Selasa, Mac 16, 2010

Pengurusan kewangan mesti berhemah

Oleh ROHAMI SHAFIE
Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan Kolej Perniagaan (COB)
Universiti Utara Malaysia

Banyak faktor yang menentukan kejayaan sesuatu perniagaan. Selain strategi yang ampuh dan pasaran yang luas, pengurusan kewangan yang mantap serta menguasai rantai bekalan merupakan faktor terpenting yang mesti dikuasai oleh ahli perniagaan. Kita lihat ramai ahli perniagaan tidak mampu untuk lebih maju ke hadapan jika tidak dapat menguasai kekuatan ini.

Pengurusan kewangan yang lemah menyebabkan ramai ahli perniagaan kecundang ketika krisis ekonomi Asia 1997/1998 melanda negara kita. Ketika itu, ramai yang terjebak dengan gejala hutang. Perniagaan tidak mampu bertahan jika menanggung hutang terlalu tinggi. Sebesar-besar sesebuah perniagaan akhirnya akan muflis juga jika tidak mengamalkan pengurusan kewangan yang mantap dan berhemah. Lebih baik sebuah perniagaan yang tidak terlalu besar, tetapi hutangnya sedikit kerana mengamalkan pengurusan kewangan yang bagus.

Ketika zaman krisis ekonomi Asia 1997/1998, banyak syarikat di negara kita yang melingkup dengan bebanan hutang yang cukup besar dan ada di antaranya melibatkan nama-nama hebat syarikat senaraian awam. Tidak kurang juga, banyak syarikat yang telah diambil alih oleh syarikat-syarikat lain dan telah berjaya distrukturkan semula. Ketika itu, Bursa Malaysia meletakkan syarikat-syarikat senaraian awam yang mengalami masalah kewangan yang teruk sebagai syarikat Nota Amalan 4 (PN4). Ada lebih kurang 100 syarikat PN4 berbanding keseluruhan syarikat senaraian awam berjumlah hampir 900 syarikat. Bermakna, lebih 10 peratus syarikat senaraian awam mengalami masalah kewangan yang amat teruk ketika itu. Bayangkan syarikat-syarikat ini mempunyai modal awal yang negatif! Aset-aset tetap kesemuanya ditukar menjadi aset semasa. Jadi, tidak usahlah bertanya berapa banyakkah modal akhir mereka jika modal awal pun negatif dan aset tetap sudah tiada! Itu belum dikira lagi hutang mereka. Tetapi dalam keadaan banyak syarikat yang mengalami masalah kewangan yang teruk ketika itu, ada juga syarikat yang mencatatkan kedudukan kewangan kukuh.

Proton umpamanya mempunyai tunai yang cukup tinggi sebanyak RM4 bilion. Kecairan tunai Proton yang amat tinggi ini menyebabkan Proton sentiasa diintai oleh syarikat-syarikat automotif luar negara untuk diambil alih atau sekurang-kurangnya dijadikan rakan strategik. Disebabkan mempunyai tunai yang cukup tinggi jugalah, Proton mampu membina kilangnya sendiri di Tanjung Malim tanpa memerlukan bantuan kewangan dari mana-mana pihak.

Ini kita bercakap mengenai syarikat-syarikat besar. Bagaimana pula perniagaan kecil-kecilan seperti kedai runcit? Kedai runcit sebenarnya lebih memerlukan ketelitian dalam memastikan wang masuk dan wang keluar dicatat kerana margin keuntungan bagi setiap jualan amatlah sedikit. Margin keuntungan yang sedikit inilah menyebabkan betapa pentingnya mengurus kewangan agar rekod kewangan dapat dijejaki. Jangan ambil mudah bagi setiap transaksi jualan kerana setiap kealpaan pemantauan catatan aliran tunai akan menyebabkan perniagaan terjebak dengan masalah kewangan.

Warren Buffet yang merupakan orang kedua terkaya di dunia dan tokoh pelaburan terkemuka di dunia meletakkan faktor pengurusan kewangan yang bagus menentukan kejayaan sesuatu perniagaan.

Umpamanya, beliau banyak menasihati ahli-ahli perniagaan agar menjauhi budaya berhutang. Lebih baik menggunakan dana sendiri dengan mengumpul modal bagi memperkembangkan perniagaan berbanding berhutang. Tidak salah bermula dari bawah dengan mengumpul modal berbanding ingin cepat kaya dengan berhutang di sana dan sini.

Selain itu, ahli perniagaan mestilah menguasai rantaian bekalan. Penguasaan rantaian bekalan yang lebih meluas melibatkan ramai ahli perniagaan menyebabkan tiada siapa yang memonopoli perniagaan. Kita selalu menyalahkan peniaga-peniaga kecil yang menaikkan harga sesuatu barangan dan perkhidmatan, sedangkan punca utamanya adalah harga ini dinaikkan oleh segelintir golongan yang memonopoli dan menguasai rantaian bekalan. Apa yang mampu dilakukan oleh peniaga-peniaga kecil kecuali menaikkan harga barangan mereka? Golongan yang memonopoli perniagaan ini mendapat 'durian runtuh' dengan menjana keuntungan yang berlipat kali ganda. Peniaga-peniaga kecil ini pula amat bergantung kepada barangan yang dibekalkan oleh golongan monopoli ini. Maka, mahu tidak mahu, mereka terpaksa mengikut telunjuk 'kuasa' monopoli ini. Seringkali mereka menggunakan kuasa kartel mereka sebaik mungkin dalam menentukan harga sesuatu barangan. Inilah contoh bagaimana mereka bermaharajalela dengan menguasai rantaian bekalan yang mengikut acuan kapitalis yang sememangnya tidak baik untuk ekonomi rakyat.

Jadi, bagi memastikan ahli-ahli perniagaan yang lain juga memperoleh kejayaan, kerajaan seharusnya memecahkan penguasaan mereka. Lesen-lesen mengimport perlu diperluaskan lagi kepada ahli-ahli perniagaan yang lain agar berlaku satu persaingan yang lebih baik berbanding hanya tertumpu pada kuasa 'kartel' yang dimomok-momok sebagai cara perniagaan yang betul berteraskan persaingan terbuka.

Penguasaan merekalah yang sering menjadi faktor utama yang membelenggu kos sara hidup rakyat. Jika dipecahkan penguasaan mereka, mereka tidak mampu menaikkan harga sewenang-wenangnya. Sudah pasti kebaikannya dinikmati oleh rakyat jelata yang juga sering memikirkan wang keluar dan masuk mereka saban hari.

- UTUSAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts