Ikhlaskah Kita Menderma?

Oleh MOHAMAD A'SIM ISMAIL

DERMA dalam bahasa Arab bererti tabbaru'. Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, derma dinyatakan sebagai pemberian yang ikhlas, sedekah. Jadi menderma ialah memberikan sesuatu dengan ikhlas.

Derma adalah antara amalan soleh yang sangat digalakkan. Melaluinya, aspek tolong menolong dan kasih sayang sesama insan dapat diwujudkan. Terdapat pelbagai dalil daripada al-Quran dan al-Sunnah yang menyokong perkara ini. Antaranya firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Nafkahkanlah (dermakanlah) sebahagian daripada apa yang telah Kami berikan kepada kamu (al-Baqarah: 254)

Nabi SAW bersabda bahawa di antara tujuh golongan yang dilindungi Allah SWT pada hari yang tiada perlindungan melainkan perlindungan Allah ialah golongan yang melakukan sedekah dengan senyap sehingga tidak diketahui kanannya dari sebelah kirinya. Maksud hadis seperti yang diriwayatkan imam Bukhari dan Muslim.

Apabila dilihat dalam transaksi yang melibatkan derma atau tabarru', ia merupakan akad perjanjian kontrak yang bersifat tiada laba. Akad tabarru' tidak boleh digunakan untuk tujuan komersial. Mereka yang melakukan akad ini tidak boleh meletakkan syarat pulangan keuntungan.

Objektif akad tabbaru' ialah untuk merealisasikan fungsi tolong-menolong dengan mengharap keredhaan Allah SWT. Ini berbeza dengan akad tijarah atau perniagaan. Objektif dalam akad tijarah ialah untuk mencari keuntungan. Oleh itu, jelas perbezaan di antara kedua-duanya.

Ada beberapa model transaksi yang menggunakan akad tabbarru' sebagai asas dalam transaksinya. Di antaranya ialah hibah iaitu transaksi antara dua pihak atau lebih yang didasarkan pada suatu bentuk pemberian sesuatu kepada seseorang dengan mengharapkan pahala daripada Allah SWT.

Di samping itu, qardu hasan iaitu satu bentuk transaksi yang melibatkan dua orang atau lebih dalam aspek pinjam-meminjam. Asas dalam transaksi ini ialah tidak ada sebarang penambahan atau ziyadah. Jika ada tambahan dalam transaksi ini maka ia masuk dalam kategori riba. Contoh transaksi qardu hasan ialah seperti jika Ahmad meminjam 2 ribu ringgit daripada Ali, maka Ahmad berkewajipan untuk membayar semula wang yang dipinjam itu juga sebanyak 2 ribu kepada Ali dengan tiada ada tambahan kepada wang asal.

Selain itu, infaq iaitu satu model transaksi yang dilakukan oleh seseorang dengan cara mengeluarkan sebahagian hartanya untuk aktiviti di jalan Allah. Ini seperti seorang yang menginfaqkan sebahagian hartanya untuk membantu saudaranya yang terkena musibah seperti banjir, atau infaq untuk pembinaan surau.

Wakaf juga dibina atas asas kontrak tabarru'. Wakaf ialah kegiatan yang dilakukan oleh seseorang dengan sebahagian hartanya untuk diambil manfaatnya oleh umat Islam. Status hartanya itu sudah tidak menjadi miliknya tapi menjadi milik bersama umat Islam.

Semua bentuk kegiatan ini berlandaskan kepada akad tabarru' dengan matlamat utamanya mewujudkan nilai tolong-menolong (ta'awun) dan memenuhi prinsip kebajikan sosial. Di dalam takaful pula, akad tabarru' merupakan satu akad asas di dalam operasinya. Akad ini yang membezakan takaful dengan insuran konvensional.

Akad tabarru' digunakan sebagai kaedah untuk mengumpul dana peserta takaful melalui sumbangan derma mereka. Sumbangan peserta sebahagiannya masuk ke dana tabarru' dan yang lain masuk ke dana tabung simpanan. Sumbangan yang masuk ke dalam dana tabarru' atau dana kebajikan memang sejak awal diniatkan untuk membantu peserta lain yang mengalami musibah. Dengan kata lain fungsi dana ini adalah sebagai bantuan kepada peserta yang ditimpa kerugian. Sementara itu sumbangan peserta takaful yang masuk ke tabung simpanan menjadi tabungan bagi peserta yang nantinya dapat diambil kembali dengan tambahan nilainya jika tidak berlaku sebarang tuntutan.

Dalam konteks operasi takaful, peserta yang ingin mendapatkan perlindungan takaful mestilah berniat ikhlas menderma bagi membantu peserta lain jika mereka menghadapi musibah atau kerugian. Dalam erti kata lain ialah semua peserta tersebut bersetuju untuk saling membantu di kalangan mereka di atas niat yang sama.

Akad tabarru' di dalam takaful menghapuskan unsur-unsur gharar (syubah), riba dan maisir (judi). Unsur-unsur ini telah menyebabkan insuran konvensional difatwakan haram.

Dalam akad jual beli, yang menjadi asas kepada operasi insuran konvensional, tiada penyerahan barang yang dijual semasa akad dimeterai maka ia dikira sebagai transaksi yang mengandungi elemen gharar yang ditegah oleh Rasulullah SAW.

Dalam akad tabarru' di dalam operasi takaful, sumbangan derma ikhlas daripada peserta dikumpulkan ke dalam satu tabung tabarru'. Tiada habuan pulangan secara material dituntut hasil daripada derma yang dilakukan kerana ia untuk kebajikan. Tabung dana ini menjadi sangat penting untuk menjawab persoalan ketidakjelasan (gharar) yang dilarang yang terdapat dalam amalan insuran konvensional khasnya ketika pembayaran tuntutan dibuat.

Sebagai contoh, seorang peserta mengambil pakej insuran nyawa dengan manfaat pampasan RM50,000. Apabila beliau ditakdirkan meninggal dunia pada tahun pertama dan baru sempat membayar sebanyak RM3,000 contohnya, tetapi warisnya akan menerima pampasan dengan jumlah penuh RM50,000, mengikut nilai pakej yang perlindungan yang diambil. Persoalan yang timbul ialah, baki pembayaran pampasan RM47,000 ini -iaitu setelah ditolak RM3,000 yang telah dibayar pada tahun pertama-, diperolehi daripada mana?. Di sinilah timbul gharar, sesuatu yang tidak jelas. Ini juga menimbulkan unsur judi.

Oleh itu satu mekanisme khusus diperlukan untuk menghapus elemen-elemen ini. Mekanisme ini ialah penyediaan dana tabarru' hasil derma ikhlas para peserta untuk tujuan tolong-menolong yang dapat menyalurkan manfaat atau wang pampasan.

Jadi apabila peserta takaful benar-benar memahami dan menghayati konsep tabarru' iaitu dengan ikhlas menderma di dalam takaful maka sudah tentu mereka akan memperolehi pulangan pahala besar dalam hidup tolong menolong dan memperolehi ganjaran kebajikan serta keredaan Allah SWT, di samping menerima manfaat ketika musibah hasil muafakat di kalangan peserta.

- MSTAR
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url