REDTone dapat lesen IPTV

KUALA LUMPUR 1 Mac - Penyedia perkhidmatan jalur lebar, REDtone International Bhd (REDtone) telah diberikan lesen Individu Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Kandungan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyediakan perkhidmatan IPTV (TV Protokol Internet).

DETV diuruskan oleh syarikat subsidiari REDtone, DE Multimedia Sdn Bhd (DE Multimedia) dan merupakan penerokaan pertama kumpulan tersebut ke dalam segmen kandungan.

Dengan jenama DETV, ia merupakan perkhidmatan TV berasaskan Internet pertama yang dilancarkan di Malaysia.

Ia boleh ditonton menggunakan set TV biasa dengan alat dekoder DETV dan sambungan jalur lebar sekurang-kurangnya 1Mbps.

Pelanggan boleh membawa bersama alat dekoder tersebut dengan mudahnya sekiranya mereka berpindah rumah.

Ketua pegawai eksekutif kumpulan REDtone, Zainal Amanshah berkata, DETV dijangka menyumbang secara positif kepada penembusan jalur lebar negara dimana kini terdapat para penyedia perkhidmatan menawarkan pelbagai pakej untuk menarik lebih ramai pelanggan.

''Sebagai perkhidmatan IPTV pertama dan tunggal di Malaysia, DETV bersedia untuk mencipta kemeriahan dan membuka laluan ke arah pengalaman dalam talian yang lebih luas kepada para pelanggan jalur lebar,''" kata Zainal dalam kenyataan di sini hari ini.

''DETV akan dapat menambah nilai kepada penawaran penyedia perkhidmatan dan membolehkan para pelanggan menikmati manfaat penuh sambungan jalur lebar dengan IPTV.

''DETV juga membuka peluang kepada REDtone untuk bekerjasama dengan Streamyx dan penyedia perkhidmatan HSBB (jalur lebar berkelajuan tinggi) bagi menyediakan kandungan yang lebih luas kepada para pelanggan,'' tambah beliau.

Menurutnya, ini akan mewujudkan permintaan bagi perkhidmatan jalur lebar, sambungan jalur lebar dengan kualiti yang lebih baik akan membantu merancakkan penembusan jalur lebar di negara ini.

DETV kini mempunyai lebih 30 saluran termasuk CCTV (China Central TV) Entertainment, CCTV4, Shanghai Dragon TV, Hunan TV dan CCTV9, saluran berita bahasa Inggeris dari China.

Ia turut menyiarkan saluran berita antarabangsa seperti Channel News Asia, Bloomberg TV, NHK World TV dan Aljazeera serta saluran pancaran siaran percuma Malaysia, iaitu TV1 dan TV2.

Sementara itu, Pengarah Urusan DE Multimedia, Wei Chuan Beng yang juga merupakan Pengarah Urusan Kumpulan REDtone berkata, DETV merancang untuk menjalin kerjasama dengan lebih banyak rakan kongsi kandungan dalam usahanya untuk meluaskan kandungan yang ditawarkan kepada pelanggan.

Katanya, DETV boleh membantu mempertingkatkan produksi tempatan dan industri-industri berkaitan.

''DETV menyediakan landasan kepada syarikat produksi dan bakat-bakat tempatan kita untuk menampilkan kreativiti, kepakaran dan kemahiran mereka.

''Ia boleh menjadi batu loncatan untuk syarikat-syarikat dan artis tersebut dalam usaha mereka membina kemahiran dan meluaskan pendedahan mereka sebelum menerokai pasaran di luar Malaysia,'' katanya.

DETV menawarkan tiga pakej dengan yuran langganan bulanan sebanyak RM49.90 dan RM60 (harga biasa adalah RM79.90) bergantung kepada pakej sepanjang tempoh promosi yang akan berakhir pada Mac 31 ini.

Pelanggan juga dikehendaki membayar deposit yang akan dikembalikan semula untuk set dekoder tersebut.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url