutan bertuah manakala satu forum untuk guru-guru kaunseling diadakan di Hotel New Pasific di sini.

- MINGGUAN MALAYSIA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url