Zaid Ibrahim Diisytihar Calon PKR Di Hulu Selangor
HULU SELANGOR: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim dipilih sebagai calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor pada 25 April ini.
Pengumuman itu dibuat oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Komuniti Serendah malam ini.
Turut hadir termasuk Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa dan Timbalan Presiden PKR, Senator Dr Syed Husin. Selain itu Timbalan Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Glaw; Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; Setiausaha PKR, Saifuddin Nasution; Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin; Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Datuk Seri Chua Jui Meng juga hadir.
Bekas Ketua Umno Bahagian Kota Bharu itu pernah bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 2004 atas tiket Barisan Nasional (BN) dan menang selepas kerusi itu dikuasai PAS dan juga PKR selama lebih 12 tahun.
Beliau juga adalah pengasas dan pemegang saham utama firma guaman terbesar di Malaysia, Zaid Ibrahim & Co (ZICO) sebelum melepaskan kepentingannya dalam firma tersebut setelah dilantik sebagai menteri di bawah pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi selepas PRU ke-12, Mac 2008.
Bagaimanapun pada 15 September tahun yang sama, Zaid bertindak meletakkan jawatannya dalam Kabinet selepas dipercayai tidak berpuas hati dengan penahanan tiga individu termasuk seorang wartawan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Beliau selepas itu mencetuskan kontroversi dalam Umno selepas dilihat secara terbuka menghadiri majlis parti pembangkang dan akhirnya dipecat daripada parti tersebut pada 2 Disember.
Zaid kemudiannya membuat satu lagi keputusan mengejut apabila menyertai PKR pada Jun 2009.
- MSTAR