Sama rata pemberikan kredit
Salah satu faktor kepada masalah ini adalah kerana tahap penguasaan kemahiran generik graduan adalah rendah. Justeru, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan memperkasa pelaksanaan kursus kokurikulum berkredit di IPT tempatan, selain menerapkan elemen kemahiran insaniah dalam pembelajaran setiap kursus.
Penekanan pelajar dalam kokurikulum ini adalah kaedah berkesan dalam usaha mengasah kemahiran generik pelajar dan ia perlu ditambah baik menerusi pemantapan sistem pengajaran dan pembelajaran. Dengan penekanan itu juga diharap dapat mengatasi masalah pengangguran graduan yang banyak disabitkan dengan tahap penguasaan kemahiran generik rendah. Namun, bukankah kokurikulum berkredit ini sudah 20 tahun dilaksanakan iaitu sejak tahun 1980-an? Dalam tempoh masa yang lama itu, ia sepatutnya berjaya melahirkan pelajar yang mempunyai tahap kemahiran generik yang tinggi. Jadi, kenapa pula ia kini masih perlu ditekankan? Kenapa ia juga masih menjadi punca pelajar sukar memperoleh pekerjaan?
Apakah mungkin ada kelemahan dalam pelaksanaan itu dan apakah yang harus dilakukan untuk mengatasi masalah ini? Bagi pelajar pula, kenapa mereka masih memandang enteng perkara ini walaupun mereka sedar kepentingan kemahiran generik ini terhadap masa depan? Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Datuk Dr Mohamad Abd Razak berkata sistem kokurikulum berkredit sememangnya sudah dilaksanakan sejak tahun 1980-an.
Tetapi, katanya, pelaksanaannya adalah mengikut acuan IPT sendiri dan pemberian kredit adalah berbeza di setiap IPT."Sememangnya sistem kokurikulum berkredit ini sudah lama dilaksanakan, tetapi pemberian kredit di setiap IPT adalah berbeza walaupun mereka mengikuti jam pembelajaran yang sama. "Sebab itulah kini KPT mahu sistem ini ditekankan dan menyamaratakan pembahagian kredit kepada pelajar yang terbabit dalam apa juga aktiviti kokurikulum," katanya.
Katanya, setiap IPT tidak mahu menghasilkan graduan yang hanya pandai atau cemerlang dalam akademik, tetapi tidak punya kemahiran generik."Apa yang kita mahu adalah melahirkan pelajar yang serba boleh. Tiada gunanya kita melahirkan graduan yang cemerlang, tetapi tidak boleh memimpin atau berkomunikasi dengan baik. "Dengan itu penekanan dalam perkara ini adalah satu langkah atau kaedah yang baik," katanya.
Kata Dr Mohamad Abd Razak, sistem kokurikulum berkredit itu tidak punya kelemahan, tetapi ia tidak ditekankan."Kini kalau dibandingkan, hanya ada sepuluh peratus saja pelajar yang mempunyai tahap kemahiran generik yang tinggi dan sepuluh peratus lagi yang mementingkan akademik.
"Selebihnya, pelajar berada di tengah dan bukan itu yang kita mahukan kerana kita nak mereka ini menguasai semuanya ataupun seimbang."Justeru, sekarang ini kita mahu menaikkan tahap kemahiran generik graduan secara menyeluruh dan bukan sebilangan saja.
"Saya juga merasa, setiap IPT sedar kokurikulum adalah sangat penting untuk seluruh mahasiswa di universiti dan mereka pastinya sudah mengambil tindakan. Sementara itu, mantan Presiden Persatuan Mahasiswa UKM, Mohd Nasir Mohamed Nazri, berkata pelajar sememangnya memandang serius perkara berkenaan, tetapi ada kalanya pelaksanaan sesuatu program itu yang menjadikan mereka tidak berminat mengikutinya.
"Untuk menyertai sesuatu aktiviti, kita perlu ada minat dan kerelaan. Tetapi, ada sesetengah penganjur program atau ahli jawatankuasa yang memaksa pelajar untuk menyertainya."Bagi pelajar pula, mereka mengikuti sesuatu program itu dengan kerelaan hati dan bukannya dengan paksaan. "Jadi, jika dipaksa mereka akan lebih mengelak untuk turut serta atau terbabit dengan apa juga aktiviti kokurikulum walaupun tahu ia sangat penting," katanya.
Selain itu, katanya, apabila pelajar terbabit dengan pengurusan sesuatu program, ada kalanya mereka ini keliru dengan manfaat yang akan diperoleh daripada pembabitan mereka itu."Jika menguruskan sesuatu program, mereka ini mahukan pengalaman dan ilmu daripada apa yang dilaksanakan.
"Tetapi apa yang sering berlaku pula berlainan. Ini kerana ada kalanya pelajar tidak memperoleh kemahiran yang sepatutnya mereka peroleh disebabkan pelaksanaan sesuatu program itu," katanya.Dalam mempertingkatkan kebolehpasaran dan tahap kemahiran generik serta kemahiran insaniah graduan, sememangnya banyak program yang dianjurkan tetapi ia tidak menyeluruh.
"Pelajar memang menghargai setiap program yang dianjurkan terutama bertujuan mempertingkatkan kemahiran atau 'softskill' pelajar."Tetapi program yang dianjurkan itu tidak menyeluruh di mana ia biasanya hanya tertumpu kepada beberapa kemahiran sahaja," katanya.
Menurut Mohd Nasir, contoh paling jelas adalah berkaitan program usahawan di mana penganjur akan memanggil mereka yang mempunyai pengalaman dalam perniagaan atau usahawan."Ia adalah satu program yang baik kerana menerusinya pelajar boleh memperoleh pelbagai ilmu, tetapi hanya dalam bidang keusahawanan atau perniagaan."Menerusi program usahawan itu juga, pelajar tidak berpeluang untuk memperoleh kemahiran-kemahiran lain seperti komunikasi atau kepimpinan.
"Justeru, apa yang pelajar mahukan adalah sesuatu program yang diadakan meliputi semua aspek terutama kemahiran generik," katanya.Dari segi masa pula, menurutnya lagi, perkara itu tidak timbul sama sekali terutama pembabitan pelajar dalam aktiviti kokurikulum."Sebagai pelajar, mereka seharusnya kena tahu menguruskan masa di universiti dan bohonglah jika tidak punya masa adalah penyebab mereka tidak berkecimpung dalam apa juga aktiviti kokurikulum," katanya.
Bagi meningkatkan tahap kemahiran generik pelajar, Mohd Nasir menjelaskan pelajar perlu menetapkan niat untuk memperoleh pelbagai ilmu tambahan apabila melanjutkan pelajaran di IPT."Saya sendiri, sebelum masuk ke UKM sudah menetapkan niat untuk mendapatkan pelbagai ilmu terutama dalam kemahiran generik."Kalau masuk ke universiti hanya semata-mata mahu memperoleh ilmu dalam akademik, di luar universiti juga ilmu itu boleh diperoleh."Tetapi kemahiran berkomunikasi, kepimpinan dan lain-lain kemahiran kebanyakan boleh diperoleh di universiti. Oleh itu, rebutlah peluang yang ada," katanya.
- METRO AHAD