Semangat waja Azean
Baru berusia 32 tahun, tetapi pencapaian dan kemampuannya boleh diumpamakan satu dalam 1,000. Betapa tidak, pada usia semuda itu beliau memiliki lebih daripada satu syarikat, bangunan sendiri yang nilainya melebihi RM1 juta dan bergelar bos kepada lebih 100 kakitangan.
Tanyalah hal berkaitan lembu, terutama lembu susu, insya-Allah beliau boleh menjawabnya. Malah ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini, beliau memberi gambaran betapa 'ilmunya' berkaitan haiwan berkenaan kadangkala tidak terjangkau dek fikiran.
"Kalau awak nak tahu, lembu susu adalah haiwan yang sensitif dan tidak boleh tertekan. Kita perlu tunjukkan kasih sayang kepada haiwan itu kerana ia kaedah berkesan untuk lembu terbabit menghasilkan susu yang lebih banyak. "Lebih elok jika wanita menjaga haiwan itu. Di ladang saya, setakat ini dua wanita ditugaskan menjaga lembu dan ia ternyata berkesan dalam menghasilkan susu lebih banyak," katanya selamba.
Siapa sangka, di sebalik usia dan penampilan yang tampak lemah lembut, wanita bernama Norazean Abdul Aziz itu agresif dalam dunia perniagaan. Sebelum 'menguruskan' lembu, beliau terlebih dulu meraih kecemerlangan dalam bidang pelancongan.
Hanya dalam tempoh tiga tahun (2002 hingga 2005) menjalankan perniagaan pelancongan menerusi syarikat Prestige Platinum Vacation (PPV) (M) Sdn Bhd, beliau berupaya membeli bangunan sendiri yang dinamakan Wisma PPV di Jalan Bangsar, Kuala Lumpur pada usia 27 tahun.
Daripada hanya menguruskan pakej pelancongan dalam negara, kini nama PPV bukan lagi asing sebagai sebuah syarikat pelancongan yang lengkap serba serbinya. Ada bas persiaran sendiri dan sebut apa saja khidmat berkaitan pelancongan tidak kira dalam atau luar negara, semuanya ada di PPV.
Selepas enam tahun meletakkan PPV pada kedudukan terbaik dan mempunyai prestij tersendiri, Norazean menubuhkan pula syarikat Prestige Dairy Farm (PDF) (M) Sdn Bhd yang mengkhusus kepada perniagaan memelihara lembu untuk menghasilkan produk tenusu dan daging.
Bagi Norazean atau lebih mesra dengan panggilan Azean, usahanya meneroka bidang berkenaan yang semestinya dianggap janggal bagi wanita, dijadikannya cabaran. Beliau sanggup mengetepikan rasa kurang selesa terhadap haiwan berkenaan kerana yakin dengan masa depan perniagaan dalam bidang itu.
"Dulu nak dekat dengan lembu susah juga sebab saya tak tahan baunya. Sekarang tiada masalah untuk saya berbuat demikian, malah saya sifatkan lembu juga seperti haiwan peliharaan lain yang perlu diberi kasih sayang dan dijaga dengan sempurna. "Dalam perniagaan ini suami banyak membantu, malah dialah pencetus kepada penubuhan syarikat ini. Kami bersama-sama merealisasikannya," katanya.
Kesungguhan Azean terhadap perniagaan itu terbukti dengan visi dan misinya. Beliau menyifatkan susu lembu umpama gula yang diperlukan dalam kehidupan setiap hari. "Susu sama saja macam gula. Daripada bayi hinggalah orang tua, semua minum susu dan terbukti susu mendapat permintaan yang sangat tinggi.
"Bukan setakat susu, macam-macam boleh dibuat dengan susu lembu, antaranya minyak sapi. Justeru, saya ambil peluang ini untuk memberi tumpuan dalam perniagaan berkenaan," katanya. Bermula dari 2008, PDF kini mempunyai lebih 500 ekor lembu susu jenis Friesian-Jersey diimport dari Australia, selain lembu daging yang ditempatkan di ladang Alifah, Kluang, Johor.
Dengan lebih 30 kakitangan dan peralatan pemprosesan susu canggih, PDF kini tersenarai sebagai pengeluar susu lembu kedua terbesar di negara ini. PDF turut membuka peluang kepada orang ramai bersama-sama menikmati faedah daripada permintaan tinggi susu lembu menerusi pakej diperkenalkan PDF.
Beli lembu daripada PDF dan terima hasil sehingga RM1,000 sebulan, bergantung kepada jumlah pengeluaran susu lembu yang dibeli.Tidak perlu bersusah payah menguruskan lembu dimiliki kerana PDF akan menguruskan semua hal berkaitan, daripada menjaga, memberi makan, memerah susu hinggalah hal pemasarannya.
Setiap lembu dibeli akan diberi sijil dan Azean mengalu-alukan pemilik lembu hadir ke ladang PDF di Kulai Johor untuk melihat lembu mereka.Bagaikan terlalu mudah, dalam tempoh tidak sampai 10 tahun, Azean mampu mengecap kejayaan dan memang lumrah, kejayaan diperoleh mengundang pelbagai persepsi.
Bagi Azean, beliau sedia maklum, barangkali ada yang beranggapan beliau 'orang senang' menyebabkan mudah untuknya meraih kejayaan sesingkat itu. Namun hakikatnya Azean bukan dilahirkan di dalam 'mangkuk emas' yang memungkinkan beliau lebat dengan wang ringgit sehingga mampu melakukan apa saja. Ibu bapanya juga bukan orang berpengaruh sehingga mampu membantu memudahkan perjalanan perniagaannya.
"Bapa saya bekerja sebagai pemandu limosin dan ibu suri rumah. Mereka tidak mampu memberi kekayaan, tetapi yang masih terngiang-ngiang, ayah selalu kata dia hanya mampu memberi kasih sayang dan pendidikan terbaik untuk anaknya.
"Didikan, kasih sayang dan kesungguhan ibu dan ayah memberi saya pendidikan terbaik dijadikan dorongan serta semangat untuk saya merubah nasib keluarga pada masa depan," katanya.
Anak sulung daripada tujuh beradik itu berkata, perjalanan untuk beliau mengecapi kejayaan seperti hari ini bukan mudah.
"Ketika melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, saya melakukan kerja sampingan untuk mencari wang perbelanjaan dan pada masa sama menimba pengalaman. "Nak minta wang daripada orang tua, saya tak sanggup kerana tidak mahu menyusahkan mereka. "Saya bekerja dalam bidang jualan dan pemasaran di sebuah syarikat pada sebelah petang dari jam 5 petang hingga 9 malam, manakala pada Sabtu dan Ahad saya bekerja dari jam 9 pagi hingga 7 malam.
"Bohonglah saya katakan tidak penat dan tertekan... bila nak mengulangkaji, menyiapkan tugasan diberi pensyarah dan memberi tumpuan kepada pekerjaan. Apapun, saya kuatkan semangat dan teruskan sehingga tamat pengajian," katanya. Kesungguhan Azean berbaloi apabila terus diberi kepercayaan bekerja sepenuh masa selepas tamat pengajian hinggalah dilantik ke jawatan ketua bahagian pemasaran.
Bagaimanapun, kejayaan diperoleh menimbulkan iri hati pihak tertentu, menyebabkan beliau ditukarkan ke bahagian sumber manusia. "Kepakaran saya adalah bidang pemasaran. Apabila ditukarkan ke bahagian sumber manusia, untuk apa lagi saya bekerja di situ. Saya ambil keputusan berhenti kerja dan ketidakadilan itu membuatkan saya nekad untuk bekerja sendiri," katanya.
Azean memanfaatkan kepakarannya dalam bidang jualan dan pemasaran untuk menceburi bidang saham amanah. Tidak dilayan, terpaksa tebalkan muka dan dimarahi antara pengalaman yang lama kelamaan menjadi kebiasaan buatnya. Berbekalkan pengalaman berkenaan, Azean mencuba pula bidang pelancongan dengan membuka syarikat pelancongan kecil-kecilan dinamakan PPV. Buat permulaan, tumpuan diberi kepada pakej pelancongan dalam negara terlebih dulu.
"Ketika berhenti kerja dan buat saham amanah, adalah sedikit modal. Saya sewa kedai kecil dan mencari pelanggan sendiri. Memandangkan sudah biasa 'tebal muka', saya telefon hotel sendiri, jumpa pengurus hotel sendiri dan cari pelanggan sendiri. "Alhamdulillah, berkat pengalaman, dapatlah pelanggan dan tambah dua hingga tiga kakitangan untuk melicinkan urusan perniagaan," katanya.
Setahun kemudian, PPV mendapat lesen untuk menyediakan pakej pelancongan luar negara dan pencapaian PPV terus cemerlang dengan beroperasi di bangunan sendiri dan pertambahan pelanggan dari semasa ke semasa, dari individu hinggalah sektor korporat dan kerajaan. Bertemu jodoh dengan Mohd Helmi Ali pada usia 27 tahun, PPV terus megah dan perjalanan Azean terus ke puncak dengan penubuhan PDF.
Liku perjalanan Azean dalam menguruskan dua syarikat berkenaan turut dicemari episod duka ditipu kenalan sendiri. "Saya pernah beberapa kali ditipu sehingga rugi lebih RM200,000. Kenalan sendiri sanggup berbuat demikian selepas melihat kesungguhan saya untuk mencuba cabang perniagaan saya, "Tidak perlu saya mengulas lanjut kerana insiden itu mengecewakan saya. Ia pengalaman berharga untuk saya lebih berhati-hati," katanya.
Reda dengan apa yang berlaku, Azean tidak mahu pengalaman pahit itu melemahkan semangatnya. "Saya dan kakitangan umpama keluarga. Jika saya putus asa dan perniagaan tergugat gara-gara masalah tertentu, bagaimana nasib lebih 100 kakitangan saya.
"Sampai ke tahap ini saya tidak boleh hanya memikirkan diri sendiri. Nasib kakitangan juga perlu diambil berat," katanya yang kini bahagia dengan tiga cahaya mata. Di akhir pertemuan, Azean memanjatkan syukur ke hadrat Ilahi di atas kejayaan yang diperolehnya dan berterima kasih kepada semua pihak yang membantunya selama ini.
"Selain keluarga, suami banyak menyumbang kepada kejayaan saya. Dia selalu memberi semangat dan berpesan supaya jangan terlalu berasa selesa dan leka," katanya.
- METRO AHAD