Top Ad 728x90

Ungku Aziz ikon kesarjanaan evergreen progresif, mantap

Oleh Prof Datuk Dr Zaini Ujang
Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia dan penerima pertama Anugerah Merdeka 2009 (Pencapaian Ulung Akademik)

Professor Diraja Ungku Aziz adalah sebuah institusi kesarjanaan yang berwibawa. Ketokohan dan peranannya membuatkan beliau begitu istimewa. Bahkan nama Ungku Aziz sinonim dengan perkembangan universiti dan dunia akademia tanah air.

Sejarah hidup Ungku Aziz penuh warna gemilang. Dilahirkan di London pada 28 Januari 1922. Membesar di Johor Bahru dan mendapat pengajian tinggi awal di Universiti Malaya, Singapura pada 1951.

Pada usia 40 tahun, beliau dilantik pemegang kursi profesor ekonomi Universiti Malaya. Antara bidang pengkhususan utama beliau ketika itu ialah kemiskinan desa. Selain menjadi tokoh ekonomi, Ungku Aziz juga adalah pentadbir yang cekap. Ungku Aziz, rakyat tempatan pertama dilantik menjadi Naib Canselor pada 1968, menggantikan Dr J H E Griffiths. Justeru, The Renaissance Man (2010) diterbitkan adalah koleksi sebelas esei menceritakan pelbagai aspek kehidupan dan sumbangan Ungku Aziz. Daripada sejarah hidup sehinggalah idea dan pemikiran Ungku Aziz dibincangkan kenalan rapat dan warga Universiti Malaya yang pernah berkhidmat bersama beliau.

Buku suntingan Hashim Yaacob, Abu Bakar Abd Hamid, KT Joseph dan Azizah Hamzah itu dilancarkan Timbalan Perdana Menteri pada 18 Mac lalu. Bagi saya, Ungku Aziz adalah ikon kesarjanaan. Minat ilmiahnya luas tidak terhad kepada persoalan ekonomi, di samping penguasaan asas ilmu yang mantap membolehkan Ungku Aziz menjadi sarjana ‘evergreen’ yang progresif dan mantap.

Buah fikirannya melampaui tembok birokrasi dan sempadan negeri. Selain itu, Ungku Aziz mementingkan ilmu dan aktiviti keilmuan. Skop pembacaannya tidak ada sempadan dan keghairahan intelektualnya sentiasa meluap-luap walaupun sudah lama bersara. Dalam pelbagai majlis ilmu, kehadirannya dinanti-nanti untuk mendengar bicara dan hujahnya.

Bagi beliau, pencapaian tertinggi kerjanya ialah pelantikan sebagai pemegang kerusi profesor ekonomi, bukan sebagai Naib Canselor. Malah Ungku Aziz mempunyai definisi tersendiri mengenai jawatan Naib Canselor, iaitu pemimpin komuniti intelektual, bukan pentadbir sekolah tinggi. Dengan kata lain, Naib Canselor perlu menonjolkan imej kesarjanaan dan menguasai pelbagai asas serta disiplin ilmu, tidak hanya bergantung kepada kuasa eksekutif seperti termaktub dalam Perlembagaan Universiti.
Saya bersetuju dengan Ungku Aziz bahawa kesarjanaan bukan suatu kerjaya. Jika ditelusuri sejarah dunia, kita dapati kesarjanaan lebih bersifat peranan dan tanggungjawab, bukan sejenis pekerjaan. Hakikatnya kesarjanaan mempunyai kepentingan dan pengaruhnya tersendiri untuk mewarna dan membangunkan minda masyarakat sebelum terbina sesebuah negara atau tamadun.

Itulah sebabnya kemunculan sesebuah tamadun besar biasanya dilatari tradisi kesarjanaan mantap. Sehubungan itu, pada 25 dan 26 Mac ini, Universiti Teknologi Malaysia menganjurkan Forum Presiden Universiti (FPU) di Johor Bahru.

Program dihadiri lebih 20 pemimpin universiti (sama ada bergelar Naib Canselor, Presiden dan Rektor) dari pelbagai negara itu, adalah inisiatif untuk memajukan bidang kesarjanaan melewati sempadan negara dan kepentingan organisasi.

Isu utama dibincangkan ialah peranan universiti dalam konteks model ekonomi baru berteraskan inovasi. Seperti kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa Malaysia perlu keluar daripada kepompong ekonomi berteraskan buruh murah dan nilai rendah, menuju ekonomi nilai tinggi menggunakan kreativiti dan inovasi.

Justeru, peranan universiti sebagai pencetus idea dan pemangkin pembangunan negara menjadi kritikal dan semakin diharapkan. Forum sempena minggu konvokesyen UTM itu juga menyentuh peranan baru kesarjanaan dalam perspektif penjanaan nilai tinggi. Konsep nilai tinggi juga tidak terhad kepada nilai barang atau perkhidmatan yang boleh diperdagangkan, tetapi merangkumi budaya murni dan ekosistem lestari.

Secara khusus UTM cuba menjambatani komuniti intelektual sejagat menerusi inisiatif Perkongsian Akademik Iskandar Malaysia (IMAP). Menerusi IMAP, pelbagai program pertukaran mahasiswa dianjurkan. Pada 2010 seramai 5,000 mahasiswa UTM mengikuti pelbagai aktiviti akademik menerusi Global Outreach Program (GOP) di luar negara khususnya di universiti yang menyertai FPU.

Sementara 500 mahasiswa dari universiti luar negara mengambil bahagian dalam GOP di UTM. Pada 2009, lebih 1,110 mahasiswa UTM mendapat manfaat menerusi GOP. Selain itu, aktiviti penyelidikan dan pertukaran staf akademik turut diadakan menerusi IMAP termasuk skim sabatikal dan profesor pelawat.

Mengambil saranan Ungku Aziz – biarpun disuarakan dalam konteks UM – bahawa staf warga asing diperlukan sehingga lebih 30 peratus untuk memastikan wujudnya persekitaran ilmiah segar dengan kepelbagaian perspektif. Kesegaran ilmiah juga tercerna menerusi wacana secara tulisan dan lisan walaupun kadangkala hangat dengan pelbagai sudut pandang yang tampak bercanggahan.

Wacana secara beradab adalah suatu kemestian untuk menyegarkan daya fikir dan dinamisme sesebuah masyarakat kampus. Itu juga salah satu petunjuk mengenai potensi dan kemajuan sesebuah negara.

Bagi saya, Ungku Aziz adalah ikon akademik yang masih relevan walaupun usianya sudah menjangkau 88 tahun. Sebagai ikon, Ungku Aziz mendapat sanjungan masyarakat dengan kedudukan tinggi yang melayakkan beliau sebagai penerima pertama Anugerah Merdeka (Pendidikan) pada 2008.

- BERITA HARIAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90