Kementerian jamin minyak ikan selamat

Kementerian Kesihatan memberi jaminan semua produk minyak ikan yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah di bawah kementerian itu selamat, berkualiti dan dikilangkan mengikut keperluan Amalan Pengilangan Baik.

Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, Eisah A Rahman, berkata laporan dalam internet yang mendakwa minyak ikan boleh memudaratkan kesihatan kerana mampu melarutkan polysterene adalah bersifat teknikal dan tidak boleh dikaitkan secara terus dengan kesan kerosakan badan.

“Di Malaysia, ada 196 produk minyak ikan yang didaftar sebagai suplemen kesihatan dalam bentuk farmaseutikal (seperti kapsul dan emulsi) diformulasi bersama bahan eksipien lain untuk menstabilkan produk.

“Produk ini perlu menjalani ujian tahap toksin bagi memastikan ia tidak dicemari bahan pencemar persekitaran,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Sebelum ini, beberapa akhbar berbahasa Cina melaporkan mengenai produk minyak ikan yang mengandungi asid lemak omega-3, asid eikosapentaenoik (EPA) dan asid dokosahesenoik (DHA) boleh memudaratkan kesihatan kerana mampu menghakis polysterene.

Eisah berkata, melalui pemantauan yang dilakukan kementerian sejak tahun 2002, hanya empat laporan kesan tidak baik produk itu yang diterima Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) termasuk membabitkan kesan cirit-birit, kembung perut, tidak bertenaga dan tiada selera makan.

“BPFK akan terus memantau keselamatan produk terbabit dan mendapatkan maklumat berkaitan menerusi rangkaian peraturan,” katanya.
Beliau berkata, sekiranya pengguna mengalami sebarang kemudaratan atau mempunyai keraguan mengenai produk minyak ikan, mereka boleh mengajukannya kepada BPFK di talian 03-78835400 atau melalui faks 03-79581312 dengan menyatakan nama produk yang lengkap, selain mengisi borang laporan borang laporan kesan tidak baik ubat di laman web BPFK.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url