Perang iPhone sengit
KUALA LUMPUR 1 Mac - Selepas merancang untuk memperkenalkan iPhone dua tahun lalu tetapi gagal menjadi kenyataan, Celcom Axiata Bhd. kini menimbang menjualnya semula.
Langkah Celcom itu dijangka menyemarakkan perang merebut pasaran melalui telefon bimbit yang menjadi kegilaan ramai.
DiGi. Com Bhd. (DiGi. Com) telah memeterai perjanjian menjual iPhone keluaran Apple Inc di Malaysia sekali gus mengakhiri monopoli penjualan telefom bimbit itu oleh Maxis Communications Bhd. (Maxis)
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Johan Dennelind berkata, DiGi yang mengunjurkan pertumbuhan di pasaran sebanyak 10 kali ganda dalam tempoh lima tahun lagi, akan menjual iPhone 3G dan 3GS pada bulan depan.
Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan jumlah perjanjian tersebut tetapi jurucakap Apple, Jill Tan berkata, syarikat berkenaan akan membuat kenyataan kemudian.
Perjanjian tiga tahun itu akan membantu DiGi meningkatkan jualan lebih lima peratus pada tahun ini, lebih tinggi daripada unjuran industri.
''Pertumbuhan dijangka kembali tahun ini,'' menurut beliau.
Ketua Pegawai Eksekutif Celcom, Datuk Seri Shazalli Ramly mendakwa langkah untuk tidak menjual iPhone sebelumnya disebabkan oleh syarikat itu menumpukan lebih kepada perkhidmatan jalur lebar yang mencatat pertumbuhan kukuh.
Bagaimanapun, pemerhati pasaran pula mendakwa tindakan itu lebih kepada salah percaturan di pihak Celcom yang menjangkakan mampu menandinginya dengan menawarkan produk Blackberry Storm.
Syarikat-syarikat telekomunikasi kini berlumba-lumba memberi fokus kepada jualan data memandangkan telefon pintas kini semakin popular kerana boleh akses Internet.
Ketua Pegawai Eksekutif MIDF Amanah Asset Management Bhd., Scott Lim dalam analisisnya berkata, persaingan dijangka akan menjadi lebih sengit.
Beliau berkata, lebih banyak peserta akan menyertai pasaran jalur lebar wayarles sebagai pasaran suara yang telah matang.
iPhone memasuki pasaran tempatan tahun lepas apabila Maxis Communication Bhd melancarkan telefon pintar pada 31 Julai.
Sejak itu, sambutan kepada revolusi iPhone 3GS di Malaysia amat memberangsangkan seiring dengan popularitinya di dunia. Telefon itu dijual di 85 negara dan mempunyai kira-kira 25,000 aplikasi yang boleh dimuat turun.
Sementara itu, Shazalli ketika mengumumkan hasil kewangannya di sini mengakui, prospek perniagaan tahun ini dijangka lebih mencabar selain perkembangan industri yang semakin hebat.
Beliau berkata, Celcom memperuntukkan antara RM900 juta dan RM1.0 bilion untuk perbelanjaan modal tahun ini yang mana 40 peratus akan diketepikan bagi meningkatkan perkhidmatan 3G dan data jalur lebarnya.
Katanya, selebih 60 peratus akan digunakan, antaranya, menambah lebih banyak cawangan runcit Celcom Blue Cube, membentuk makmal pengguna dan memperbaiki platform bil.
"Tahun 2010 akan menandakan permulaan tempoh transformasi kami ke arah menjadi sebuah syarikat dengan budaya penyampaian yang tinggi," tambah beliau.
UTUSAN